Hubungan

Pesan Shila Amzah, Jangan Normalisasikan Penderaan Fizikal Dalam Rumah Tangga

Share

Berkait dengan gambar matanya lebam, penyanyi wanita, Shila Amzah berpesan kepada orang rama untuk memandang ringan isu penderaan fizikal.

Jangan Normalisasikan Penderaan Fizikal

Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 34, menganggap perbuatan kejam sedemikian bukanlah sesuatu yang perlu dinormalisasikan.

“Saya tak faham mereka yang menormalisasikan penderaan dan memperlekehkan individu yang sedang berusaha untuk menyembuhkan diri mereka.

“Saya bimbang untuk pasangan, anak-anak, keluarga atau rakan-rakan mereka yang terpaksa berada bersama seseorang yang langsung tiada empati.

“Penderaan tidak seharusnya dinormalisasikan dan tak sepatutnya dipandang remeh,” tulisnya dalam hantaran Threads.

Shila Amzah Pesan, Pilih Pasangan Yang Tepat

Pelantun lagu Memori Tercipta itu turut memaklumkan hantaran tersebut dibuat semata-mata mahu memberikan kesedaran terhadap orang ramai tentang isu berkenaan.

“Saya kongsikan kisah saya untuk memberi galakan kepada mereka yang pernah mengalami penderaan pasangan sebelum berkahwin agar menjauhkan diri sebelum terlambat.

“Perkahwinan itu sukar tetapi untuk melepaskan diri selepas berkahwin lebih sukar.

“Ini bukan tentang jantina, lelaki atau perempuan, jangan kekal bersama pendera,” jelasnya.

Sebelum ini, anak kepada penyanyi ND Lala itu mendedahkan bahawa Pulau Pinang pernah menjadi tempat yang menghantui dirinya selepas berdepan dengan detik hitam satu ketika dahulu.

Dalam satu hantaran lain, ibu kepada dua orang anak itu juga memuat naik gambar yang memaparkan matanya bengkak dan lebam seakan ditumbuk seseorang.

Namun, Shila tidak berkongsi secara terperinci mengenai insiden itu atau individu dimaksudkan.

Gambar: Shila Amzah

Published by
Nadia