Siapa tak suka bila sebut bab kahwin. Tanyalah sesiapa pun yang sedang menuju ke arah ini, semua pasti tersenyum bila ditanya mengenai perkahwinan.
Ramai orang nak kahwin sebab nak halalkan hubungan setelah sekian lama bercinta. Atau nak menghalalkan ‘ikhtilat’ supaya mereka lepas-lepas ni boleh la mesej dan lakukan dengan jalan yang halal. Sebab tu mereka nak kahwin. Pokoknya, nak tinggalkan maksiat.
Pemuda bernama Hannan Shawalludin ini berkongsi kisah menarik berdasarkan tip yang beliau dapat daripada seniornya masa belajar dahulu mengenai tip macam mana nak kahwin awal.
Kumpul Duit Atau Cari Pasangan Dulu?
“Kau abis berapa ribu kahwin haritu Nan?” tanya Zul. Dia bertanya dengan wajah penuh minat.
“Banyak juga Zul. Tapi banyaknya mak ayah tolong. Memang sejak dari tahun lepas aku tanya mak ayah aku kalau diorang boleh ‘sponsor’ sikit kalau aku nak kahwin tahun depan. Diorang okay je,” jawab saya santai.
“Jom gerak pi solat. Kot dapat tido kejap lagi baik.” Saya mengajak. Jam menunjukkan pukul 1.05 petang.
Tatkala kami meluncur perlahan menuju ke masjid, Zul bertanya lagi. Kali ini lebih mendalam.
“Macam mana kau simpan duit untuk kawin?”
“Kenapa? Kau plan nak kawin bila?” Sengaja saya menyoal kembali. Ini masanya mengorek rahsia. Hati saya ketawa.
“Kau dah ada orang belum?” Saya menambah soalan.
Ads
“Aku belum ada orang lagi. Aku nak ada cukup duit baru aku nak fikir pasal kawin. Baru fikir nak cari orang,” jawab Zul serius. Daun-daun pokok di hadapan masjid di Taman Pertama itu berguguran, berbuai ditiup angin. Perlahan. Lalu jatuh menghiasi kereta Proton Wira tua berwarna hijau muda.
“Aku nak share sikit tips yang aku dapat daripada senior aku masa aku belajar dekat Manchester dulu. Tips macam mana nak kahwin awal.” Saya mengucapkannya sambil mengukir senyuman.
“Apa dia?” Zul tersengih.
“Silap orang muda-muda ialah kita fikir duit dulu baru fikir kahwin. Sedangkan yang sebetulnya, plan kahwin dulu baru fikir duit.” Saya bermain kata-kata.
“Maksudnya?”
“Maksudnya. Carilah orangnya dulu. Lepas dah setuju, plan tunang, plan bila nak kahwin.” Nasihat saya sambil berwajah serius.
“Masa aku kat Manchester, senior aku belum grad, tapi dia dah dapat tawaran kerja Gamuda. Bakal isteri dia dah dapat Exxon Mobil.” Saya kongsikan padanya cerita sambil ingatan melayang jauh mengenangkan kisah 4 tahun lalu.
Ads
“Kata senior aku, rancang dulu bila nak kahwin, nanti Allah akan permudahkan jalan.” Ucapan senior saya di Manchester dahulu terngiang-ngiang di cuping telinga saya. Waktu itu saya di tahun 2 universiti.
“Hmmm…” Zul asyik mendengar saya bercerita. Rambutnya yang panjang diusap-usap berulang kali.
“Masa aku kat U** S******, aku pun termenung juga bilalah aku nak cukup duit nak kahwin. Dengan gaji bawah 3K di KL, nasib baik duduk dengan mak ayah. Kalau tak lagi tak dapat menyimpan.” Saya menyambung cerita.
“Tapi waktu aku tengah sakit kepala pikir pasal duit, aku bincang juga dengan bakal isteri aku pasal tarikh kahwin. Kejap tahun depan, kejap 2 tahun depan. Asyik berubah. Aku sendiri asyik main aplikasi excel di laptop. Cuba juga buat bajet untuk cukup kahwin tahun depan. Akhirnya, kami nekad, tahun 2016 kami nak kahwin.”
“Lepas tu apa jadi?” tanya Zul pendek.
“Aku dapat offer kerja MRT. Aku berhenti kerja lama aku. Gaji dapatlah lebih sikit kat tempat kerja baru. Alhamdulillah.” Suasana sunyi. Hanya bunyi enjin kereta dan aircond yang kedengaran.
Ads
Rezeki Orang Nak Kahwin
“Masa lagi 2 bulan aku nak nikah, aku pening kepala sebab dalam akaun tak cukup lagi duit hantaran. Ikut kira-kira aku, malam 27hb May tu, gaji bulan May masuk baru cukup duit hantaran untuk nikah esok paginya.” Saya bercerita penuh drama.
“Fuh. Pastu camna?” Zul menyoal.
“Tengah aku runsing. Bulan April masuk gaji. Aku buka akaun bank aku. Tup tup. Cukup duit untuk buat hantaran. Aku terkejut. Mana datang duit banyak ni?”
“Esoknya dapat notis e-mel. Semua staff mulai bulan ini dapat elaun untuk kenderaan. Alhamdulilahhhh…. Terus hilang kerisauan aku tak cukup duit nak nikah bulan May.” Senyuman terukir di wajah saya. Ia memori yang menambah rasa syukur dan percaya pada rezeki orang yang mahu berumah tangga.
Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.
An Nur ayat 32
Segala puji hanya milik Allah. Alhamdulillah.
Semoga kisah ini menjadi penguat semangat bagi mereka yang sedang berhempas pulas mengumpul duit untuk berkahwin di luar sana.
Jika kau mempunyai pilihan hati, kahwinlah secepat mungkin. Paling baik, tahun ini. Jangan bertangguh sampai 5, 6 tahun. Memang itu adalah angan-angan saja. Tiada nas dari Al-Quran atau hadis, tetapi berdasarkan pengalaman. Semakin lama couple, semakin banyak masalah yang timbul. Hati pun semakin tak tenang dan amal pun semakin kurang…
Sumber Gambar: Hannan Shawalludin
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apakah perkara utama yang terlintas dalam kepala bakal pengantin bila dah ada calon pasangan? Selain hantaran, semestinya untuk kuruskan badan! Mestilah bakal mempelai ni nak nampak cantik bila sarungkan busana pengantin nanti. Walaupun nikah online, masih tetap nak bergambar untuk kenangan kan? Ok…ini tip untuk anda!
Bila sebut beras perang, ramai yang awal-awal lagi menolak. Beras kurang kanji tentu rasanya tidak sesedap beras putih biasa tetapi ia menjadi jaminan untuk kesihatan lebih baik lebih-lebih lagi pada musim penularan wabak Covid 19 ini.
Kebaikan beras perang bukan calang-calang kerana dalam hasil penyelidikan, beras perang amat sesuai untuk mereka yang ingin mengawal paras gula dalam darah, selain memberikan rasa kenyang yang lebih lama.
Beras perang atau dikenali sebagai brown rice, unpolished rice dan hulled rice. Ia memerlukan air yang lebih banyak serta masa yang lebih panjang untuk memasaknya. Berbanding beras putih, butir nasinya lebih peroi, kenyal, sedikit keras dan mempunyai rasa yang lebih berkacang. Proses penghasilan beras perang dilakukan setelah kulit padi dikupas, kemudian jika dibuang saki-baki selaput perang (germa) yang terdapat padanya, akan terhasil pula beras putih seperti yang biasa dijual di pasaran.
Zat nutrien beras perang sememangnya lebih tinggi berbanding beras putih. Selaput perang yang menyaluti beras ini kaya dengan zat galian seperti zink, magnesium dan fosforus, beberapa jenis vitamin, sedikit protein dan minyak.
Minyak yang terkandung pada selaput tersebut pula dikenali sebagai rice bran oil, yang dikatakan membantu menurunkan paras kolesterol LDL dalam darah. Selain itu, metabolisme pengamal beras perang juga akan meningkat ketika proses penghadaman kerana banyak tenaga dipakai untuk mencernakan nasi yang masih keras dan berselaput itu.
APA MANFAATNYA?
Merendahkan risiko penyakit diabetes jenis ke-2.
Mengandungi mineral manganese sebagai bahan anti-pengaratan dalam tubuh badan.
Mempunyai selenium dan fiber sebagai anti-kanser.
Mengekalkan berat badan yang ideal.
Mengurangkan kolesterol dalam badan.
Sesuai dimakan oleh orang yang ingin mengurangkan berat badan.
Sesuai untuk wanita yang menopaus (menjaga jantung dan darah tinggi).
Mengandungi vitamin B1, B2, B6, zat besi dan folat.
Kalsium yang lebih tinggi berbanding beras putih.
Secawan beras perang memberikan anda 88% magnesium yang diperlukan tubuh. Mineral ini penting untuk sistem saraf, mengawal paras kolesterol badan selain penghasilan hormon seks. Kewujudan selaput perang ini juga (majoritinya serat) membuatkan kadar indeks glisemik untuk nasi beras perang adalah lebih rendah berbanding nasi putih, dan amat sesuai buat mereka yang ingin mengawal paras gula dalam darah agar tidak naik terlalu mendadak selepas makan.
Ada yang mengatakan kalori dan kanji untuk sehidangan nasi beras perang lebih rendah berbanding nasi putih. Namun sebenarnya kedua-dua jenis nasi ini adalah dua benda yang sama, hanya yang membezakannya adalah selaput germa nipis yang menyalut beras perang. Justeru, manfaat sebenar yang diperoleh tubuh adalah melalui selaput perang ini dan bukannya menerusi pengurangan kalori atau kanji seperti yang sering didakwa.
FAKTA
Alasan utama mengapa beras perang diproses ialah untuk memanjangkan jangka hayat simpanannya. Minyak semula jadi dalam selaput beras perang akan rosak dalam tempoh 6-8 bulan, manakala beras putih dapat bertahan sehingga 10 tahun.
Nasi putih dengan kadar serat yang rendah lebih sesuai untuk mereka yang mempunyai sistem penghadaman yang lemah serta sedang pulih daripada sakit.
Selamat mencuba!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tak semua pasangan yang berkahwin dapat tinggal sebumbung kerana ada yang tinggal berjauhan atas komitmen kerja atau belajar. Walaupun ramai yang kata perkahwinan jarak jauh sukar, tapi ia bukan alasan untuk anda berdua kekal romantis dan bahagia.
Paling penting kedua-duanya perlulah saling menghargai perasaan dan mempercayai antara satu sama lain. Baru anda berdua akan merasai kenikmatan berumah tangga.
Jika anda tergolong dalam pasangan yang terpaksa berpisah dengan insan tersayang, ayuh terapkan dalam diri enam petua ini agar rumah tangga yang dibina kekal bahagia dan romantis seperti pasangan lain.
1. Tetapkan matlamat dalam hubungan
Sebelum anda dan pasangan tinggal berjauhan, menentukan dahulu arah hubungan, sebab-sebab kenapa tinggal berjauhan dan bilakah tarikh untuk anda berdua akan tinggal bersama. Ia penting agar anda dan pasangan ada matlamat untuk berusaha tinggal bersama seperti pasangan yang lain.
2. Perlu ekstra percaya terhadap pasangan
Hubungan dalam rumah tangga menuntut kita untuk saling mempercayai antara satu sama lain. Tidak dinafikan saat berjauhan kepercayaan akan teruji. Oleh itu belajarlah untuk meningkatkan kepercayaan dalam diri masing-masing. Singkirkan segala perasaan curiga terhadap pasangan kerana sikap tersebut jika dibiarkan boleh menjadi duri selain membuatkan anda memikirkan perkara yang buruk.
3. Sentiasalah berkomunikasi
Walaupun anda berdua terpisah disebabkan oleh komitmen kerja atau pelajaran, jangan sesekali mengabaikan komunikasi. Sentiasalah berhubung antara satu sama lain. Ceritakan kepada pasangan tentang aktiviti harian, masalah yang dihadapi ataupun luahkan rasa rindu anda kepadanya. Apatah lagi zaman yang serba moden ini lebih memudahkan kerana terdapat banyak cara untuk seseorang itu berhubung dengan orang tersayang.
4. Ambil masa untuk mengunjungi pasangan
Jika pasangan masih dalam negara, latihlah diri anda dan pasangan untuk saling mengunjungi antara satu sama lain. Buatlah giliran agar anda berdua boleh berjumpa, mungkin seminggu sekali atau dua minggu sekali. Dengan cara ini hubungan romantis dan bahagia anda berdua bertambah semarak dan tidak akan pudar. Saat bertemu itu lakukan aktiviti bersama sepuas-puasnya seperti menonton wayang, masak makanan kegemaran suami dan sebagainya. Dengan cara ini akan membuatkan hubungan anda dan pasangan bertambah bahagia.
5. Kirim hadiah kejutan
Apabila tiba tarikh-tarikh penting seperti tarikh lahir pasangan, tarikh mula bertemu, ulang tahun dan sebagainya, hantarkan hadiah untuknya. Jangan disebabkan anda berdua tinggal berjauhan, anda mengabaikan tarikh-tarikh penting ini. Sebenarnya kejutan sebegini boleh membuatkan pasangan rasa dihargai dan teruja apatah lagi menerima kiriman istimewa daripada insan tersayang. Cara ini akan menghangatkan lagi kasih sayang anda.
6. Hantarkan mesej romantis
Tentu pasangan rasa teruja apabila menerima pesanan cinta daripada anda. Anda boleh menghantar pesanan ringkas dengan mesej cinta atau kata-kata romantis di telefon bimbitnya. Kata-kata ini akan membuatkan pasangan terbuai dengan cinta anda, lantas timbul rasa tidak sabar untuk bertemu dengan anda nanti.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Benarkah anggapan bahawa dengan membuat isteri bahagia, boleh menyebabkan rezeki suami melimpah ruah? Apakah kaitannya rezeki yang murah dengan isteri yang bahagia?
Bahagianya seorang isteri akan dirasai oleh seisi keluarga. Ini menyebabkan seluruh isi rumah merasa bahagia. Para isteri yang bahagia dan bersyukur atas pemberian suaminya akan mewujudkan suasana yang damai dalam keluarga sekaligus diluaskan rezeki suaminya, kerana Allah memberikan lebih banyak rezeki bagi mereka yang sentiasa bersyukur.
Isteri yang bahagia akan menjadi peneman yang baik untuk si suami mencari rezeki mahupun menjadi tempat melepaskan lelah setelah seharian mencari rezeki. Hasilnya, suami akan lebih bersemangat untuk mencari rezeki pada hari-hari mendatang.
Kebahagiaan yang dirasai isteri akan membuatkannya selalu menyokong suami dalam keadaan apa pun, hinggakan si suami tidak akan pernah hilang semangat dan dorongan walaupun berada dalam keadaan yang paling sukar. Contohnya ketika suami hilang mata pencarian, isteri yang bahagia perasaannya akan tetap bersama dan menyokong suami agar terus bangkit dari kejatuhannya.
Akhir sekali, isteri-isteri yang bahagia pastinya mendidik anak-anaknya menjadi anak yang bahagia dan insan berguna. Rezeki akan datang dari setiap anak yang lahir. Bukan sahaja berupa wang dan kekayaan, malahan anak-anak yang soleh dan solehah jua merupakan rezeki yang tidak ternilai.
Kesimpulannya, kebahagiaan isteri boleh mempengaruhi suami dan anggota keluarga yang lain agar memiliki energi positif untuk bekerja mencari nafkah demi anak isteri.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!