Pemberian dulang hantaran di dalam majlis pertunangan mahu pun pernikahan merupakan suatu kemestian di antara kedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan.
Selain memenuhi keperluan dan tuntutan adat untuk mengikat dua hati menjadi satu. Berbalas dulang hantaran juga dianggap sebagai simbolik mengukuhkan hubungan kekeluargaan di antara kedua-dua belah pihak. Malah turut menjadi bukti tanda kasih antara pasangan dengan pemberian barangan yang istimewa dan bermakna.
Perlu Diingat:
1. Ada bekas hantaran seperti dulang, bakul, kotak ataupun bekas kaca.
2. Harus ada alas dulang seperti daripada fabrik organza, satin, sifon yang digubah indah dengan juraian manik ataupun renda.
3. Cantikkan gubahan dengan jambangan bunga sama ada yang segar ataupun artifisial. Lagi banyak lagi cantik. Namun ada juga yang menggunakan sedikit bunga dan terpulang pada cita rasa masing-masing.
4. Perlu pastikan gubahan itu kukuh dan senang untuk dibawa agar tidak jatuh tatkala dibawa pengiring.
5. Jika barangan makanan yang dibawa, pastikan diletakkan dalam bekas yang selamat agar tidak dimasuki habuk ataupun serangga seperti semut dan lalat.
Perkara Perlu Dielak:
1. Jika mahu membawa manisan sebagai hantaran seperti kek atau kuih, pastikan diisi pada hari mahu berangkat. Jangan bawa manisan yang berkuah, bimbang menghadapi kesukaran membawanya.
2. Elakkan gubahan hantaran dibawa kanak-kanak kerana bimbang akan terjatuh dan pasti akan mencacatkan majlis.
3. Pastikan kek yang dibawa adalah jenis fondan bukan krim. Ini kerana bimbang jatuh atau kemek dan akan merosakkan kek yang dibawa.
Tip minimumkan kos:
1. Beli barangan gubahan dengan harga borong.
2. Buat penawaran untuk menggandakan penjimatan wang.
3. Bandingkan harga di beberapa kedai terpilih.
4. Beli barang hantaran sewaktu jualan potongan harga.
5. Jika barangan lama (seperti majlis tunang) masih elok, boleh gunakan dengan menggubahnya semula.
6. Beli barang sedikit demi sedikit, taklah rasa terbeban bila beli barang sekaligus.
kredit foto hantaran: dw.co, ayulrahman, qahharphotography
Saksikan juga pasangan manis dalam detik indah Pesona Pengantin bercerita tentang persiapan hantaran mereka.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mula Kan Langkah Anda Wahai Wanita Kalau Masih Belum Berjumpa Jodoh
Dalam bab mencari jodoh, wanita dilihat lebih berisiko jika mendapat jodoh yang lambat berbanding lelaki. Bagi seorang lelaki, kebiasaannya mereka tidak kisah memperolehi jodoh yang lambat kerana mereka merasakan ‘tarikh luput’ mereka adalah lebih lama berbanding dengan wanita.
Wanita yang terlebih dahulu memulakan langkah perkenalan adalah wanita yang berani. Tidak semua wanita boleh melakukannya. Ketika mahu memulakan langkah perkenalan, ada beberapa hal yang perlu anda ketahui supaya anda tidak dilihat terlalu murah di hadapan lelaki yang anda suka.
1. Dapatkan Maklumat Si Dia
Langkah pertama, dapatkan maklumat mengenai si dia sama ada sudah berpunya ataupun tidak. Jika boleh, elakkan untuk menyukai suami, tunang atau kekasih orang lain jika anda tidak mahu berdepan dengan pelbagai masalah kelak. Pastikan si dia juga betul-betul ‘single’ sama seperti anda. Anda mungkin boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui rakan-rakan yang rapat dengan lelaki tersebut. Malah di zaman teknologi sekarang, info perhubungan seseorang juga kadang-kala boleh diketahui hanya melalui akaun media sosial.
2. Mulakan Komunikasi
Langkah kedua, mulakan komunikasi dengan si dia secara sederhana. Ini bermaksud komunikasi anda dengan si dia adalah sekadar teguran biasa. Mungkin anda boleh bermula dengan sebagai seorang kawan sahaja. Kawal perasaan anda agar anda tidak nampak macam ‘terhegeh-hegeh’dekat si dia.
3. Beri Masa Untuk Kenal
Langkah ketiga pula, perhatikan si dia sama ada si dia selesa atau tidak berkawan dengan anda. Sabar dan ambil masa seberapa banyak yang mungkin untuk berkenalan. Pada masa ini, anda mungkin dapat melihat dan membaca reaksi daripada sikap si dia kepada anda sama ada si dia sukakan anda ataupun sebaliknya.
4. Meluahkan Perasaan
Langkah keempat dan yang terakhir, perhubungan anda dan si dia mungkin sudah mula rapat. Namun si dia tetap juga tidak meluahkan perasaan kepada anda terlebih dahulu, jadi andalah yang harus meluahkan perasaan suka itu. Saat ini mungkin merupakan saat yang paling mendebarkan dalam hidup, namun anda harus cuba. Anda juga harus bersedia dengan segala jawapan yang akan diberikan oleh si dia sama ada menerima atau menolak anda.
Jika si dia menerima anda, Alhamdulillah ternyata usaha anda selama ini berhasil. Namun jika ditolak, jangan terlalu bersedih. Semua orang diberi hak untuk memilih pasangan masing-masing. Ingat pepatah ini, ‘bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor.’ Insya-Allah mungkin ada jodoh yang lebih baik menanti anda pada masa hadapan. Siapa tahu?
Sumber : baitulmuslim
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
20 Amalan Ini Kalau Bakal Pengantin Buat, Rezeki Terus Mencurah Dan InsyaAllah Cepat Kaya
Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu. (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.: “Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.: “dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang.Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani,al-Asybahani dan al-Hakim) Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.: “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.: “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11 . Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad- Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7). Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim). Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3) Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at- Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3) Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya
Sumber: mohdherman
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nak Gambar Kahwin ‘Meletop’ Ikut 6 Tip Ini
Tidak lengkap bila majlis kahwin yang berhias dengan dekorasi menarik ditambah dengan pasangan pengantin yang sudah cantik bergaya tanpa rakaman foto oleh jurufoto profesional. Ada yang menganggap jurufoto tidak penting tetapi hakikatnya amatlah rugi gambar yang diambil hasilnya tidak menarik jika bukan di kalangan profesional yang mengambilnya.
Tidak dinafikan mengupah seorang jurufoto memerlukan kos tertentu. Agar gambar kahwin anda yang beri hasil yang membanggakan, ikut tip berikut sebagai panduan.
- Pilih jurufoto yang profesional
Tengok hasil kerja yang dilakukan oleh jurufoto yang akan anda bayar. Dapatkan seberapa banyak maklumat yang mungkin berkenaan pakej yang ditawarkan. Berbincanglah dengan jurufoto gambar yang bagaimana yang anda inginkan. Gabungan idea bersama dengan jurufoto dapat menghasilkan output yang terbaik. Semasa perbincangan ini anda sudah dapat menilai sejauh mana kepakaran jurufoto itu. - Rancang aturcara majlis perkahwinan dengan sempurna
Agar majlis tidak menjadi kacau bilau, rancang aturcara majlis perkahwinan dengan teratur, pastikan setiap acara diberi waktu yang secukupnya. Sebaiknya berikan satu salinan aturcara majlis. Tugaskan seseorang untuk membantu jurufoto dan memperincikan lokasi setiap acara. Dengan ini, jurufoto dapat merancang posisi-posisi dan sudut-sudut yang menarik untuk mengambil gambar perkahwinan anda.
- Bakal pengantin pastikan cukup rehat
Menjelang hari majlis perkahwinan, pastikan yang bakal pengantin mendapat rehat yang secukupnya. Agihkan kerja-kerja kepada yang lain. Jangan pula semua bakal pengantin selesaikan. Ini untuk memastikan bakal pengantin kelihatan segar dan berseri di sepanjang gambar anda dirakamkan.
- Ambil gambar dahulu
Selesai sahaja disolek, sebaik-baiknya ambil dulu beberapa keping gambar portrait. Waktu selepas disolek adalah waktu terbaik untuk mengambil gambar. Luangkan sedikit masa untuk jurufoto anda mengambil gambar. Jika ambil lewat, bimbang pengantin akan keletihan dan solekan telah cair atau kusam. Hasilnya, gambar sudah semestinya nampak tidak menarik.
- Berlatih untuk senyum dan bergaya
Sebelum majlis perkahwinan, berlatihlah di depan cermin untuk senyum dan bergaya (posing). Jangan nanti pada hari majlis perkahwinan, anda kelihatan masam dan kaku. Ini akan mencacatkan gambar perkahwinan anda.
- Sabar menanti gambar disiapkan
Apabila berakhirnya majlis perkahwinan, biasanya jurufoto memerlukan masa satu ke dua minggu untuk menyiapkan gambar anda. Bersabarlah dan beri peluang jurufoto menyiapkan semuanya. Jangan mendesak jurufoto untuk menyiapkan semuanya dengan cepat. Bimbang nanti akibat tergesa-gesa, hasil gambar kahwin anda kabur, gelap dan tidak menarik.
Sumber : http://tipspersiapanmajlisperkahwinan.blogspot.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI