Tanggungjawab seorang isteri ialah mentaati dan menghormati suaminya. Namun jika kita mengahwini suami yang anak mak, kita juga perlu terima situasi tersebut. Bukan semua anak mak ni kita nampak negatif sahaja, ada juga positifnya.
Ini yang perlu kita tahu jika kita mengahwini anak mak.
1. Belajar mengenali ibu mertua
Sebagai seorang isteri, cuba belajar untuk mengenali siapa ibu mertua. Perhatikan bagaimana sikap ibu mertua anda. Cuba bertanya kepada suami apa yang disukai atau yang dibenci oleh Ibu mertua. Cuba untuk ikut rentak ibu mertua namun sentiasa bersopan ketika bersama ibu mertua. Anggap ibu mertua seperti ibu anda.
2. Memasak makanan kegemaran
Masakan amat penting untuk menggembirakan suami anda. Belajar cara masakan ibu mertua untuk menarik perhatian suami. Ini kerana suami membesar dengan masakan ibunya jadi tidak salah untuk anda belajar. Suami mungkin akan bertambah sayang kerana anda pandai dan sanggup belajar memasak dengan ibunya.
3. Menyatakan perasaan
Elak untuk berasa cemburu ketika suami memberi tumpuan yang lebih kepada ibunya. Isteri dilarang sama sekali untuk bercakap tentang keburukan ibu mertua di hadapan suami. Ia boleh merosakkan hubungan anda suami isteri dan juga hubungan dengan ibu mertua Beritahu kepada suami apa yang boleh dia lakukan kepada anda iaitu sentiasa menunjukkan kejujuran, keikhlasan dan kasih sayangnya.
4. Bersikap positif
Apabila anda berfikiran terbuka dan sentiasa positif, ia akan memudahkan semua pihak. Segala yang dilakukan oleh suami dan ibu mertua tidak akan menjadi masalah besar kepada anda. Bersikap positif membantu untuk mengelak berlakunya persengketaan terhadap perkara remeh dan rumah tangga akan sentiasa dipenuhi kasih sayang. Sentiasa berdoa supaya segala masalah dapat dilalui dengan mudah.
5. Pikat hati mertua
Sebagai seorang ibu, mertua mengharapkan menantu untuk menjaga anak lelaki dengan baik sepertimana dia memelihara anaknya. Isteri perlu berusaha untuk mengambil hati mentua walau agak susah. Jika kerap pulang ke kampung, anda dapat menjalikan hubungan yang lebih baik dengan ibu mertua sambil dapat mendekatkannya dengan cucu-cucunya. Suami pasti akan menyayangi anda kerana memahami perasaan dia.
6. Bertolak ansur
Hubungan suami isteri perlu dilengkapkan dengan sikap tolak ansur antara anda dan juga suami. Jika suami ingin pulang ke kampung untuk menjenguk ibunya, anda perlu menuruti kata suami dan cuba memberi mereka peluang untuk meluangkan masa bersama. Sikap ini dapat menyelesaikan pelbagai masalah dan membuat kehidupan anda suami isteri lebih bahagia.
7. Jangan membandingkan
Elakkan dari membandingkan emaknya dengan ibu anda. Ini antara pantang paling besar seorang anak emak. Walau ibu anda merupakan yang terbaik, tetapi bagi suami emaknya adalah wanita yang sempurna. Jika anda kerap membandingkan mertua dan ibu anda, ini boleh menyebabkan pergaduhan besar dan mungkin mengakibatkan berlakunya keretakkan rumah tangga.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pertama Kali Raya Di Rumah Mentua? Ini Adab-Adab Yang Anda Perlu Jaga
Kepada pasangan yang baru berkahwin dan pertama kali berhari raya di rumah mertua, pasti teruja untuk mengalami suasana baru dengan keluarga pasangan. Ketika itu pelbagai perasaan dan tanda tanya bermain di fikiran.
Maklumlah jika selama ini berhari raya dengan keluarga sendiri, pada kali ini di tempat orang lain akan memberi suatu pengalaman baru dan secara tidak langsung menimba pengalaman mempelajari budaya dan adat istiadat pasangan.
Walaupun tidak dinafikan perasaan sedih tetap ada kerana tidak berhari raya dengan keluarga sendiri dan sanak saudara di kampung halaman, namun saat pertama berhari raya dengan keluarga mertua adalah momen penting dalam sejarah perkahwinan. Lelaki ini kongsi, adab beraya di rumah mertua.
ADAB BERAYA DI RUMAH MEnTUA
Setiap tahun, pasti banyak keluarga yang akan beraya di kampung. Sama ada di kampung suami atau isteri, sudah semestinya salah seorang akan menjadi menantu.
Perkara ini nampak mudah. Takkan beraya pun nak kena ada garis panduan? Untuk orang yang biasa, betul. Tak perlu baca pun mereka sudah pandai bawa diri di rumah mertua apabila beraya di sana.
Tetapi, penulisan ini saya tujukan kepada kita semua yang masih keliru bagaimana nak bawa diri atau mainkan peranan di rumah mertua pada musim perayaan.
Penulisan ini ditujukan untuk pihak suami dan pihak isteri. Ya, jangan kita ingat suami sahaja yang perlu ilmu ini, ramai juga para isteri yang masih terlepas pandang tanggungjawab mereka semasa di rumah mertua.
Adab Semasa Beraya di Rumah Mentua
1. Bantu mentua di dapur
Nampak seperti mudah, tapi ramai yang tak endahkan. Ramai yang mengelat. Tak kurang juga yang duduk berkurung dalam bilik. Ada juga yang buat-buat sibuk jaga anak walaupun anak tu dah besar dan tak perlu penjagaan 24 jam pun.
Yang mana tak begitu pandai masak, jangan jadikan tu sebagai alasan. Proses memasak tu bukan hanya campak benda dalam kuali je. Penyediaan bahan-bahan masakan tu pun penting.
Potong bawang, blender cili, potong ayam, daging, basuh pinggan, siapkan tempat makan, tolong kacau lauk dan macam-macam lagi boleh dibuat untuk membantu. Pokok pangkalnya nak dengan tak nak je.
Jadikan diri tu berguna. Percayalah yang banyak mata memerhati setiap gerak geri anda. Nanti tak pasal-pasal jadi bahan umpatan.
2. Mengemas
Perkara paling utama ialah mengemas tempat tidur selepas bangkit dari tidur. Di kampung, selalunya akan ramai tidur di ruang tamu. Jadi, selepas bangun tidur tu, kemaslah tempat tidur korang sekeluarga. Takkan nak tunggu Tuan Rumah kemaskan kot? Tak manis la macam tu. Nampak rumah bersepah, tolong la kemas sekali, atau tolong sapu ke. Kita balik kampung ni umpama kita menumpang rumah orang. Orang berbudi, kita berbahasa la. Tak gitu?
3. Tolong jagakan anak
Para suami, bila isteri sedang membantu mertua atau ipar mereka di dapur, tolong la jagakan anak tu. Jangan la sibuk sangat dengan urusan lain sehingga mengganggu isteri. Bagi ruang untuk dia jalankan peranan dia.
Memang la ada ketika perlu panggil mamanya untuk menyusu, tapi kalau bab salinkan pampers dan basuh kencing dan berak anak tu, rasanya sepatutnya takde masalah kot kalau nak buat sendiri?
4. Tolong bawa keperluan asas sendiri
Berus gigi, ubat gigi, sabun, syampu, pencukur dan lain-lain tu tolong bawa sendiri punya. Takkan la nak habiskan semua yang tuan rumah punya? Kalau satu keluarga tak mengapalah. Tapi kalau dah yang baliknya 4-5 keluarga? Botak kepala mertua nak topup tu semua.
Benda yang selalu orang tak terfikir nak bawa ialah extension plug. Benda ni sangat-sangat penting. Nak pulak kalau satu keluarga tu ada 4-5 telefon. Sebut pasal telefon, charger pun bawa la sekali. Orang lain nak cas telefon diorang sendiri. Kan dah menyusahkan je kalau asyik nak pinjam charger orang lain?
5. Bermesralah dengan mertua dan ipar
Masa inilah masa yang patut kita manfaatkan untuk merapatkan silaturrahim. Bukan selalu jumpa pun. Tanyalah khabar, berboraklah, cerita la pasal apa pun. Asalkan jangan terlebih-lebih cerita pasal politik. Memang akan menjadi satu perkara yang teramat bosan. Walaupun satu keluarga tu sokong satu pihak sahaja, tapi pasti akan penuh dengan kecaman dan lain-lain sedangkan masa itu sepatutnya digunakan untuk cerita pasal keluarga, bukannya ahli politik itu ini.
6. Tinggalkan kerja di rumah
Kepada yang kaki bisnes tu, tinggalkanlah kerja di rumah. Jangan datang rumah mertua, asyik sibuk dengan kerja. Memanjang bergayut, telefon orang itu, orang ini. Cakap pulak kuat-kuat. Semabang kencang semacam. Orang lain pulak yang jadi tak selesa dengan kita.
7. Berhenti membanding-banding
Tolong la, berhentilah membanding-banding sesama keluarga. Nak muntah rasanya dengar anak orang tu degree sini, anak orang ni diploma sana, anak orang ni Doktor sini, anak orang tu Peguam kat sana.
Stop it ! Berhenti riak, berhenti berbangga-bangga, menunjuk-nunjuk dan berlagak. Tak semua orang mampu, tak semua orang ditakdirkan berjaya dan tak semestinya kita perlu menilai orang dari segi tahap pembelajaran, pekerjaan dan duit semata-mata. Hargailah orang di hadapan kita tu sebagai saudara kita. Susah sangat ke?
8. Tolong jaga aurat
Aurat sendiri wajib jaga. Wajib bertudung dan pakai baju lengan panjang. Tak boleh la pakai baju lengan pendek je. Lengan tu aurat jugak. Banyak sangat mata bukan mahram yang nampak.
Bapa dan mak saudara sebelah pasangan bukan mahram ye. Tak perlu salam cium tangan. Sepupu bukan mahram, tak perlu laga-laga pipi la. Buat dosa je. Orang tua yang berlainan jantina pun bukan mahram kecuali mak, bapa saudara atau nenek dan datuk sendiri. Mertua tu sendiri memang mahram. Rasanya tak perlu bagitau.
Cara nak elak mudah je, senyum dan letak tangan kat dada. Yang penting tu senyum, supaya orang tu tahu yang anda hormat dia cuma anda tak boleh salam je.
Satu lagi benda yang sangat-sangat penting tapi orang tak endahkan atau pandang ringan. Aurat anak kecil. Terlalu ramai orang yang salin pampers anak depan orang lain. Walaupun baby, itu tidak memberi lesen untuk anda pamerkan kemaluan anak kepada orang lain. Lagipun, kita di zaman yang tenat sekarang, banyak kes pedofilia yang bernafsu terhadap budak kecil. Bayangkanlah, anda jamu nafsu dia dengan anak sendiri macam tu je.
Situasi mandi juga perlu diambil perhatian. Jangan la pergi berkemban depan ipar duai, mertua, sanak saudara. Perempuan satu hal, lelaki pun sama. Selamba pakai seluar pendek, nampak pusat depan isteri abang atau adik. Tutup la sikit. Anak-anak lepas mandi pun, janganlah dibiarkan mereka berbogel dari bilik air sampai ke bilik. Memang tak patut macam tu.
9. Membuli mertua
Ada yang dah hantar anak awal-awal kerana cuti raya kali ini didahulukan dengan cuti sekolah. Kononnya untuk bagi anak bergembira main dengan sepupu-sepapat. Lepas hantar anak, mak ayahnya pun balik. Tinggalkan anak dengan baju seluar je. Yang lain tak peduli pun. Anak nanti nak makan ape, anak nanti nak mandi, nak berak. Semua siapa yang nak buat? Dah sah-sah la mertua yang kena buatkan semua. Ingat mertua dah takde keje lain nak basuh berak cucu je setiap hari? Fikirlah sikit. Mertua pun kebanyakannya dah tua. Bukan tugas diorang nak jaga anak kita.
Anak tu pulak kalau yang dah besar darjah 1 ke atas kira ok la jugak, reti mandi berak sendiri. Ini dengan anak umur 3 – 4 tahun pun ditinggalkan macam tu je. Dah jadi keje mertua nak masakkan anak-anak yang tak puasa ni, bagi makan pagi, tengahari, malam. Bagus sangat jadikan mertua sebagai orang gaji. Kalau bayar gaji betul pun belum tentu diorang larat nak buat. Memang pentingkan diri betul. Fikir sikit, kita nak seronok berjalan pergi beli belah baju raya, anak ditinggalkan macam tu je.
10. Jangan memalukan pasangan
Manusia tak lepas dari perbalahan atau salah faham. Bila terjadinya kat rumah mertua, tolong la simpan masalah tu. Jangan ditunjuk depan orang ramai. Kalau malam tadi bergaduh dengan suami kat dalam bilik, jangan esoknya dok hempas itu ini depan suami. Kalau tadinya bergaduh dengan isteri, janganlah marah dia tengking dia depan mak ayah atau adik beradik dia. Jagalah air muka pasangan. Diorang mesti malu kalau dibuat begitu.
Bila bersama dengan keluarga lain, amat penting untuk jaga air muka atau aib keluarga dan pasangan. Jangan sekali-kali buat hal dalam rumah orang. Itu tandanya anda tak hormat kat pasangan dan tak hormat kat mertua yang juga tuan rumah.
11. Jaga harta benda mertua
Tolong awasi anak-anak anda. Janganlah merosakkan harta benda mertua. Memang kalau terjadi apa-apa mereka akan cakap, “tidak apa” atau “biasalah budak-budak”, tapi siapa yang tak marah kalau barang berharga kita orang rosakkan?
Lepas tu, nak guna atau nak pakai apa-apa milik mertua tolong la minta kebenaran dulu. Jangan gatal tangan guna set pinggan Corell atau set Tupperware mertua dengan selamba je. Kita tak tahu benda tu dibeli untuk pakai je atau perhiasan dan koleksi. Jadi, jangan memandai-mandai sebelum meminta kebenaran.
12. Basuh, sidai dan lipat baju sendiri
Yang mana balik beberapa hari tu dah tentu ada yang basuh baju sendiri. Jangan la dilonggok je mengharapkan mertua yang basuhkan. Dah la orang tua tu tolong basuh, dia jugak yang kena sidai dan lipat. Kalau balik nak menyusahkan, baik jangan balik. Tak kesian langsung kat mertua.
Paling penting, bawa plastik untuk buang pampers anak. Jangan selamba je buang tepi toilet atau dalam tong sampah biasa. Bau tu menyengat, bila campur jumlah 5 6 orang budak, memang busuk. Bila dah penuh pulak, rajin-rajinkanlah diri buang. Kesian mertua nak kena buangkan pulak taik anak kita.
13. Peka dengan barang dapur mertua
Jangan balik tangan kosong. Bawa sekali barang dapur atau beli kat sana. Tolong bantu dan topupkan barang dapur tu. Bukan murah-murah bahan mentah sekarang. Bayangkan memasak untuk 5 keluarga, ayam je dah berapa ekor habis sekali masak tu. Kalau duduknya pun 3, 4 hari dah berapa banyak habis tu?
Konsepnya mudah je. Permudahkan urusan mereka, jangan menyusahkan. Tak semua orang mampu untuk tanggung makan minum 5 keluarga sekaligus. Mertua di kampung bukannya kerja gaji ribu-ribu. Ada yang menoreh lepas sahur lagi. Kita sedap-sedapnya perabihkan duit diorang.
Buka mata, tanya mertua atau tanya isteri apa yang tak cukup. Lepas tu pergi beli. Tak perlu tunggu sampai mertua sendiri terpaksa pergi sendiri.
14. Jangan bangun lambat
Kat kampung tu ramai orang. Melainkan ada bilik khas sendiri, kalau tidur kat ruang tamu tu, bangun la awal. Jangan dah pukul 10, dah terang- benderang, budak-budak dah berlari sana sini, orang pun dah mula menyapu rumah semua, masih lagi terbongkang kat tengah rumah tu. Karang dengan yang tidur tu sekali orang sapu, baru ada akal.
15. Bonus. Khas untuk anak-anak mertua tu (ipar)
Jangan ambil kesempatan, bila ipar duai dah balik, jangan nak rasa macam tuan rumah sangat. Tak boleh la semua nak mengharapkan diorang je buat. Anda sebagai anak pun kena sama bantu dan list ini juga untuk anda baca dan amalkan.
16. Adab melayan baby
Bila berkumpul tu selalunya akan ada ipar atau biras yang baru melahirkan. Jadi, ada la baby comel yang ramai geram nak pegang, dukung, cium. Kena tahu yang baby ni antibodi dia tak kuat mana. Pakcik yang baru lepas merokok tu tak payah la nak pegang cium baby. Yang mak saudara pulak, kalau baru lepas potong ayam ke, sapu rumah ke, tak perlu la nak gomol baby orang. Habis semua kekotoran, bakteria tu kena kat baby. Bahaya.
Lepas tu, kalau anak tu baru umur 6, 10 tahun, tak perlu la bagi diorang pegang baby. Keselamatan baby tu sangat penting. Kalau jatuh sapa yang susah? Nak marah budak tu ke mak budak?
17. Bil elektrik dan bil air
Kipas on 24 jam. Aircond kalau ada pun on selalu. Tv jarang tutup. Lampu pun sentiasa banyak yang bukak. Belum masuk lampu lip lap lagi. Air pun banyak guna. Berbelas, berpuluh orang mandi setiap pagi.
Sebelum pulang tu, hulurlah sedikit buat bantu bayar bil elektrik dan air. Lega sikit hati mertua. Takde la mereka rasa terbeban dengan kehadiran kita sekeluarga.
*****
Sebagai menantu ni, walaupun anda dah berkahwin dengan suami atau isteri, tak semestinya anda tak perlu lagi ambil hati mertua. Mertua ni sama sahaja dengan mak ayah kita, layan mereka dengan sebaiknya. Mereka yang melahirkan pasangan kita. Itu jasa yang kita takkan mampu balas sepenuhnya. Tapi kita boleh berusaha untuk meringankan beban mereka.
Semoga dengan penulisan ini dapat membuka mata kita semua. Janganlah terlepas pandang lagi.
Tolong SHARE supaya satu Malaysia lebih peka tentang adab beraya di rumah mertua.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pesanan Isteri Adam Corrie, Jangan Melayan Orang Yang Suka Bercerita Masalah Rumah Tangga
Pesanan isteri Adam Corrie ini cukup bagus buat bakal pengantin baru atau yang sudah tukar jadi status milik orang. Jangan buka peluang dan melayan dengar cerita rumah tangga orang!
Kita kadang suka bagi peluang, sampai akhirya kita terseret sekali dek kerana rasa kasihan. Eh, nak tahu lagi, jom baca perkongsian daripada Adam Corrie.
Pesanan Isteri Adam Corrie
Isteri selalu pesan kat saya, sejak awal perkahwinan:
Kalau ada anak gadis, wanita bujang, janda ataupun isteri orang yang suka bercerita masalah cinta ke atau rumah tangga elakkan melayan sangat. Tak kisahlah peminat ke atau pun rakan.
Takut mereka salah faham pula ingat kita suka kat mereka.
Isteri saya kata.. perempuan ini kalau lelaki tu cakap lembut sikit, ambil berat sikit mulalah perasan. Ini bukan semua tapi segelintir sahaja. Jadi takut terkena yang segelintir nanti jadi parah.
Sebab banyak kali jadi, saya tolong selesaikan masalah putus cintalah, tolong bagi duit susu anak lah, nak tumpang rumah lah, last-last jadi stalker pula. Mesej pelik-pelik menakutkan, terus buat report polis.
Elakkan Bergambar Bersama
Kalau ada wanita yang nak bergambar berdua, saya cuba elakkan. Bukan sombong.. takut jadi fitnah. Saya selalu ajak isteri saya ambil gambar sekali.
Kita hidup biar berpada-pada. Jika kita ada masalah cari tempat yang betul untuk mengadu masalah. Bukan dengan artis, bukan dengan orang yang berlainan jantina. Bahaya.
Saya selalunya akan syorkan mereka yang bercerita masalah untuk rujuk kepada yang pakar. Kerana saya hanya boleh mendengar sahaja dan bagi nasihat sikit sahaja.
Lebih-lebih tak boleh kerana bukan kepakaran saya. Jika dah melibatkan keganasan rumah tangga, saya akan minta pergi terus ke balai polis buat laporan polis. Masalah kewangan boleh dapatkan nasihat dari AKPK . https://www.akpk.org.my
Syaitan sentiasa mencari ruang untuk mengajak kita buat perkara tak baik.
Kalau lelaki pun sama, jangan cerita masalah kat lain jantina. Nanti lain jadinya.
Jangan lah pula ada yang komen lelaki boleh atau suruh kahwin 4 ya. Tak kelakar. Sila jaga adab apabila komen. Saya nak jaga hati isteri saya dan Jaga hati semua orang.
Qanaah.. asal punya rasa cukup. Hidup ini pasti indah.
Senyum selalu
Selalu bersangka baik
InsyaAllah hati tenang
“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. (Surah Luqman: 17)
Jadi kesimpulannya, jangan buka peluang dan tumpangkan ‘bahu’ untuk orang luar berteduh. Bahaya!
Kredit gambar: Adam Corrie
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
7 Zikir Buat Rezeki Yang Sikit Terasa Banyak Dan Berkat
Rezeki yang sedikit tetapi diberkati Allah adalah lebih baik dan tinggi darjatnya berbanding rezeki yang banyak tetapi tidak diberkati. Tidak menjadi soal sama ada banyak atau sedikit rezeki itu
1. Memperbanyak membaca – La Hawla Wala Quwwata Illa Billah
Maksud: Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata.
“Barangsiapa yang lambat datang rezekinya hendaklah banyak mengucapkan – La hawla Wala Quwwata Illa billah”. (HR. At-Tabrani)
2. Membaca – La Ilaha Ilallah Al Malikul Haqqul Mubin
Maksud: Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Allah yang Maha Benar lagi Maha Nyata.
“Barangsiapa setiap hari membaca La ilaha illalla al malikul haqqul mubin maka bacaan itu akan menjadi keamanan dari kefakiran dan menjadi penenteram dari rasa takut dalam kubur.” (HR. Abu Nu’aim dan Ad Dailami)
3. Membaca – Subhanallahi Wabihamdihi Subhanallahil ‘Adziim
Maksud: Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya, Maha Suci Allah yang Maha Agung.
“Dari setiap kalimat itu seorang malaikat yang bertasbih kepada Allah Ta’ala sampai hari kiamat yang pahala tasbihnya itu diberikan untukmu.” (HR. Al-Mustagfiri dalam Ad-Da’awat)
4. Membaca Surah Al-Ikhlas
“Barangsiapa membaca Surah Al-Ikhlas ketika masuk rumah maka berkat bacaan menghilangkan kefakiran dari penghuni rumah dan tetangganya.” (HR. At-Tabrani)
5. Membaca Surah Al-Waqi’ah
“Barangsiapa membaca Surah Al-Waqi’ah setiap malam maka tidak akan ditimpa kesempitan hidup.” (HR. Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman)
6. Memperbanyak selawat ke atas Nabi
Dari Umar bin Khattab dari Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali selawat maka Allah akan membalas sepuluh kali selawat dan mengangkatnya sepuluh darjat.”
(Dikeluarkan Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad, Ibnu Abu Syaibah…al-Bazzar….Ibnu Syahiin dan al-Ismaili dengan sanad ma’lul)
7. Melazimkan beristighfar
“Barangsiapa melazimkan beristighfar nescaya Allah akan mengeluarkan dia dari segala kesusahan dan memberikan rezeki dari arah yang tidak pernah diduga.” (HR. Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majjah)
Ya Allah,
Berikanlah kepada kami rezeki yang luas
Kurniakanlah kepada kami rezeki yang Halal lagi baik tanpa memberatkan kami
Ya Allah,
Jika rezeki kami ada di langit maka turunkanlah
Jika ada di bumi maka keluarkanlah
Jika jauh maka dekatkanlah
Jika dekat maka mudahkanlah
Jika sedikit maka banyakkanlah
Jika banyak maka berkatilah
Agar kami dapat menolong anak-anak yatim, fakir miskin, dan mereka yang dalam kesusahan dan kedaifan.
Ya Allah,
Kabulkanlah doa kami
Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI