Pertandingan Pesona Rias Wajah Cantik – The Glam Wedding

Share

Buat kali ke-29, sekali lagi Juz Zarith Innovation merancakkan ruang legar Plaza Angsana, Johor Bahru, Johor dengan penganjuran ekspo perkahwinan dan pelbagai acara pentas sempena “Pameran Pengantin Johor – Gala Seri Pesona Pengantin”. Bertemakan The Glam Wedding acara yang berlangsung dari 7  hingga 16 September 2018 ini menyaksikan penglibatan lebih kurang 55 vendor perkahwinan di sekitar Johor.

Seperti penganjuran yang lepas, pentas utama tidak pernah lekang dengan pebagai aktiviti yang menjadi salah satu tarikan utama pengunjung terutamanya bakal pengantin. Pertandingan yang dikatakan ‘wajib’ diadakan dan ditunggu-tunggu oleh setiap MUA sudah pastinya ialah pertandingan solekan, Pesona Rias Wajah Cantik – The Glam Wedding, selain beberapa pertandingan seperti Pertandingan Pengantin Cilik, Bridal Marathon – Glam Wedding, Bridal Fashion Showcase & Draping show bersama Gulatis Fabrik & Textile dan turut berkolaborasi dengan pihak model agency TNF (The New Faces) dan banyak lagi. Busana Pengantin Fesyen Showcase mengetengahkan Andaman Molly Bridal, MRMS Wedding, Senorita Wedding Planner, Dsani Bridal, Hajaliah Creation, Nill Abaka dan Adli Afandi.

ANUGERAH REBUTAN
Sepanjang 10 hari penganjuran, banyak kategori anugerah telah disediakan untuk menghangatkan lagi kemeriahan aktiviti yang dijalankan. Antara anugerah yang dipertandingkan ialah Bridal Marathon iaitu anugerah Best Dress, Best Couple, Best Head Accessories, Creative Hand Bouquet, Best Team Presentation, The Best Vendor Appearance. Setiap kategori mempunyai Top 3.

Anugerah yang menjadi rebutan di kalangan vendor perkahwinan sudah tentu Anugerah Pelamin Deco Tercantik yang terdiri daripada dua kategori iaitu Pelamin/Deko 2 booth atau 1 booth. Juara untuk dua booth dimenangi oleh Molly Wedding Planner, naib juara JacobinWhite manakala Nill Abaka menduduki tempat ketiga. Juara Pelamin/Deko untuk 1 booth ialah Nick Barney, naib juara , Moon Wedding Concept dan tempat ketiga ialah Auxiliary Wedding. Pentas utama yang tersergam indah mendapat sentuhan vendor perkahwinan terkenal Dsani Wedding Planner dengan tema The Glam Wedding – Romantic Paris

“Sebagai penganjur, sudah tentu saya mengharapkan di masa akan datang setiap vendor dapat mengeluarkan kreativiti masing-masing yang lebih mencabar. Mereka bukan sahaja dapat bersaing secara sihat, malah secara tidak langsung mereka juga dapat meningkatkan lagi idea-idea baharu dalam persembahan dekorasi dan strategi pemasaran.

“Saya dapati harga pakej yang ditawarkan juga mampu dimiliki oleh bakal pengantin. Nasihat saya kepada vendor, jagalah kualiti dan bukannya mencari kuantiti yang banyak tanpa menghiraukan mutu dan kualiti yang dipersembahkan. Janganlah menawarkan harga yang murah kepada pelanggan tapi tidak menepati janji kepada pelanggan,” ujar Zuraidah, pemilik Juz Zarith Innovation Event Management

VENDOR LEBIH BERANI
Tercetusnya ekspo perkahwinan sebegini, Zuraidah berharap agar setiap pelanggan dapat memilih perancang perkahwinan dengan bijak agar bakal pengantin dapat merealisasikan impian mahligai bahagia mereka.

“Harapan saya lebih ramai lagi vendor andaman yang akan melibatkan diri dalam promosi seperti ini. Selain mereka dapat dikenali oleh bakal pengantin, promosi ini umpama one stop centre wedding exhibition di mana bakal pengantin boleh mendapatkan pelbagai pakej dari A hingga Z. Sebagai penganjur yang telah lama menganjurkan program seperti ini, pastinya saya ingin melihat adanya kemajuan dalam industri andaman. Jika satu ketika dahulu vendor andaman begitu sukar untuk menyertai pameran pengantin kerana tiada sikap keterbukaan, namun kini mereka sudah lebih terbuka.

“Setelah berjaya meyakinkan mereka, saya lihat adanya kemajuan apabila vendor andaman lebih berani bersaing dengan mengeluarkan modal besar demi mempamerkan kreativiti mereka. Saya ingin melihat vendor andaman mengamalkan sikap budaya saing, jangan mudah berpuas hati dan sentiasalah berusaha mencari idea-idea baharu,” ujar Zuraidah panjang lebar.

Sempena dengan pameran ini, pada hari kemuncak berlangsungnya pertandingan yang dikatakan ‘wajib’ diadakan dan ditunggu-tunggu oleh setiap MUA iaitu Pesona Rias Wajah Cantik – The Glam Wedding. Pertandingan solekan ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari MUA . Dengan tema solekan Pengantin cantik – Malar Segar Timeless + bersih +kemas setiap MUA  memberi fokus dan menyerlahkan kreativiti mereka terhadap solekan yang ditampilkan. Masa diberikan kepada mereka ialah satu jam 30 minit.

Pertandingan ini diadili oleh barisan juri yang terdiri daripada mekap artis, Bosco, Pereka Fesyen Adli Afandi,  Siti Mariam Editor Pesona Pengantin, Benjamin Victor Ong, The Founder of TNF ( Model Agency) dan Putri Adila wartawan Pesona Pengantin.

Selain memilih pemenang untuk Top 5 turut disediakan Anugerah Busana Tercantik( Top 3), Anugerah The Creative MUA, Anugerah MUA Harapan, Anugerah MUA Favourite, Anugerah Hair-DO Terbaik, Anugerah Hiasan Rambut Terbaik, Anugerah Aksesori Terbaik, Anugerah Hand Bouquet Terbaik, Anugerah Best Presentation by Model dan Anugerah Khas Pilihan Juri. Diumumkan juga pemenang Top 16 dengan menerima hadiah saguhati dari pihak penaja. Juara bagi pertandingan ini ialah Hendra Iqram, Naib Juara Fasha Rahman, tempat ketiga Dwuan Lee, tempat keempat Akiem Costa dan kelima Amie Alisan. Tahniah buat kesemua pemenang.

Juara pertandingan

Masih di lokasi yang sama, penganjuran kali ke-30 bakal diadakan pada 11 hingga 20 Januari 2019 dengan tema The Morocco Wedding Style. Kali ini Juz Zarith Innovation membuatkan kelainan dari segi pertandingan solekan, program-program yang diadakan.

TEKS : Zu Zarith
OP FOTO : TRISNO & CO.
OP Foto : Jepp Fujiwars

Published by
Putri Adila