Kebanyakan pasangan mungkin mengalami kerunsingan untuk mengira bajet bagi mengadakan majlis perkahwinan. Bagi anda yang ingin mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana, kami kongsikan tip jimat kahwin yang mungkinmemberi manfaat buat anda dan pasangan.
1. KENALPASTI KEWANGAN ANDA
Sebelum membuat sesuatu majlis, kaji dahulu kemampuan anda sama ada anda mampu untuk membuat majlis secara besar-besaran atau sederhana. Elakkan daripada membuat pinjaman bank semata-mata untuk mengadakan majlis perkahwinan yang grand.
2. KENALPASTI MAJLIS PERKAHWINAN IDAMAN
Bincang bersama pasangan serta keluarga tentang majlis perkahwinan idaman anda. Harus diingatkan agar anda tidak terlalu membazir dalam membuat sesuatu majlis. Nyatakan juga berapa bajet anda untuk majlis perkahwinan itu supaya tidak terjadinya salah faham antara kedua-dua belah pihak.
Ads
3. SEDIAKAN SENARAI DAN KOS PERBELANJAAN
Sebelum mengadakan sesuatu majlis perkahwinan, senaraikan dahulu barang keperluan majlis perkahwinan anda serta kaji kos perbelanjaan untuk setiap barangan yang diperlukan agar jumlah perbelanjaan yang dikira tidak tersasar jauh daripada bajet yang telah anda tetapkan.
4. TENTUKAN SIAPA YANG AKAN MEMBAYAR
Ads
Toleransi antara pasangan yang bakal berkahwin amat penting. Sebaiknya anda dan pasangan berbincang terlebih dahulu siapa yang akan membayar kos pelamin, jurufoto, busana dan sebagainya. Ini penting agar segala bebanan tidak diletakkan hanya pada satu pihak sahaja.
5. PENTING KETAHUI PENGURUSAN KEWANGAN
Perlu bijak menguruskan pendapatan daripada segi perbelanjaan harian dan hutang. Anda perlulah mempunyai bajet bulanan dan cuba berbelanja tidak melebihi bajet yang ditetapkan. Selain itu, sebahagian daripada gaji anda juga haruslah disimpan bukan sahaja untuk majlis persediaan perkahwinan malahan untuk masa depan selepas anda berdua berkahwin.
Ads
6. KAJI DAN BANDINGKAN HARGA
Membuat kajian dan bandingkan harga untuk setiap servis yang disediakan juga penting bagi pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga. Ini penting supaya anda dapat mencari servis atau perkhidmatan yang terbaik dengan harga yang berpatutan.
7. KEJAR JUALAN MURAH
Boleh dikatakan setiap kali musim perayaan terutamanya pada penghujung tahun akan diadakan jualan murah dan membuatkan anda rambang mata untuk memilihnya. Bagi anda dan pasangan yang ingin berkahwin, perlulah mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan barangan dengan harga berpatutan agar segala persiapan majlis perkahwinan anda dapat dijimatkan.
8. REKOD SETIAP PERBELANJAAN
Penting untuk anda merekod setiap perbelanjaan yang digunakan agar ia dapat membantu anda untuk mengawal setiap perbelanjaan yang dikeluarkan, sekali gus membantu anda agar tidak melebihi bajet. Oleh itu anda bolehlah melakukan penjimatan lebih awal jika terdapat perbelanjaan yang melebihi daripada bajet yang sepatutnya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Saat bakal bergelar ratu sehari sememangnya dinantikan buat semua gadis. Manakan tidak hati berbunga suka bila si dia bakal menjadi temanmu seumur hidup. Buat bakal pengantin janganlah terlalu sibuk dengan hal yang besar dan mengenepikan perkara yang penting. Buatlah persediaan sewajarnya agar seri menyerlah dan melangkah anggun bak raja dan ratu sehari. Manfaatkan tip berguna dari AyangKamell Ibrahim, Jurusolek Perkahwinan Malaysia.
10 tip untuk bakal pengantin
1. Sentiasa minum air putih lebih kurang 2 liter sehari serta mendapat tidur yang cukup. Ini adalah kunci untuk mendapatkan kesegaran kulit wajah dan berseri.
2. Berhenti melakukan sebarang bentuk rawatan wajah dua minggu sebelum hari bahagia. Dikhuatiri kulit luar tidak sempat matang untuk membenarkan solekan melekat dengan baik. Kulit terlalu licin selepas rawatan itu akan menyukarkan solekan untuk melekat di wajah.
3. Jangan melakukan sebarang ‘facial’ atau skrub kulit dua tiga hari sebelum majlis. Dikhuatiri luka-luka kecil akan menjadikan wajah jadi gatal dan pedih.
4. Lakukan ‘eyebrow trim’ atau membuang bulu muka dua tiga hari sebelum majlis kahwin. Dikhuatiri jika melakukan pada hari majlis, akan terjadi kemalangan atau terluka yang menyukarkan solekan menjadi kemas.
5. Amalkan petua orang lama seperti menyental kulit dengan hampas kelapa di seluruh badan adalah cara berkesan untuk membuang daki terutamanya di bahagian leher, ketiak dan sebagainya. Elakkan melakukannya di wajah. Walaubagaimanapun, membasuh muka dengan air kelapa lalu membilasnya dengan air sejuk adalah amalan yang baik untuk mendapatkan kulit yang segar dan lembab. Bagus diamalkan beberapa bulan sebelum bersanding.
6. Rambut juga perlu dibasuh sejam sebelum juruandam/jurusolek tiba serta perlu dikeringkan dengan cara semulajadi. Ia menghindari kulit kepala agar tidak berbau dan menjadi segar bagi mendapatkan styling yang sempurna. Ini kerana kulit kepala akan aktif semula mengeluarkan minyak selepas 15 minit dibasuh, lalu menyukarkan untuk bahan dandanan berfungsi baik dan tahan lama.
7. Minta dan sarankan jurusolek menggunakan teknik mekap yang berbeza mengikut majlis. Contoh untuk bernikah, biarlah solekan itu nipis dan tidak berat berbanding majlis bersanding. Latih mata untuk memakai kanta lekap seminggu sebelum majlis (jika mahu menggunakannya). Elakkan memakainya tanpa mencuba terlebih dahulu.
8. Sediakan ruang yang lapang untuk jurusolek meletakkan peralatan solekan. Cahaya ruang perlulah terang. Kerana ruang itu juga akan digunakan bersama dengan jurufoto dan video. Urusan lalu lalang akan menjadi lebih sempurna untuk semua.
9. Melakukan ‘trial makeup’ adalah langkah terbaik, tetapi perlulah disertakan dengan baju yang telah siap serta aksesori lain yang lengkap serta membawa seorang jurufoto semasa waktu tersebut agar impak kesannya terlihat jelas. Tanpa kesemua di atas, kesan mekap tidak akan sama seperti majlis sebenar.
10. Jangan lupa bahawa solekan ‘malar segar’ adalah yang paling selamat dan terbaik untuk bakal pengantin. Hati-hati dengan stail mekap berkarakter seperti ‘doll look’ dan ‘anime’ kerana ia bakal merubah wajah asal dan tidak sesuai untuk ratu sehari. (Foto yang akan dilihat di masa hadapan akan menjadi jelek lantaran mengikut stail tersebut) Mengapa mahu menjadi karakter lain sedangkan anda sepatutnya adalah seorang pengantin yang perlu tampil dengan menjadi diri sendiri.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Allah menciptakan lelaki dengan beberapa kelebihan yang melayakkan lelaki sebagai pemimpin kepada kaum wanita.
Setiap lelaki mempunyai tanggungjawab dan amanah yang harus dipikulnya dan salah satunya ialah dengan menjaga dan memelihara wanita yang berada di bawah tanggungjawabnya.
Lelaki yang lalai dan tidak mempedulikan wanita yang berada di bawah tanggungjawabnya akan mengundang azab dan seksa api neraka. Allah telah berfirman yang bermaksud :
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”Surah An-Nisa : 34
Rasulullah S.A.W juga telah menjelaskan hak-hak lelaki ke atas kaum wanita pada peristiwa arafah tanggal 9 Zulhijjah tahun 10 hijrah ialitu sebelum kewafatannya di dalam khutbah wida’(perpisahan) ;
Dan takutlah kamu kepada Allah di dalam urusan wanita, kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah”Riwayat Muslim
Intisari petikan khutbah ini menjelaskan bahawa wanita itu ialah amanah daripada Allah ke atas kaum lelaki.
Seorang lelaki itu mempunyai hak keatas seorang wanita dibawah tanggungjawabnya. Sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam Islam. Setiap lelaki itu akan dipertanggungjawabkan kepadanya terhadap 4 golongan wanita;
#1- Ibunya
Ibu ialah orang yang sangat berjasa dan banyak berkorban untuk kita. Bermula sejak mengandungkan, melahirkan dan membesarkan.
Ibu sememangnya adalah orang yang selayaknya untuk diberi penghormatan. Menjadi tanggungjawab anak lelaki untuk menjaga dan memelihara ibunya.
#2- Isterinya
Apabila berumahtangga, lelaki akan menjadi ketua keluarga. Allah menegaskan di dalam al-quran tentang tanggungjawab lelaki di dalam memimpin kaum wanita.
Sekiranya ketua keluarga menjalankan tanggunngjawabnya, rumahtangga pasti akan menjadi harmoni. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud;
Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu berhala..”
#3- Anak Perempuan
Apabila lelaki berkahwin dan dikurniakan cahaya mata. Maka dia juga bertanggungjawab di dalam menjaga dan mendidik anak perempuannya. Anak perempuan perlu diberi lebih perhatian kerana sifatnya yang lemah lembut dan juga mudah terpengaruh.
Didiklah anak perempuan dengan mengajarkannya batas-batas di dalam agama yang seharusnya diikuti bagi kaum perempuan.
Berwasiatlah untuk para wanita kerana sesungguhnya wanita itu diciptakan dari tulang rusuk dan yang paling bengkok dari bahagian tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Jika engkau ingin meluruskan tulang rusuk tersebut maka engkau akan mematahkannya, maka jika engkau membiarkannya maka akan tetap bengkok, maka berwasiatlah untuk para wanita ”Hadis Riwayat Abi Hurairah R.A
#4- Saudara Perempuan
Apabila seorang wanita itu telah kehilangan ayah ataupun ketiadaan suami. Maka adalah menjadi kewajipan kepada saudara-saudara lelakinya untuk mengawasi dan menjaga maruah saudara-saudara perempuannya. Allah berfirman yang bermaksud;
Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun sabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa”Surah Taha: 132
Sebagai seorang ketua, suami kepada isteri, ayah kepada anak perempuan, saudara lelaki kepada saudara perempuannya, kamu lelaki seharusnya memahami hak-hak wanita di bawah tanggungjawabnya.
Mereka hendaklah menjaga, mendidik mereka dengan penuh kasih sayang dan memperjuangkan mereka sekiranya mereka dianiaya dan dizalimi.
Pada zaman Rasulullah S.A.W juga Baginda telah memperjuangkan hak-hak kaum wanita yang telah teraniaya pada zaman jahiliah.
Namun kini, kita lihat kaum wanita semakin menjadi mangsa kepada penganiayaan sama ada daripada sudut fizikal dan mental. Wanita dijadikan alat untuk meraihkan keuntungan, wanita menjadi model dan diperagakan kecantikannya sebagai alat untuk melariskan jualan.
Wanita menjadi alat untuk diperdagangkan, menjadi alat untuk melayan hawa nafsu lelaki. Di mana hak wanita yang Rasulullah perjuangkan dulu?
Lebih-lebih lagi banyak kes yang makin rancak dengan penderaan terhadap kaum wanita. Mengambil kesempatan di atas kelembutan dan kelemahan kaum wanita. Wanita dipukul oleh suami, disepak dan diterajang.
Wanita menjadi mangsa pemerkosaan, mangsa rogol dan eksploitasi. Semakin hari kehormatan dan kemuliaan wanita dicabar hebat.
Salah satu punca terjadi permasalahan ini adalah seorang lelaki itu mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya untuk menjaga dan mendidik kaum wanita.
Kaum lelaki seharusnya berusaha mendidik wanita di bawah jagaannya dengan penerapan nilai-nilai islam di dalam diri mereka.
Tegaskan kepada mereka tentang kehormatan dan keistimewaan wanita dan perkara-perkara yang tidak seharusnya mereka lakukan kerana wanita adalah kaum yang mudah terpengaruh oleh emosi dan mudah untuk terjebak dengan perktra-perkara yang buruk dan merosakkan
Wanita itu perlulah dididik dengan menggunakan pendekatan yang lembut tanpa menggunakan kekerasan Kerana ianya sesuai dengan fitrah kejadiannya yang lembut dan memerlukan kesantunan.
Apabila wanita dididik dengan baik dan penuh hikmah, maka akan lahirlah wanita yang solehah dan terpuji. Kegagalan mendidik kaum wanitalah menjadi punca mereka mengikuti jalan yang salah.
Perbuatan lelaki yang mengabaikan tanggungjawab dan tidak mempedulikan urusan wanita yang diamanahkannya bakal menariknya kearah kemurkaan Allah.
Amanah yang diberikan kepada lelaki ini adalah satu kemuliaan kepada kaum lelaki dan juga kerana mereka mempunyai beberapa kelebihan yang dikurniakan oleh Allah.
Lelaki yang baik ialah lelaki yang menjadi pelindung dan pembela kepada kaum wanita. Ikutilah contoh teladan Rasulullah S.A.W di dalam mendidik wanita.
Bagaimana Rasulullah S.A.W memuliakan dan menghormati kaum wanita, bagaimana Rasulullah S.A.W mendidik ahli keluarganya dengan penuh ketaqwaan kepada Allah. Didiklah wanita dengan toleransi dan berilah mereka bimbingan agama yang betul.
Sumber : https://tzkrh.com
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selain mempunyai kewajipan terhadap suami, meskipun wanita sudah berkahwin, dia masih mempunyai tanggungjawab untuk terus menabur bakti kepada kedua orang tuanya.
Seperti yang disebut dalam Al-Quran: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (QS. Al Israa’ 23)
Semoga kebaikan yang anda berikan kepada orang tua akan beroleh ganjaran yang sangat besar buat anda sekeluarga, selain mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat kelak.
1. Berbakti dan menghormati orang tua
Walaupun sudah bergelar isteri, anda masih lagi mempunyai tanggungjawab untuk terus menghormati, merendahkan diri, memberikan kasih sayang, menghargai dan mencurahkan bakti kepada orang tua. Tundukkan pandangan anda ketika diberi nasihat atau tidak membantah dan tidak merasakan diri anda lebih tahu daripada mereka. Mengalah walaupun belum tentu memiliki kesalahan juga merupakan salah satu daripada bentuk merendahkan diri di hadapan orang tua.
Rendahkanlah dirimu terhadap kedua orang tuamu dengan kasih sayang dan katakanlah: “Ya Tuhanku, kasihanilah kedua orang tuaku sebagaimana mereka telah mengasihiku sewaktu aku kecil.” (QS. Al Israa : 24)
2. Hulurkan bantuan kewangan kepada orang tua
Menjadi kewajipan anda sebagai anaknya untuk menyenangkan kehidupan orang tua. Apatah lagi dengan usia orang tua yang sudah lanjut, sudah tentu mereka memerlukan bantuan kewangan daripada anda untuk meneruskan kehidupan yang lebih selesa.
3. Menjaga nama baik dan amanat orang tua
Jalani kehidupan dengan baik mengikut ajaran agama agar nama baik dan maruah orang tua tetap terpelihara, selain tidak menconteng arang ke muka mereka. Apabila anda memuliakan orang tua, pahala yang bakal anda peroleh sangatlah besar
4. Jalinkan silaturahim dengan orang tua
Walaupun sudah berkahwin bukanlah bermaksud hubungan anda dengan orang tua harus terhenti. Jalinkan hubungan yang baik dengan orang tua dan jangan jadi anak derhaka. Apatah lagi Allah tidak menyukai orang yang suka memutuskan silaturahim lebih-lebih lagi terhadap ibu bapanya.
5. Berkomunikasi yang baik dengan orang tua
Jagalah adab-adab ketika anda berkomunikasi dengan kedua-dua orang tua. Jangan mengherdik atau meninggikan suara dengan mereka. Sentiasalah menjaga turut kata agar tidak melukakan hati mereka selain mengeluarkan kata-kata yang boleh menyejukkan perasaan mereka.
Hal ini juga disebut dalam Al-Quran: “Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah mengembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (QS An-Nisa: 1)
6. Jangan bebankan orang tua
Setelah berkahwin, jangan sesekali menyusahkan orang tua. Berikan yang terbaik untuk mereka menjalankan kehidupan dan ringankan beban mereka yang sudah lanjut usia. Kebaikan dan keikhlasan yang anda lakukan terhadap orang tua akan mengalirkan pahala buat anda sekeluarga.
7. Melayani orang tua dengan mesra
Walaupun sudah berkahwin, teruskan memberi layanan yang mesra dan terbaik kepada orang tua. Percayalah apabila anda menyenangkan orang tua, Allah akan menggandakan ganjaran bahagia buat anda sekeluarga. Malah kebahagiaan yang anda berikan kepada orang tua akan sama mengalir dalam diri anda juga.
8. Bersabar dengan segala kekurangan orang tua
Orang tua juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Oleh itu sebagai anak perempuan, usahakanlah untuk anda bersabar dalam menangani kerenah mereka. Ini kerana sabar akan membersihkan hati anda ke arah yang lebih baik.
9. Sentiasa mendoakan orang tua
Mendoakan kebaikan orang tua juga merupakan salah satu kewajiban anak setelah berkahwin.
Sabda Rasulullah SAW yang tercantum dalam hadis iaitu: “Bila seorang manusia sudah meninggalkan doa kepada kedua orang tuanya maka rezekinya akan terputus.” (HR Ad Dailami)
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!