Menjadi kebiasaan pada hari Isnin dan khamis untuk sesiapa jua untuk merebut pahala berpuasa sunat. Malah ada yang berpakat di kalangan teman sepejabat. Niat ini sungguh murni namun perlu dingat bagi wanita yang sudah berkahwin hendaklah meminta keizinan dari suami terlebih dahulu, untuk berpuasa . Jika tidak diizinkan oleh suami, ibadah ini tidak boleh dilakukan.
Kenapa?
Sabda Rasulullah saw;
Seorang wanita tidak boleh berpuasa walau pun satu hari dalam keadaan suaminya berada di rumah kecuali dengan izin suaminya. Melainkan pada bulan Ramadan.
Hadis riwayat Bukhari, Muslim dari Abu Hurairah.
Keperluan mendapatkan izin
Imam Nawawi menjelaskan suami berhak mengajak isterinya jimak bila-bila masa dan pada hari apa sahaja, dan haknya itu wajib dipenuhi oleh isterinya ketika itu juga, dan tidak boleh ditangguhkan oleh kerana amalan sunat.
Dalam hal ini isteri perlu meminta izin terlebih dahulu bagi memastikan suami tidak berhasrat kepada isteri yang tentunya akan membatalkan puasa sunat jika suami meminta dilayani keperluan batinnya pada siang hari.
Selain itu keizinan untuk berpuasa sunat ini juga perlu sebagai satu bentuk penghormatan kepada suami sebagai ketua keluarga
Sumber:http://utaranews.com/2017/06/kenapa-seorang-isteri-perlu-minta-izin-dari-suami-untuk-berpuasa-sunat.html/
*********
Berbalik kepada soalan pada asalnya seorang isteri itu wajib meminta keizinan suaminya untuk berpuasa sunat. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Hammam bin Munabbih R.A, sabda Nabi SAW:
لاَ تَصُمِ الْمَرْأَةُ وَبَعْلُهَا شَاهِدٌ إِلاَّ بِإِذْنِهِ
Maksudnya: Tidak dibenarkan berpuasa bagi seorang wanita (isteri) dan suaminya ada disisinya melainkan dengan keizinannya
Riwayat Muslim (1026)
Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadis di atas menyebut:
هَذَا مَحْمُولٌ عَلَى صَوْمِ التَّطَوُّعِ وَالْمَنْدُوبِ الَّذِي لَيْسَ لَهُ زَمَنٌ مُعَيَّنٌ وَهَذَا النَّهْيُ لِلتَّحْرِيمِ صَرَّحَ بِهِ أَصْحَابُنَا
Maksudnya: larangan ini bermaksud ke atas puasa sunat (yang memiliki waktu tertentu seperti puasa hari arafah) dan puasa yang disunatkan yang tidak memiliki waktu tertentu, dan larangan ini merupakan larangan yang menunjukkan pengharamannya sebagaimana yang dijelaskan oleh ashab al-Syafi’eyyah
(Lihat Syarh al-Nawawi ala Muslim, 7/115)
Bagi menjelaskan isu puasa qadha’ Ramadhan para ulama menerangkan bahawa tidak dibenarkan bagi sesorang isteri untuk menggantikan puasa Ramadhan tanpa keizinan suami sekiranya waktu untuk menggantikannya masih mempunyai tempoh yang panjang.
Ini sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haithami di dalam kitabnya:
وَيَحْرُمُ عَلَى الزَّوْجَةِ أَنْ تَصُومَ تَطَوُّعًا أَوْ قَضَاءً مُوَسَّعًا وَزَوْجُهَا حَاضِرٌ إلَّا بِإِذْنِهِ أَوْ عَلِمَ رِضَاهُ
Maksudnya: Dan diharamkan ke atas seorang isteri untuk berpuasa sunat atau puasa qadha’ sekiranya tempoh menggantikannya masih berpanjangan dan suaminya datang kepadanya melainkan dengan keizinan suaminya atau dia mengetahui suami meredhainya berpuasa.
(Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/461)
Imam al-Syirwani menyebut di dalam hasyiahnya bahawa sekiranya seorang isteri itu berpuasa tanpa keizinan suaminya maka sah puasanya akan tetapi perbuatannya itu haram dan berdosa. Walau bagaimanapun sekiranya suaminya tidak berada di tempat tinggalnya maka diharuskan baginya untuk berpuasa.
(Lihat Hasyiah al-Syirwani ala Tuhfah al-Muhtaj, 3/461)
Kesimpulan
Dapat disimpulkan bahawa seseorang isteri wajib meminta izin suaminya apabila hendak melakukan puasa ganti atau puasa sunat sekiranya suami berada di rumah. Ini kerana wajib bagi seorang isteri untuk memenuhi hak bagi suaminya. Namun sekiranya suaminya tidak ada di rumah, maka ia boleh berpuasa qadha’ atau sunat. Bahkan sebaiknya meminta keizinan suaminya bagi menunjukkan rasa hormat ke atasnya.
Wallahua`lam.