Tanggungjawab seorang isteri ialah mentaati dan menghormati suaminya. Namun jika kita mengahwini suami yang anak mak, kita juga perlu terima situasi tersebut. Bukan semua anak mak ni kita nampak negatif sahaja, ada juga positifnya.
Ini yang perlu kita tahu jika kita mengahwini anak mak.
1. Belajar mengenali ibu mertua
Sebagai seorang isteri, cuba belajar untuk mengenali siapa ibu mertua. Perhatikan bagaimana sikap ibu mertua anda. Cuba bertanya kepada suami apa yang disukai atau yang dibenci oleh Ibu mertua. Cuba untuk ikut rentak ibu mertua namun sentiasa bersopan ketika bersama ibu mertua. Anggap ibu mertua seperti ibu anda.
2. Memasak makanan kegemaran
Masakan amat penting untuk menggembirakan suami anda. Belajar cara masakan ibu mertua untuk menarik perhatian suami. Ini kerana suami membesar dengan masakan ibunya jadi tidak salah untuk anda belajar. Suami mungkin akan bertambah sayang kerana anda pandai dan sanggup belajar memasak dengan ibunya.
3. Menyatakan perasaan
Elak untuk berasa cemburu ketika suami memberi tumpuan yang lebih kepada ibunya. Isteri dilarang sama sekali untuk bercakap tentang keburukan ibu mertua di hadapan suami. Ia boleh merosakkan hubungan anda suami isteri dan juga hubungan dengan ibu mertua Beritahu kepada suami apa yang boleh dia lakukan kepada anda iaitu sentiasa menunjukkan kejujuran, keikhlasan dan kasih sayangnya.
4. Bersikap positif
Apabila anda berfikiran terbuka dan sentiasa positif, ia akan memudahkan semua pihak. Segala yang dilakukan oleh suami dan ibu mertua tidak akan menjadi masalah besar kepada anda. Bersikap positif membantu untuk mengelak berlakunya persengketaan terhadap perkara remeh dan rumah tangga akan sentiasa dipenuhi kasih sayang. Sentiasa berdoa supaya segala masalah dapat dilalui dengan mudah.
5. Pikat hati mertua
Sebagai seorang ibu, mertua mengharapkan menantu untuk menjaga anak lelaki dengan baik sepertimana dia memelihara anaknya. Isteri perlu berusaha untuk mengambil hati mentua walau agak susah. Jika kerap pulang ke kampung, anda dapat menjalikan hubungan yang lebih baik dengan ibu mertua sambil dapat mendekatkannya dengan cucu-cucunya. Suami pasti akan menyayangi anda kerana memahami perasaan dia.
6. Bertolak ansur
Hubungan suami isteri perlu dilengkapkan dengan sikap tolak ansur antara anda dan juga suami. Jika suami ingin pulang ke kampung untuk menjenguk ibunya, anda perlu menuruti kata suami dan cuba memberi mereka peluang untuk meluangkan masa bersama. Sikap ini dapat menyelesaikan pelbagai masalah dan membuat kehidupan anda suami isteri lebih bahagia.
7. Jangan membandingkan
Elakkan dari membandingkan emaknya dengan ibu anda. Ini antara pantang paling besar seorang anak emak. Walau ibu anda merupakan yang terbaik, tetapi bagi suami emaknya adalah wanita yang sempurna. Jika anda kerap membandingkan mertua dan ibu anda, ini boleh menyebabkan pergaduhan besar dan mungkin mengakibatkan berlakunya keretakkan rumah tangga.