Makan melebihi keperluan kalori seharian boleh menyebabkan berat badan bertambah. Bagi anda yang suka mengambil snek di antara waktu makan tengah hari dan malam, ini bukanlah sesuatu yang baik kerana ia boleh menggagalkan program diet yang anda lakukan. Malah jika anda merasa lapar, keadaan ini boleh menyebabkan anda mengambil makanan paling dekat dengan jangkauan tangan anda seperti makanan segera yang tidak sihat.
Jadi, adakah anda termasuk dalam golongan yang tidak mampu menahan godaan untuk makan? Perhatikan tanda-tanda ini.
- Tidak mampu mengawal kuantiti makanan yang diambil
Tidak elok apabila anda mengambil kalori yang banyak dalam satu masa, walaupun sebelum ini tidak ada kalori yang masuk. Contohnya, anda makan coklat, kerepek dan beberapa keping roti dalam satu masa. Mulai sekarang, aturlah pola pemakanan anda dengan sebaiknya.
- Menyesal selepas makan
Anda menyesal selepas makan lebih daripada hidangan yang sepatutnya? Jika timbul perasaan benci dan tertekan dengan pola pemakanan anda, lebih baik anda berjumpa dengan pakar nutrisi untuk mendapatkan khidmat nasihat.
- Obsesi pada makanan
Adakah anda seorang yang terlalu obsesi apabila menceritakan tentang makanan? Sikap ingin mencuba pelbagai jenis makanan juga merupakan tanda-tanda di mana anda gagal mengawal nafsu makan. Jika keadaan ini berlaku, ubahlah kebiasaan ini agar ia tidak terus menggagalkan program diet anda.
- Melewatkan waktu makan
Seseorang yang mempunyai masalah makan berlebihan cenderung untuk melewat-lewatkan waktu makan. Akhirnya anda akan makan secara berlebihan yang boleh membawa kepada kenaikan berat badan.
- Makan walaupun kenyang
Badan kita mempunyai had untuk menampung jumlah makanan yang masuk. Sayangnya, anda mengabaikan dan tetap mengambil makanan dengan sesuka hati. Jadi, cubalah untuk mengunyah secara perlahan dan berhentilah jika perut anda sudah kenyang.
- Tidak sarapan
Mengabaikan sarapan bukanlah cara yang betul untuk menurunkan berat badan. Dengan membiarkan perut kosong di waktu pagi, pasti anda akan mengambil makanan yang banyak pada waktu tengah hari sehingga membuatkan anda kekenyangan, cepat letih dan lesu.
- Makan kerana ingin memuaskan keinginan
Keadaan ini sering berlaku kepada anda yang mengalami gangguan makan berlebihan. Anda makan kerana ingin memuaskan keinginan terhadap sesuatu perkara dan bukannya kerana rasa lapar.
TIP EKSTRA
Atasi Nafsu Makan!
Jika anda tidak mengawal nafsu makan yang berlebihan ini, segala usaha anda untuk menurunkan berat badan hanyalah sia-sia. Ini kerana jumlah kalori yang masuk ke dalam badan lebih banyak daripada yang dikeluarkan. Untuk mengatasi nafsu makan yang berlebihan, cuba tetapkan tujuan diet anda, cari motivasi tambahan, jangan tinggalkan sarapan dan kunyahlah daun pudina untuk mengekang nafsu makan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI