Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah dia kepada Allah pada separuh (yang belum disempurnakan) lagi.
— Hadis riwayat al-Baihaqi
Kebahagiaan yang dikecapi oleh manusia yang terbit dari hati nurani tidak dapat diluahkan jika dia hidup bersendirian tetapi harus dikongsi bersama pasangan..
.. mengikut lunas-lunas peraturan tertentu.
Justeru itu, Allah menjadikan makhluk-makhlukNya khususnya manusia, fitrahnya suka pada ketenangan atau sakinah dengan kehidupan beristeri dan mempunyai keluarga.
Hidup berkeluarga ini pada dasarnya lebih berkat, tenteram dan teratur berbanding hidup berseorangan, membujang atau menyendiri.
Hubungan suci seorang lelaki dan perempuan yang mukallaff melalui ikatan perkahwinan ini menggambarkan corak kehidupan sempurna yang diredhai Allah dan dianjurkan oleh Rasulullah.
Rumah tangga yang dibina merupakan alam pertama yang boleh menentukan sejahtera atau tidaknya sesebuah masyarakat yang diwakili oleh individu-individu yang menyokongnya.
Seandainya suasana sesebuah rumah tangga itu aman dan kasih-mengasihi antara satu dengan yang lain, maka insyaaAllah akan tenteram dan sejahtera masyarakat.
Perkahwinan ialah amanah untuk memikul tanggungjawab membentuk keluarga yang lebih besar
Untuk menjamin keharmonian rumah tangga, Islam telah menetapkan tugas dan tanggungjawab suami dan isteri.
Suami sebagai ketua keluarga khususnya bertanggungjawab terhadap kesejahteraan isteri dan anak-anaknya.
Suami hendaklah sentiasa mengamalkan pergaulan yang baik dengan isteri, anak-anak dan orang lain.
Mempunyai sifat bertolak ansur, pengasih, penyabar, pemaaf dan bertimbang rasa.
Selain dari suami, isteri juga mempunyai tanggungjawabnya dalam sesebuah keluarga.