Kek dan majlis perkahwinan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Tidak lengkap sesebuah majlis perkahwinan tanpa acara memotong kek. Tidak kira tema tradisional ataupun ringkas, kek perkahwinan bakal menjadi penyeri dan atur cara majlis yang ditunggu-tunggu oleh tetamu jemputan. Ini kerana acara memotong kek merupakan acara kemuncak dan penutup acara dalam sesebuah majlis meraikan cinta.
Kek perkahwinan memainkan peranan penting sebagai penyeri majlis sama seperti memilih pelamin yang indah. Membeli atau menempah kek perkahwinan bukan sekadar untuk mencukupkan syarat tetapi ia memerlukan perancangan awal agar impian untuk memiliki kek perkahwinan tercapai. Ada sesetengah kek mengambil masa yang lama untuk disiapkan terutamanya daripada segi hiasan kerana ada yang perlu ditempah ataupun perlu dibuat.
Pada masa kini, kebanyakan kek perkahwinan dihasilkan sebagai sebuah karya agung untuk dipersembahkan di hari bahagia pasangan mempelai. Ia memberikan nilai sentimental dan kemanisan kepada pasangan pengantin. Apabila berbicara tentang pemilihan warna kek perkahwinan, ia mungkin menjadi satu perkara yang remeh. Pemilihan warna kek perkahwinan yang tepat dan ideal mampu memberi nilai tambah yang sempurna untuk sesebuah majlis perkahwinan.
Semak beberapa tip sebelum anda dan pasangan mengambil keputusan untuk memilih warna kek yang disukai agar ia bakal menjadi penyeri majlis resepsi yang akan berlangsung.
Putih
Warna putih selalunya menggambarkan kesucian apatah lagi ia cukup sinonim dengan sebuah majlis perkahwinan. Maka tidak hairanlah jika ramai pasangan mempelai memilih kek perkahwinan dengan tema warna putih.
Merah jambu dan coklat
Rona coklat memberi satu aura yang lembut tatkala digabungkan dengan warna merah jambu. Kedua-dua warna ini apabila digandingkan bersama akan mencetuskan mood yang tersendiri. Seakan-akan bersatu, rona coklat dan merah jambu menterjemahkan rasa bahagia yang terpancar pada wajah pasangan mempelai.
Monokrom
Jika anda suka pada warna-warna monokrom, tidak ada salahnya untuk anda memilih warna sebegini untuk warna kek perkahwinan anda. Tentu sekali ia akan kelihatan moden dan pastinya unik. Warna ini sesuai buat pasangan mempelai yang inginkan sesuatu yang moden dan terkini.
Emas dan putih
Aura mewah dengan biasan rona emas dan putih pastinya memukau setiap mata yang memandang. Lengkapi hiasan dekorasi kek perkahwinan anda dengan sekuntum bunga yang mekar di sisi kek.
Kuning dan merah jambu
Kek perkahwinan berwarna kuning pastel apabila diberikan terapan bunga-bungaan hiasan rona merah jambu melengkapkan lagi aura feminin. Kombinasi rona kuning dan merah jambu juga sesuai untuk sebuah majlis perkahwinan yang memilih konsep ringkas tetapi moden.
Ombre
Injeksi warna ombre merupakan penggunaan garapan warna yang berkala. Campuran warna emas pada bahagian atas kek menaikkan seri persembahan sesebuah kek perkahwinan. Kebanyakan pasangan pengantin yang memilih warna ombre untuk kek perkahwinan biasanya gemar pada sesuatu yang elegan.
Perak dan putih
Dua warna ini menampilkan sesuatu yang berbeza untuk sebuah seni hiasan dekorasi kek perkahwinan. Penggunaan warna perak dan putih bakal menaikkan aura keanggunan sesebuah kek perkahwinan.
Kuning dan coklat
Gabungan rona kuning dan coklat menyaksikan penyatuan warna yang serasi. Berada dalam kelompok rona-rona senada dan apabila ia diserasikan bersama bakal mencetuskan dimensi dekorasi kek perkahwinan yang sempurna.
Lavender dan lilac
Segar mata memandang. Kek dengan penggunaan rona lavender dan lilac mungkin agak jarang menjadi pilihan pasangan mempelai namun jika diaplikasikan dalam seni dekorasi hiasan kek perkahwinan, ia bakal menyaksikan sesuatu yang unik dan lain daripada yang lain.
Merah dan putih
Warna yang pastinya mencetuskan mood romantis. Mainan rona merah dan putih pastinya mampu melontarkan suasana meriah buat majlis resepsi lantas menjadikan majlis tampak lebih sempurna.
FOTO : KOLEKSI MILKBUTTERBAKERY MALAYSIA INSTAGRAM : MILKBUTTERBAKERY