Musim cuti sekolah sekarang ini memang banyaklah jemputan perkahwinan yang kita terima. Menghadiri majlis perkahwinan juga memberi peluang untuk kita bertemu dengan sanak saudara juga rakan dan taulan.
Kebiasaannya pada waktu-waktu beginilah masing-masing dapat bersua muka. Kesibukan bekerja menyebabkan ada di antara hanya dapat bertemu sanak saudara setahun sekali. Itu pun pada hari raya.
Bagaimanapun ada perkara yang kita perlu perhatikan dan ambil berat ketika memenuhi jemputan majlis perkahwinan.
Melalui perkongsian Dzuriasikim Dzulkefli, wanita ini berkongsi tentang perkara-perkara yang perlu kita ambil kira berkaitan tentang majlis perkahwinan. Moga tip ini dapat dijadikan panduan untuk semua.
Sekarang musim kenduri kahwin. Mari baca beberapa perkara tentang kenduri kahwin yang perlu kita tahu:
1. Paling penting, jangan berkecil hati bila anda tidak dijemput walaupun oleh kawan yang anda anggap dekat atau rapat. Barangkali majlis diadakan untuk bajet yang terhad. Barangkali mereka betul-betul terlepas pandang. Barangkali memang dikhususkan untuk keluarga sahaja. Berjimat ketika majlis kahwin adalah sangat bagus kerana wang yang ada boleh digunakan untuk perkara yang lebih perlu selepas kahwin nanti.
2. Jangan berpakaian keterlaluan ketika ke majlis kahwin. Ianya juga bukanlah tempat untuk berlumba menunjukkan rantai labuh dan gelang besar. Dan cubalah elakkan dari memakai pakaian melebihi dari baju pengantin. Solekan juga sebaiknya biarlah sederhana. Maafkan saya sahabat wanita semua. Tetapi “less is more”…. (Melainkan jika ada tema tertentu dan anda mahu berpakaian mengikut tema).
3. Jika hidangan dalam bentuk “buffet” ambillah makanan yang boleh anda makan sahaja. Jangan ambil terlalu banyak ya. Kemudian ditinggalkan sahaja di meja kerana tidak dapat dihabiskan. Walaupun ianya percuma, tetapi cubalah elakkan pembaziran. Ajarkan anak-anak tentang ini.
4. Jangan mengeji jika makanan kurang enak atau tidak mengikut selera anda. Jika tidak suka, jamah sedikit dan simpanlah kata-kata tidak baik di dalam hati sahaja. Syukur untuk setiap rezeki yang Allah beri. Syukur kita dijemput.
5. Tinggalkan meja makan dalam keadaan baik. Usah tinggalkan sisa makanan dan longgokan tisu di meja makan.
6. Usah berkecil hati jika tuan rumah tidak sempat datang ke meja anda. Atau kelihatan tidak cukup tersenyum kepada anda. Biasanya tuan rumah sangat keletihan. Bahkan orang kata seolah “dah tak nampak orang”…. Pergilah kepada tuan rumah dan ucapkan terima kasih.
7. Jika mampu, boleh hulurkan hadiah dalam bentuk wang ringgit. Ianya seperti buah tangan. Memberi wang tunai adalah lebih mudah dan boleh digunakan oleh tuan rumah atau penganti untuk perkara yang perlu. Untuk lebih manis, masukkan wang pemberian dalam sampul.
8. Biarpun hari kenduri, jangan lupa tanggungjawab kepada Ilahi. (Jangan “skip” solat).
9. Seboleh mungkin, cubalah untuk memenuhi undangan tanpa memilih sama ada majlis diadakan di kampung dalam suasana yang sangat sangat sederhana atau di hotel yang besar ternama.
Saya pernah hadir ke majlis kenduri kahwin di sebuah kampung. Ianya sebuah majlis kenduri yang sangat sederhana. Hanya ada sebuah khemah kecil dipasang. Lauk kenduri adalah Singgang Keladi, Gulai Daging Kerbau, Sambal Belacan dan Tembikai sebagai manisan. Ada Air Sirap juga. Alhamdulillah, walaupun berbunyi seperti hidangan ringkas, tetapi sangatlah enak!
Biarpun kendurinya kecil, jemputan boleh hadir tanpa had. Mereka yang dijemput datang seisi keluarga. Stail orang zaman dulu pergi kenduri… begitulah. Jika ada anak lima orang, semua akan datang bersama. Seronok saya tengok.
Majlis kahwin juga adalah tempat berkumpul bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat yang ada. Jadi, raikanlah sahabat yang menjemput anda dengan sebaik mungkin.
Sumber: Dzuriasikim Dzulkefli
Kredit top image: Unsplash