Persoalan Tentang Puasa Yang Sering Buat Kita Keliru & Tertanya-Tanya

Share

Bila berbicara soal puasa ini, pastinya ada sahaja persoalan yang sering bermain di minda kita dan membuatkan kita tercari-cari jawapan yang tepat.

Kali ini, kami kongsikan beberapa soalan yang sering diajukan ketika berpuasa. Apa yang membuatkan kita risau adalah batal atau tidak ibadah puasa kita itu. Ini jawapannya!

1. Menelan air liur ketika berpuasa, adakah batal puasanya?

Menelan air liur yang berada di dalam rongga mulut adalah tidak membatalkan puasa, kerana ia termasuk perkara yang sukar untuk mengawalnya. Tetapi jika air liur tersebut diluahkan atau dikeluarkan daripada rongga mulut kemudian ditelan semula, maka batal puasanya.

Begitu juga hukumnya menelan kahak atau hingus yang telah diluahkan. Sekiranya dia menelan kembali, maka batal puasanya. Tetapi jika kahak itu hanya tersekat di kerongkong, kemudian ia telan atau kahak tersebut turun ke dalam perutnya dengan sendiri, maka tidak batal puasanya.

Tambahan: Sekiranya air liur tersebut telah bercampur dengan najis seperti darah gusi, dan dia tidak meluahkan atau membasuh mulutnya, kemudian dia menelannya, maka batal puasanya.

2. Adakah orang yang muntah ketika sedang berpuasa itu perlu menggantikan puasanya?

Sekiranya dia muntah dengan tidak sengaja, maka tidak batal puasanya dan dia tidak perlu menggantikan puasanya. Hal ini berdasarkan hadith. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ ذَرَعَهُ الْقَيْءُ فَلَيْسَ عَلَيْهِ قَضَاءٌ وَمَنِ اسْتَقَاءَ عَمْدًا فَلْيَقْضِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang muntah (dengan tidak sengaja) maka tidak wajib qadha’ puasa ke atasnya, dan barangsiapa yang muntah dengan sengaja, maka hendaklah dia menggantikan puasanya”. (HR. At-Tirmidzi)

3. Bolehkah mengorek hidung atau telinga ketika sedang berpuasa?

Harus mengorek hidung atau telinga kerana gatal, atau ingin membersihkannya. Para ulama’ dalam mazhab As-Syafie menghadkan harus mengorek hidung dan telinga tidak sampai pada had batin. Sekiranya mengorek hidung atau telinga dengan tanpa apa-apa tujuan atau keperluan, maka hukumnya adalah makruh.

Huraian: Had batin bagi hidung adalah melepasi tulang hidung. Manakala had bagi telinga ialah sampai kepada gegendang telinga.

4. Bagaimana pula hukum seseorang yang berpuasa tetapi tidur sepanjang hari di bulan Ramadan?

Tidur adalah perkara yang diharuskan oleh syarak melakukannya pada bila-bila masa yang dikehendaki. Namun, perbuatan tersebut menjadi makruh apabila seseorang yang berpuasa itu tidur di sepanjang hari Ramadan, kerana dia telah mensia-siakan peluang untuk mempertingkatkan beribadah di bulan Ramadan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda.

Dan, kerana dia telah mensia-siakan peluang untuk mempertingkatkan beribadah di bulan Ramadan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda.

Huraian: Perbuatan tersebut hukumnya boleh bertukar menjadi haram, sekiranya seseorang yang berpuasa tidur sepanjang hari Ramadan lalu dia meninggalkan kewajipan menunaikan solat fardhu subuh, zohor dan asar. Bulan Ramadan bukanlah bulan untuk tidur, bahkan tidur itu tidak membatalkan puasanya.

5. Ketika sedang bersahur, tiba-tiba azan Subuh berkumandang. Lalu dia menelan baki makanan atau minuman yang masih ada di dalam mulutnya. Adakah batal puasanya?

Ya. Batal puasanya, dan dia wajib Imsak sepanjang hari tersebut, iaitu dia hendaklah meneruskan puasanya seperti biasa walaupun ianya telah batal. Kemudian dia hendaklah menggantikan puasanya itu. Sama juga dengan orang yang sedang melakukan hubungan kelamin antara suami dan isteri, tiba-tiba azan subuh berkumandang. Jika pasangan suami dan isteri itu tidak mengakhiri hubungan tersebut, maka batallah puasanya.

Sumber: ezqurban

Published by
Naqiyatul Uzma