Ramai wanita memilih menangguhkan usaha memulakan keluarga. Wanita (dan lelaki) mungkin ingin membina kerjaya, menjalinkan hubungan dengan pasangan yang sesuai, menjadi lebih stabil dari segi kewangan dan emosi atau salah satu daripada kombinasi faktor berkenaan.
Namun, ramai orang muda tidak sedar kesan umur terhadap kesuburan. Apabila wanita semakin matang, kebarangkalian kehamilan semakin menurun manakala kebarangkalian ketidaksuburan meningkat. Kesuburan lelaki juga menurun mengikut umur dan sperma yang dihasilkan berkemungkinan mempunyai kromosom tidak normal.
Peluang kehamilan mengikut umur
Apabila usia wanita semakin meningkat, ovulasi tidak lagi kerap dan jumlah telur yang berkualiti berkurangan dengan ketara, maka mereka semakin sukar untuk hamil. Kajian juga menunjukkan terdapatnya peningkatan kadar ketidaknormalan kromosom dalam kalangan wanita yang lanjut usia.
Keguguran dan komplikasi lain berkaitan kehamilan, termasuk diabetes gestasi (kencing manis ketika hamil) dan darah tinggi, lebih lazim berlaku dalam kalangan wanita berumur 35 tahun ke atas.
Penurunan kesuburan yang berkait dengan umur dan peningkatan kebarangkalian keguguran bermakna menangguh mendapatkan anak akan memberi lebih tekanan fizikal terhadap tubuh wanita dan menjejaskan kesihatan bayinya.
Ads
Ada juga wanita yang tidak inginkan anak langsung kerana dia (atau pasangannya, atau kedua-duanya) mungkin mempunyai masalah genetik (contohnya talasemia, sindrom Down) dan bimbang masa depan anak yang belum dilahirkan.
Bagaimanapun, sekiranya anda berfikir untuk memulakan keluarga tetapi mempunyai kebimbangan seperti yang disebutkan di atas, anda perlu pertimbangkan perkara berikut:
• Dapatkan pengetahuan mengenai peningkatan risiko ketidaknormalan kromosom dan jenis ujian yang ada untuk mengesannya. Seorang kaunselor genetik, pakar kesuburan atau pakar ginekologi boleh memberi maklumat terperinci dan membantu anda memilih ujian yang sesuai.
Ads
• Sekiranya anda menghidap masalah kesihatan (contohnya darah tinggi, diabetes, penyakit tiroid, obesiti), pastikan ia stabil dan terkawal sebelum memikirkan mengenai kehamilan. Bincang dengan doktor anda mengenai perkara ini dan bagaimana ia boleh menjejaskan masalah kesihatan yang sedia ada.
• Amalkan gaya hidup sihat dengan mengambil diet yang berkhasiat dan seimbang serta banyak bersenam.
Kemajuan dalam rawatan kesuburan dan pencapaian bidang teknologi reproduktif sejak kebelakangan ini juga memberi peluang kepada ramai pasangan mencapai impian mereka untuk mendapat anak dan memulakan sebuah keluarga. Sebagai contoh:
Ads
• Persenyawaan in vitro atau In vitro Fertilization (IVF) – proses apabila telur disenyawakan dengan sperma di dalam makmal dan kemudian embrio dialih ke dalam rahim.
• Permanian intrauterin atau Intrauterine Insemination (IUI) – sperma dimasukkan ke dalam rahim menggunakan peranti khas berdekatan dengan telur hampir pada waktu ovulasi.
• Suntikan sperma intrasitoplasmik atau Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI) – dilakukan sebagai sebahagian daripada pusingan rawatan persenyawaan in vitro apabila satu sperma disuntik ke dalam sebiji telur menggunakan alat manipulasi mikro yang sangat halus.
• Penyimpanan krio – pembekuan tisu manusia (contohnya air mani, telur dan embrio) dan menyimpannya di dalam tangki yang direka khas untuk digunakan apabila pasangan membuat keputusan untuk mendapat anak.
• PGD & PGS – prosedur apabila embrio hasil rawatan IVF diuji untuk mengesan masalah genetik dan hanya embrio yang sihat dipilih untuk implantasi (dimasukkan ke dalam rahim).
Namun begitu, perlu diketahui anda mempunyai peluang lebih tinggi untuk hamil, melahirkan bayi yang sihat dan gembira ketika berumur dalam lingkungan 20-an dan awal 30-an. Sekiranya anda mempunyai masalah kesuburan, lebih awal anda berjumpa doktor, lebih mudah doktor mengatasi masalah kesuburan anda. Oleh itu, jangan tunggu terlalu lama untuk mendapatkan bantuan pakar.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wahai wanita andai rasa diri lemah, rendah diri , tidak berkeyakinan bacalah perkongsian oleh Ustazah Siti Khadijah. Moga dirimu wanita rasa bangga sentiasa dan tidak pernah rasa lelah dengan dugaan yang mendatang.
Wahai wanita,
Sekiranya engkau terlambat menikah, maka ingatlah kisah Saidatina Khadijah radiallahuanha, yang sentiasa bersabar hingga mendapat suami terbaik di muka bumi pada ketika usianya 40.
Wahai wanita,
Sekiranya engkau tidak menikah, maka ingatlah kisah Saidatina Maryam, yang sentiasa gigih berjuang, hingga Allah mengangkat darjatnya di dunia dan akhirat.
Wahai wanita,
Sekiranya engkau memiliki suami yang buruk perangainya, maka ingatlah kisah Saidatina Asiah isteri Firaun, yang tetap tabah memegang iman, hingga Allah janjikan kepadanya istana di syurga.
Wahai wanita,
Sekiranya engkau dimadu, tidak memiliki keturunan atau menjadi janda, maka ingatlah bahawa Saidatina Aisyah radiallahuanha telah mengalami itu semua, namun Allah tetap menguatkannya, menolongnya dan memuliakannya.
Wahai wanita,
Sekiranya engkau telah diceraikan suamimu, maka ingatlah firman Allah, “Jika keduanya bercerai, maka Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masing dari limpahan kurniaanNya, dan adalah Allah Maha Luas (kurniaanNya) lagi Maha Bijaksana.”
Wahai wanita,
Sekiranya engkau adalah seorang ibu, maka syurga anak-anakmu berada di telapak kakimu dan seiranya engkau adalah seorang anak, maka engkau dapat menjadi pelindung kedua orang tuamu dari api neraka dan sekiranya engkau adalah seorang isteri, maka engkau adalah anugerah terindah yang pernah dimiliki oleh suamimu.
Wahai wanita,
Dengarlah agamamu, yang telah bercerita kepadamu dengan sebaik-baik cerita untuk bekalan hidupmu.
Wahai wanita,
Dengarlah agamamu, yang telah memuliakanmu, menghargaimu dan mengangkatmu maka ikutilah segala jalan, yang telah ditunjukkan oleh agamamu.
Hanya Allah Maha Mengetahui
Perkara Yang Benar.
Tidak dapat dinafikan wanita zaman sekarang ramai yang memiliki kerjaya yang bagus dan hebat. Malah, ada juga yang menerima gaji bulanan lebih tinggi berbanding kaum lelaki. Keadaan ini membuatkan wanita lebih berdikari dan tidak mengharapkan lelaki dalam hidup mereka.
Namun, berbeza jika anda sudah berkahwin. Jika suami meminta anda untuk berhenti kerja, anda terpaksalah mengikut kata suami. Namun, janganlah berhenti begitu sahaja. Pastikan ada alasan yang kukuh diberikan sebelum anda berhenti. Pastikan anda ada harta dan simpanan sendiri sebelum nekad untuk berhenti kerja.
Seperti perkongsian Azizul Azli Ahmad, kita tidak boleh menjangka apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Ini antara sebab kenapa wanita perlu ada harta sebelum menjadi seorang isteri.
WANITA PERLU BERHARTA
Saya galakkan wanita ada harta sebelum jadi isteri tercinta. Kita tidak boleh jangka apa akan berlaku pada kita.
Usahakan ada simpanan sendiri sebelum jadi isteri.
Jika dapat belilah sebuah rumah pelaburan sebagai persediaan.
Jika suami tercinta beri duit nafkah, usahkan buat simpanan sendiri. Jangan belanja semuanya.
Jika suami tiada wawasan kewangan, rahsiakan berapa simpanan sendiri. Tak cerita semua bukan dosa.
Jangan serahkan masa depan pada orang lain, rancang masa depan sendiri.
Belajar bawa kenderaan dan ada lesen sendiri.
Buat catatan setiap perbelanjaan. Tahu setiap wang kita ke mana.
Suami hanya pinjaman tuhan sahaja. Bila-bila masa boleh dijemput pergi dan digoda oleh wanita misteri.
Bersedia sebelum datangnya ujian dan badai melanda.
Tiada rumah tangga yang bebas daripada ujian. Namun setiap ujian pasti ada jalan penyelesaiannya. Rumah tangga bahagia adalah yang mampu menghadapi ujian bersama-sama tetapi masih berpegang teguh pada syariat-Nya.Kita perlu belajar bahawa ujian dalam rumah tangga akan datang dari segala arah, bersedialah menghadapinya.
Perunding Psikologi Keluarga dan Peguam Syarie, Puan SUZANA GHAZALI berkongsi fasa ujian yang dihadapi di dalam rumah tangga.
Lumrah hidup berumahtangga menghadapi ujian dan dugaan. Beberapa fasa perkahwinan yang perlu diketahui bagi memberi persediaan kepada pengantin.
Sememangnya hidup ini akan sentiasa diuji dan diduga. Tak kira sama ada hidup bersendiri ataupun hidup berumah tangga. Hidup berumahtangga ujiannya lebih mencabar kerana kita perlu memikirkan orang lain berbanding jika kita hidup bersendirian. Orang lain yang asalnya adalah terlalu asing tetapi telah kita terima menjadi sebahagian daripada hidup kita. Orang lain yang asalnya langsung tidak kita kenali tetapi kita sayang dan cinta dengan sepenuh hati.
Namun, walau cinta menggunung tetapi percayalah, kita takkan mungkin akan mengenali pasangan kita sepenuhnya. Kita takkan mungkin akan memahami dan mengerti pendirian dan kehendak pasangan kita seratus peratus. Jangan fikir, andai kita telah bercinta 10 tahun bererti kita telah cukup mengenali pasangan kita.
Lantaran itu, para psikologi menetapkan bahawa lima tahun pertama sesebuah perkahwinan adalah tempoh untuk saling cuba menyelami hati dan budi masing-masing. Masa inilah kita akan tahu segala baik buruk pasangan kita. Ingat, kita adalah insan yang serba kekurangan dan kekurangan kita boleh disempurnakan oleh pasangan kita. Begitu juga, kekurangan pasangan kita hendaklah kita yang menyempurnakannya barulah rumahtangga akan bahagia.
Tahun keenam dan tahun-tahun yang seterusnya juga perlu diharungi bersama kerana ujian dan dugaan masih ada. Inilah hakikat hidup berumahtangga sebenarnya. Hidup yang dipenuhi ujian dan rintangan tetapi perlu ditempuhi dan diharungi bersama, bukan sendirian.
Saya akui, ada tikanya saya mencadangkan pengunduran tetapi hanya kepada wanita yang bersendirian mengharungi ranjau dan onak duri perkahwinan. Apa guna punya suami hanya pada nama sedangkan segalanya diuruskan sendiri seperti tidak bersuami. Bukan sehari dua tetapi bertahun-tahun. Saya pernah mendengar kata-kata seorang lelaki , tak apalah isteri berkorban lebih untuk suami sebabnya isteri menyayangi suami. Kerana sayang, isteri perlu bersabar dan cuba mengubah suami.
Pelik…! Memang pelik! Siapa yang dijadikan daripada siapa sebenarnya? Bukankah kaum wanita yang dijadikan daripada tulang rusuk lelaki? Islam telah tetapkan tugas kaum lelaki untuk membetulkan kaum wanita dengan penuh hikmah kerana jika tersalah, tulang akan patah dan jika dibiarkan pun, tulang akan terus bengkok. Lantas, sejak bila tanggungjawab membetulkan dan mengubah ini berpindah kepada isteri?
Saya tau, ada antara wanita yang berjaya mengubah pendirian dan sikap suami. Suami boleh dibentuk oleh isteri sekiranya suami sedar akan kelemahan diri dan bersedia menerima tunjuk ajar dan bimbingan…bersedia untuk berubah malah menunjukkan tanda-tanda awal inginkan perubahan.
Bagaimana jika memiliki suami jenis bodoh sombong…sukar menerima pendapat apatah lagi diperbetulkan…apakah isteri perlu berkorban hingga jiwa terkorban?
Jangan silap memahami fakta…memang benar ujian dan dugaan adalah rempah ratus rumahtangga tetapi segala ujian dan dugaan perlu diharungi dan ditempuhi bersama. Jika hanya satu pihak sahaja yang berusaha untuk mengatasinya, jangankan lima tahun, lima puluh tahun pun, belum tentu rumahtangga akan bahagia. Pilihan di tangan anda!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nampak bahagia dan semakin jelita, pelakon Siti Saleha memberi bayangan bakal mendirikan rumah tangga dengan pereka fesyen ternama tempatan, Joshua Fitton.