Perkahwinan Yang Bahagia Itu, Lahir Dari Suami Isteri Yang Suka Memaafkan
Januari 18, 2019
Share
Mulakan Dari Awal perkahwinan
Di awal perkahwinan, membina keserasian dengan komunikasi ini sangat-sangat penting. Wajib menyediakan masa untuk bercakap dari hati ke hati. Kita sedang membina sistem rumahtangga, kita sedang mencari kesefahaman, kita sedang ingin menumbuhkan penghormatan dan kasih sayang pada insan asing yang telah bergelar suami atau isteri kita.
Setiap sesuatu sikap dan pemberian yang baik dari pasangan, kita hargai dan berterima kasih. Walaupun ia amat kecil pada kita. Supaya pasangan kita tahu dirinya telah berbuat sesuatu yang baik dan betul sebagai suami dan isteri.
Setiap sesuatu sikap dan tindakan pasangan yang tidak kita sukai, kita perlu luahkan walau kita bimbang dirinya akan berkecil hati dengan teguran kita. Supaya suami atau isteri tahu, dirinya telah berbuat sesuatu yang pasangan tidak selesa dan tidak gemari.
Yang boleh diubah, kita perbaiki. Yang memang tidak boleh atau terlalu sukar untuk diubah, kita terima dengan lapang hati. Ketika itulah rumahtangga mampu menjadi medan kasih sayang dan amal bakti setulus hati. Komunikasi yang baik akan melimpahkan keharmonian dan mendamaikan hati dalam melalui ujian dan dugaan kehidupan seharian.
Sebelum bernikah, ya, kita tahu di dalam sebuah rumahtangga akan ada elemen kewangan, hubungan intim, mertua-ipar duai, kerjaya, anak-anak, hobi, leisure, aktiviti dan tanggungjawab lainnya… tapi kita hanya akan faham tentang elemen-elemen itu bila ia mula menimbulkan konflik dalam rumahtangga. Bila kita menghadapinya, ketika itulah kita akan mempraktikkan teori tentang pernikahan yang kita tahu.
Maka komunikasi teramat perlu untuk meredakan dan meluruskan konflik yang timbul.
Berkomunikasilah…bagaimana pendapatan suami isteri dan kewangan keluarga dibahagi-bahagikan. Supaya suami isteri tak bersangka-sangka bahawa mereka hanya menghabiskan duit untuk kepentingan sendiri. Supaya suami isteri boleh bersinergi mengukuhkan bajet keluarga.
Berkomunikasilah…apa cabaran dan kebaikan dalam pergaulan dengan mertua dan ipar duai. Jika tidak suka atau tidak selesa dengan gelagat mertua atau ipar duai, nyatakan secara jelas dan berhikmah pada pasangan. Jangan sekadar buat muka masam mencuka dengan kehadiran mereka yang tidak disenangi, jangan mencela tak tentu hala, namun duduk berbincang suami isteri, apa jalan tengah untuk meluruskan isu ini.. Perjalanan pernikahan kita masih panjang, tidak mungkin mampu kita hadapi jika perbalahan subur sentiasa.
Berkomunikasilah…untuk mengindahkan hubungan intim suami isteri, untuk terus menyuburkan cinta kasih sesama pasangan. Harus bagaimana untuk saling memuaskan pasangan, harus bagaimana mencari masa berkualiti untuk bermanja-manja suami isteri sewaktu urusan anak-anak, tekanan kerja dan kewangan tak pernah jauh dari fikiran.
Pastinya komunikasi tentang hubungan intim bukan di hadapan anak-anak, bukan sewaktu tengah lapar di meja makan, bukan ketika fokus memandu, tapi ketika ada ruang bermesra-mesra, ketika itulah sedikit-sedikit membina keserasian hubungan seksual. Bukankah ada kajian menunjukkan kadang-kadang bertahun-tahun baru suami isteri dapat menikmati hubungan seksual yang memuaskan…?
Namun segala isu ini- kewangan, keluarga mertua, hubungan intim etc – kuncinya, komunikasi. Supaya kita tak menzalimi pasangan dalam hak-haknya. Supaya kita dapat mencicip sediki kebahagian dalam rumahtangga yang kita bina bersama.
Akui Kesilapan Sendiri, Maafkan Pasangan SELALU
Nada bercakap, perkataan dan ayat-ayat yang terungkap dari bibir-bibir kita telah banyak mengguris hati pasangan bukan? Mungkin dengan perkataan-perkataan kita, hati pasangan telah terluka parah atau mungkin kelukaan kecil.
Maka usah bertangguh dan merasa berat memohon maaf, kenali dan akui kesalahan-kesalahan kita pada pasangan..mohonlah maaf kerana ALLAH. Maafkanlah pasangan..kerana ALLAH. Saya teringat sebuah pepatah:
Perkahwinan yang bahagia itu, lahir dari suami isteri yang suka memaafkan.
Ya, kerana kita bernama manusia tidak berhenti melakukan kesilapan perkataan dan tindakan. Berusaha yang terbaik memperbaiki diri, dan maafkan saja perkara-perkara yang amat sukar diperbaiki.