Selepas bertungkus lumus selama berbulan-bulan merancang majlis yang paling sempurna, pasti anda ingin semuanya berjalan lancar. Jika anda bakal pengantin lelaki, jadikan empat perkara ini sebagai panduan yang perlu anda lakukan sehingga majlis akad nikah selesai.
Dalam tak sedar, ada sebahagian bakal pengantin yang kurang pendedahan tentang ilmu-ilmu perkahwinan seperti perkara yang perlu dilakukan selepas majlis akad nikah. Bezanya hari ini, jurunikah turut memberi ruang selepas majlis untuk pengantin melakukan solat sunat dan sebagainya. Begitu juga jurugambar yang turut serta dalam mengambil momen-momen indah di dalam majlis tersebut.
Untuk bakal pengantin lelaki, pastikan anda jadikan empat perkara ini sebagai panduan sebelum anda melangkah menjadi seorang suami.
1. Solat Sunat Selepas Akad Nikah
A. Lafaz niat:
“Usolli sunnata ba’dan nikahi rak’ataini lillahi Taala”
Ertinya: Sahaja aku solat sunat sesudah nikah dua rakaat kerana Allah Taala
B. Bacaan surah
Surah-surah yang sunnah dibaca selepas Al-Fatihah adalah:
Rakaat pertama: Surah Al-Kafiruun
Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas
C. Sujud Syukur selepas salam
Kemudian, selepas salam dilakukan pula Sujud Syukur, ataupun boleh juga selepas akad terus dilakukan Sujud Syukur terlebih dahulu tanpa mengerjakan Solat Sunat Nikah tersebut yang ditangguhkan pada sebelah malam nanti. Ia terpulang kepada kesesuaian dan keselesaan individu dan pasangan tersebut untuk melakukannya.
D. Membaca doa nikah
Baca doa nikah yang bersesuaian atau boleh dibaca contoh dalam bahasa Melayu seperti berikut:
“Ya Allah! Dikau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, seru sekalian alam. Ya Allah! Daku bersyukur kepada-Mu, setelah selesai pernikahan kami ini, daku memohon pada-Mu Ya Allah; Dikau berkatilah pernikahanku ini, Dikau jadikanlah daku dan isteriku orang-orang yang soleh.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim! Kepada-Mulah kami memohon pertolongan. Dikau anugerahkanlah kepadaku isteri yang solehah, Dikau berikanlah daku dan isteriku petunjuk dan hidayah agar kami sentiasa di dalam keredhaan-Mu dan tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus sepanjang hidup kami. Dikau berikanlah kami kekuatan untuk memimpin isteri dan mendidik bakal anak-anak kami ke jalan yang Dikau redhai.
Ya Allah, Ya Wadud! Dikau mesrakanlah kami, bahagiakanlah kami sebagaimana Nabi Muhammad SAW dan Siti Khadijah, Nabi Yusuf dengan Zulaikha, Nabi Adam dan Hawa.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim! Dikau anugerahkanlah padaku dan isteriku anak-anak yang ramai yang soleh dan solehah. Dikau anugerahkanlah kami dan anak cucu kami kesihatan dan kesejahteraan di sepanjang hayat kami dan sepanjang hayat mereka. Dikau peliharalah kami daripada perkara-perkara yang boleh merosak kemesraan dan kebahagiaan rumah tangga kami.
Ya Allah, Ya Razaq, Ya Rashid! Dikau anugerahkanlah kepada kami akan rezeki yang bersih lagi baik, lindungilah kami dari mendapat rezeki yang keji dan haram. Dikau jadikanlah daku dan isteriku serta bakal anak-anak kami orang yang rajin mengerjakan solat dan bertakwa. Dikau berikanlah petunjuk dan jalan sekiranya daku dan isteriku serta anak-anak kami tergelincir atau menyimpang ke jalan yang tidak Dikau redhai.
Ya Allah! Dikau anugerahkanlah padaku, isteriku dan keturunan kami kekuatan dan keimanan untuk berbuat baik dan amal soleh sepanjang hayat kami. Dikau peliharalah kami suami-isteri, anak-anak dan cucu-cucu kami daripada sebarang mara bahaya, fitnah dan malapetaka yang tidak diingini sama ada yang zahir mahupun yang batin.
Ya Allah! Dikau berkatilah umur kami suami-isteri, anak-anak kami dan cucu-cicit kami sehinggalah akhir hayat kami dan mereka. Dikau peliharalah kami suami-isteri, anak-anak kami dan cucu-cicit kami agar menjadi orang yang taat kepada-Mu Ya Allah, kepada kedua ibu bapanya dan taat mengerjakan perintah-Mu dan taat dalam menjauhi larangan-Mu.
Bahagiakanlah rumah tangga kami Ya Allah! (3 kali),
Dikau berkatilah rumah tangga kami Ya Allah! (3 kali).”
2. Sujud Syukur
A. Lafaz niat:
“Sahaja aku sujud syukur kerana Allah Taala”
B. Cara solat:
a. Takbiratul ihram iaitu mengangkat tangan sebagaimana takbir dalam solat.
b. Terus sujud sekali dan membaca bacaan seperti bacaan sujud ketika solat.
c. Mengucapkan syukur di dalam hati “Aku bersyukur kerana dikurniakan suami / isteri”
d. Terus duduk dan memberi salam.
3. Suami meletakkan tapak tangan di atas ubun-ubun isteri lalu membaca doa
A. Bacaan doa seperti berikut:
“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya. Ya Allah berkatilah isteriku ini atasku dan lindungi dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya.” (Riwayat Abu Daud)
4. Isteri bersalaman dengan suami sambil mencium tangan suami lalu mengucapkan 2 kalimah syahadah
Ini adalah empat perkara sunat yang sebaiknya dilakukan pengantin sejurus selepas anda berdua sah diijabkabulkan sebagai suami isteri. Namum berhati-hati, anda tidak digalakkan untuk mencium ubun-ubun isteri kerana ia adalah acara dalam agama lain. Selalunya, saudara-mara yang akan mengarahkan pengantin lelaki untuk mencium isteri dan anda haruslah menolaknya dengan cara berhemah.