Sebagai ketua dan imam keluarga, suami haruslah memiliki sifat-sifat terpuji sebagaimana Rasulullah SAW dalam mendidik isteri serta anak-anak demi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Agar rumah tangga yang dibina sentiasa diberkati, ikuti amalan yang dilakukan oleh Rasullah SAW ini. Semoga dengan amalan ini akan menjadikan anda seorang suami dan ketua yang boleh membawa keluarga ke jalan yang diredai.
1. Berbincang sebelum mengambil keputusan
Rasulullah tidak pernah rasa segan atau keberatan untuk mendengar serta mengambil pendapat isterinya. Ini terjadi ketika Rasulullah meminta pendapat Ummu Salamah dalam perjanjian Hudaybiyah. Waktu itu, Rasulullah memerintahkan para sahabat untuk mencukur rambut dan menyembelih haiwan korban, namun mereka tidak mahu melakukannya. Melihatkan respons para sahabat itu, baginda masuk ke bilik Ummu Salamah dan menceritakan kepada Ummu Salamah apa yang berlaku. Lantas Ummu Salamah mengajukan pendapatnya dan berkata, “Keluarlah, ya Rasulullah, kemudian engkau bercukur lalu potong haiwan korban.” Baginda pun keluar, bercukur lalu memotong haiwan korban. Melihatkan perkara tersebut, para sahabat bangkit lantas bercukur lalu memotong haiwan korban.
2. Sentiasa romantik dalam rumah tangga
Rasulullah sentiasa memuliakan, menghormati dan menggembirakan isterinya. Baginda menjelaskan kepada umatnya bahawa bergembiralah dan bersenda-gurau (bermesraan) dengan isteri termasuk dalam perbuatan yang memberi pahala kepada suami. Baginda bersabda, “Segala yang melalaikan seorang Muslim adalah batil, kecuali memanah, melatih kuda dan bercanda-ria dengan isteri; ini semua termasuk kebenaran.”
3. Tempat bersandar di kala susah
Rasulullah merupakan seorang suami yang sangat memahami hati, perasan dan keadaan para isterinya. Maymunah iaitu salah seorang isteri baginda berkata, “Suatu kali Rasulullah mendatangi salah seorang daripada kami. Salah seorang daripada kami itu sedang haid. Maka baginda meletakkan kepalanya di dada isterinya yang sedang haid itu, lalu baginda membaca Al-Quran.”
4. Menjahit bajunya sendiri
Jika ada pakaian Rasulullah yang koyak, baginda akan menjahitnya sendiri tanpa menyuruh isterinya. Bahkan baginda juga akan memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.
5. Sentiasa membantu isteri
‘Aisyah pernah ditanya tentang apa yang dilakukan Rasulullah di rumahnya? Lantas ‘Aisyah menjawab, “Baginda selalu melayani (membantu) isterinya.” Pernah satu ketika Rasulullah pulang ke rumah dan melihatkan tiada makanan yang siap dimasak, baginda sama sekali tidak marah. Sebaliknya baginda akan tersenyum sambil menyingsingkan lengan bajunya untuk membantu isteri di dapur. Menurut cerita yang disampaikan oleh ‘Aisyah, jika Rasulullah berada di rumah, baginda sentiasa membantunya menguruskan perihal rumah tangga.
6. Segera berangkat ke masjid
Tatkala mendengar laungan azan, Rasulullah akan segera berangkat ke masjid dan akan segera pula kembali ke rumah selepas selesai baginda menunaikan solat.
7. Berpuasa jika tiada makanan
Satu hari ketika Rasulullah pulang pada waktu pagi dalam keadaan yang sangat lapar, baginda dapati tiada sebarang makanan yang boleh dimakan termasuklah makanan mentah kerana isteri baginda, ‘Aisyah belum ke pasar. Rasulullah bertanya, “Belum ada sarapan, ya Khumaira?” “Belum ada apa-apa, wahai Rasulullah,” jawab ‘Aisyah dengan rasa serba salah. Tanpa memarahi ‘Aisyah mahupun timbul rasa kesal dalam dirinya, baginda berkata, “Jika begitu, aku puasa saja pada hari ini.”
8. Tidak suka memarahi isteri dan anak-anak
Rasulullah sangat marah apabila melihat seorang suami sedang memukul isterinya, lantas baginda menegur lelaki tersebut, “Mengapa engkau memukul isterimu?” Lelaki tersebut menjawab dalam keadaan gementar, “Isteriku sangat keras kepala. Aku sudah memberinya nasihat, tetapi dia masih begitu. Disebabkan itulah aku memukulnya.” Sahut Rasulullah, “Aku tidak menanyakan alasanmu. Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?”
9. Lemah lembut terhadap isteri
Rasulullah merupakan seorang suami yang sangat meninggikan kedudukan isterinya dan amat menghormati mereka. Pernah Rasulullah bersabda, “Sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik, kasih dan lemah lembut terhadap isterinya.” Menjadi seorang ketua keluarga yang prihatin, sabar dan merendah hati sama sekali tidak pernah merendahkan diri suami sebagai seorang pemimpin dalam keluarga.
10. Rasa cinta yang tinggi terhadap Allah SWT
Rasulullah sememangnya mempunyai rasa kecintaan yang sangat tinggi terhadap Allah SWT. Malah rasa kehambaan baginda nyata sudah melekat dalam dirinya sehinggakan baginda tidak sombong.
11. Tidak merasakan dirinya lebih
Anugerah kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Rasulullah sama sekali tidak dijadikan alasan untuk baginda merasa tinggi diri, riak, sombong dan bongkak ketika di hadapan khalayak ramai mahupun untuk dirinya sendiri.
12. Terus-menerus melakukan beribadah
Walaupun hakikatnya pintu syurga sudah terbentang luas untuk baginda dan baginda merupakan insan terpilih sebagai ahli syurga, namun sama sekali baginda tidak lupa. Sebaliknya Rasulullah masih bangun di waktu malam hari untuk beribadah kepada Allah SWT hinggakan baginda pernah terjatuh kerana kakinya sudah bengkak.
13. Sentiasa bersyukur
Ketika Rasulullah berada dalam kesakitan Ketika kondisi fisiknya sudah tidak mampu menanggung kemauan jiwanya yang tinggi, ketika ditanya oleh ‘Aisyah, “Ya Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?”Jawab Nabi dengan lunak, “Ya ‘Aisyah, apakah aku tak boleh menjadi hamba-Nya yang bersyukur?”