Tular kes perceraian pengarah, Syamsul Yusof dan Ira Kazar membuatkan penyanyi Datuk Nora Ariffin menasihati orang ramai agar tidak bersorak gembira atas kesengsaraan orang.
Kata Nora atau nama lengkapnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, masa depan semua insan adalah kehendak Ilahi dan tidak perlu masing-masing seronok melihat keretakan rumah tangga pasangan lain.
“Jangan kita terlalu seronok, bertepuk tangan melihat orang bercerai-berai sebab kita pun tak tahu hal sebenar.
“Kita pun tak tahu perancangan Allah SWT dan nasib kita di kemudian hari,” katanya menerusi hantaran InstaStory.
Tanpa menyebut mana-mana nama, hantaran pelantun lagu Di Persimpangan Dilema itu dipercayai dibuat berikutan kes perceraian Syamsul dan Ira semalam walaupun baru mendirikan rumah tangga setahun lebih.
Tiada persefahaman menjadi alasan sutradara berusia 40 tahun itu untuk memilih perceraian, berita tersebut disambut dengan tanda tanya termasuk bapa Syamsul, Datuk Yusof Haslam.
Pasangan terbabit bernikah di Selatan Thailand pada 6 Januari tahun lalu yang kemudian disahkan Syamsul sendiri menerusi video yang dimuat naik dalam Instagram.
Sebelum ini, Nora juga diuji kemelut diceraikan bekas suami, Dr. Rushdi Ramli menerusi rakaman video.
Sertai Malaysia #QuranHour 2024 30 Ogos Ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.