Menguruskan hal rumah tangga kadangakala suatu perkara yang cukup memenatkan terutama bagi seorang isteri. Menguruskan anak, mengemas rumah dan memasak merupakan tanggungjawab isteri dan ia boleh dibantu suami bagi meringankan tugas isteri. Tambahan pula, isteri juga bekerja bagi menambah pendapatan keluarga.
Peranan suami dalam urusan menguruskan rumah tangga amat penting dalam memastikan kebahagiaan sentiasa dikecapi bersama. Ia bukanlah di tangan isteri semata-mata. Kerjasama antara kedua-dua belah pihak harus diterajui bersama agak bukan sebelah pihak sahaja yang rasa terbeban. Pengantin senaraikan beberapa panduan dan cara untuk suami membantu isteri dalam menguruskan rumahtangga dan menjadikan rumahtangga lebih sejahtera dan bahagia selalu!
Membantu isteri di dapur tidak mencalar kelakian atau menjatuhkan ego suami sebagai lelaki, malah jika sama-sama memasak dan berinteraksi kemesraan akan lebih terjalin dan kesefahaman serta kasih sayang antara suami isteri bertambah erat.
Bagi pasangan yang bekerja, apabila pulang dari kerja, sama-sama uruskan rumahtangga. Misalnya, ketika isteri sibuk memasak si suami boleh memandikan anak atau membantu menjaga anak.
Sebagai bapa mereka, anda seharusnya mengambil tahu mengenai pendidikan anak. Luangkan masa bersama anak ketika mereka membuat kerja sekolah akan merapatkan hubungan anak dengan bapa. Biasanya bapa jarang mahu ambil tahu mengenai hal persekolahan anak kerana ibu biasanya lebih dominan dalam hal pendidikan si anak.
Biasanya waktu pagi adalah waktu paling sibuk untuk uruskan anak ke sekolah atau ke taska. Jika isteri sibuk menyediakan sarapan dan mengemas dapur, suami pula boleh membantu memandikan anak atau siapkan mereka untuk ke sekolah.
Bila suami atau ayah dapat luangkan masa berkualiti dnegan anak dan isteri secara tidak langsung suami dapat memahami emosi isteri dan anak dengan lebih mendalam, Mereka akan faham keperluan emosi isteri dan anak dalam rumahtangga. Oleh itu, jika suami isteri menjalankan prinsip terbaik dalam perkongsian hidup iaitu, urusan rumahtangga tanggungjawab bersama, ia akan melahirkan sebua keluarga yang bahagia dan sejahtera.
Bagi anak yang tidak menyusu bada, biasanya mereka bangun malam untuk minum susu. Jika lihat isteri keletihan, bantu buat susu anak dan beri anak susu.