Mengimbas percutian di Osaka, Jepun baru-baru ini membuatkan penulis tersenyum sendiri. Terlalu banyak kenangan indah tercipta. Terlintas di fikiran, mengapa kota ketiga terbesar di Jepun itu tidak menjadi pilihan destinasi bulan madu penulis dahulu?
Percutian selama tujuh hari, enam malam pada permulaan musim luruh Oktober tahun lalu nyata membuka mata penulis dan suami tentang keindahan bumi negara matahari terbit itu. Kota yang terletak di wilayah Kansai ini punya keistimewaan tersendiri.
Bagi yang belum pernah menjejakkan kaki di sini, catatan pengalaman ini mungkin boleh membantu anda merancang destinasi bulan madu pilihan. Satu perkara yang anda perlu tahu, percutian ke Osaka ini melibatkan kos perbelanjaan lebih kurang sama dengan percutian ke Eropah, lebih-lebih lagi jika anda memilih untuk menginap di hotel.
Apa yang boleh dilihat serta dinikmati di kota metropolitan ini? Bagi yang berjiwa riang dan suka melakukan aktiviti menyeronokkan, jangan lepaskan peluang ke Universal Studio Japan, lokasi pertama taman tema Universal Studio yang dibuka di luar Amerika Syarikat.
Untuk menjelajah keseluruhan taman tema ini dalam masa sehari memang tidak mungkin. Jadi rancanglah dengan bijak eksplorasi anda di sini. Secara peribadi, penulis mencadangkan anda dan pasangan menghabiskan masa di The Wizarding World of Harry Potter dan Minion Park. Kedua-dua tarikan ini cukup popular sehingga pada waktu puncak, pengunjung terpaksa beratur menunggu giliran sehingga hampir dua jam lamanya.
Tarikan yang mesti dicuba ialah Harry Potter And The Forbidden Journey in 4K3D yang membawa pengunjung mengembara ke pelosok Hogwart. Puas berhibur dengan pelbagai permainan, ambil peluang bergambar dengan kekasih hati di sekitar taman tema ini. Banyak sudut menarik dan pastinya berbaloi untuk anda berdua potretkan memori sebanyak mungkin sepanjang bulan madu.
Seandainya anda berdua idamkan bulan madu yang lebih santai, masih banyak lagi tarikan yang menunggu. Antaranya ialah mengunjungi kawasan Dotonbori yang tidak pernah sunyi dengan kehadiran pelancong. Di sini jugalah terletaknya mercu tanda Glico Running Man yang sudah berusia lebih 70 tahun. Dotonbori merupakan jalan yang penuh sesak. Kiri kanan jalan dipenuhi dengan pelbagai kedai dan restoran yang menjual makanan tempatan popular seperti Takoyaki, Okonomiyaki dan Ramen.
Jika ke sini pada waktu malam, pengalamannya lebih mengujakan. Untuk mencipta momen-momen romantis, ajak teman anda menyusuri Sungai Dotonbori dengan mengikuti Tombori River Cruise yang mengambil masa kira-kira 20 minit. Aktiviti yang berharga 700 Yen untuk seorang dewasa ini memberi peluang untuk anda melihat kemeriahan Dotonbori tanpa memenatkan kaki.
Selain Dotonbori, Umeda Sky Building juga sangat menarik untuk dilawati pada sebelah malam. Bangunan yang tersenarai sebagai salah satu daripada 20 bangunan terhebat di dunia oleh The Times pada tahun 2008 ini menawarkan pemandangan malam yang mempesonakan.
Dek observasi terbuka membolehkan pengunjung menikmati pemandangan Osaka secara 360 darjah. Jika datang lebih awal, pengunjung boleh melihat matahari terbenam di bangunan sebelah barat. Pemandangan matahari terbenam di sini dikatakan sangat indah kerana matahari dilihat menyembunyikan diri di sebalik pergunungan.
MAKAN RAMEN DI AYAM-YA
Alang-alang sudah sampai di Jepun, takkanlah tidak mahu mencuba hidangan tempatan yang membuka selera bukan? Paling tidak, semangkuk Sup Ramen atau semangkuk Ramen Kering (Mazemen).
Mencari makanan halal di Osaka bukanlah satu perkara yang mustahil kerana banyak lokasi selera halal yang boleh dijadikan pilihan. Salah satu restoran yang boleh dicuba ialah Ayam-Ya Ramen yang sememangnya popular di kalangan pelancong Muslim. Antara menu yang boleh dicuba ialah Spicy Ramen, Tori Ramen, Noko Tori Ramen, dan Kara Age (Ayam Goreng).
Harga makanan di Ayam-Ra juga berpatutan iaitu bermula daripada 150 Yen ke 950 Yen. Secara peribadi, penulis menggemari Spicy Ramen yang dihidangkan bersama hirisan ayam. Kepedasan sup Ramen ini memenuhi selera anak Melayu yang gemarkan makanan pedas. Begitu juga dengan hidangan Kara Age. Ayam goreng yang boleh dimakan bersama nasi putih ini memang lazat. Rangup dan secukup rasa. Pasti ada bahan istimewa yang digunakan untuk perapan ayam ini.
Satu perkara yang anda harus tahu, restoran ini tidak menghidangkan menu minuman. Pengunjung boleh menghilangkan dahaga dengan minum air kosong secara percuma. Selain itu, makanan juga perlu ditempah menggunakan mesin layan diri yang tersedia di depan pintu masuk. Selepas membuat pesanan, layangkan resit bayaran kepada pelayan restoran yang sedia menunggu. Percayalah, makanan di sini enak-enak belaka dan anda pasti mahu mengulanginya semula.
TIP PERJALANAN MESTI TAHU!
- Jika ingin berjimat dan mahu menjelajahi Osaka sepuas-puasnya, beli Osaka Amazing Pass. Boleh pilih pas sehari atau dua hari. Bergantung kepada bajet dan rancangan percutian anda. Pas sehari berharga 2500 Yen, manakala pas untuk dua hari berharga 3300 Yen. Dengan Osaka Amazing Passini banyak keistimewaan yang boleh anda nikmati.
- Bawa poket Wifi ke mana-mana untuk memudahkan pergerakan dan juga urusan jual beli. Warga Jepun sangat sedikit yang boleh berbahasa Inggeris. Dengan data Internet yang ada, semua urusan menjadi lebih mudah dan lancar.
Oleh : Rahayu Mat Nah
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI