Bagaimanakah jika suami menyatakan hasrat ingin poligami? Adakah anda akan menerima keputusan ini dengan redha dan terbuka?

Atau anda tidak rela dimadukan dan berkongsi kasih dengan wanita lain? Artikel ini akan menjawab persoalan berkaitan hukum poligami bagi suami mengikut situasi tertentu.

Artikel ini adalah dipetik daripada buku Fikah Perkahwinan, tulisan Ustaz Muhamad Fathi Yusof. Semoga sedikit sebanyak dapat memberi panduan kepada para isteri yang menghadapi masalah sebegini.

Poligami: Bagaimana Jika Tidak Rela Dimadukan & Berkongsi Kasih?
gambar sekadar hiasan

Soalan

Saya seorang wanita yang sudah berusia 40 tahun. Anak-anak saya sudah besar panjang.
Ada yang sudah masuk Universiti. Masalahnya ustaz, suami saya tiba-tiba memberitahu saya yang dia hendak berkahwin lagi.

Saya rasa macam dunia sudah hendak kiamat. Saya tidak rela dimadukan dan tidak rela berkongsi kasih. Saya tahu poligami itu harus dalam Islam.
Apa yang terbaik perlu saya lakukan?

 

Jawapan

Jika ditanya mana-mana isteri, kebanyakkan mereka biasanya akan menyatakan keberatan untuk membenarkan suami mereka berkahwin lain. Masing-masing tidak berkongsi kasih, atau melihat suaminya sendiri berada disamping wanita lain.

Perasaan cemburu sebegini adalah normal dan semulajadi. Bahkan ada kisah-kisah yang menggambarkan isteri Rasulullah SAW mempunyai perasaan cemburu antara satu dengan yang lain.

Namun soalnya, bagaimanakah para isteri menghadapi perasaan begini sesuai dengan petunjuk Allah dan bertepatan dengan akhlak Islam?

Dalam situasi para isteri berdepan dengan cabaran poligami ini, mereka perlulah kembali meneguhkan iman dengan meyakini sesungguhnya hukum yang ditetapkan oleh Allah Yang Maha Adil dan Maha Bijaksana itu mempunyai hikmah yang tersendiri.

Pada masa yang sama, para isteri juga perlu menekuni peraturan-peraturan syarie berkaitan dengan poligami agar dapat menyuarakan pandangan mereka dengan bernas tentang hasrat suami untuk berkahwin dengan wanita lain.

Saya mencadangkan agar puan berbincang dengan suami bagi menemui jalan sepakat atau sekurang-kurangnya dapat saling memahami antara satu sama lain.

Hukum Poligami: Sunat, Makruh & Haram

IKLAN

Benar, seperti yang puan sebutkan, poligami pada asalnya adalah sesuatu yang diharuskan dalam Islam.

Suami dibenarkan memiliki empat orang isteri.

Kebenaran ini disebut secara nyata dalam al-Quran:

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

— Surah al-Nisa ayat 3

Hukum asal ini tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun. Namun, hukum ini berbeza-beza bagi setiap individu dan boleh berubah mengikut situasi.

Contohnya, bagi suami yang mampu berlaku adil, dan memerlukan wanita yang dapat memenuhi keperluan semulajadi, serta bagi mengelakkan maksiat, sedangkan isterinya tidak mampu memenuhinya, maka hukumnya adalah sunat.

Begitu juga bagi suami yang mampu bersikap adil dan inginkan anak sedangkan isteri yang ada sakit atau mandul.

Sebaliknya, jika seorang suami itu berhasrat untuk berpoligami semata-mata ingin berseronok dan dia sendiri ragu-ragu sama ada boleh berlaku adil atau tidak kepada isteri-isterinya, maka hukumnya berubah menjadi makruh.

Bahkan hukum poligami boleh berubah menjadi haram dalam keadaan tertentu, seperti jika seorang suami yakin tidak yakin boleh bersikap adil terutamanya jika dalam keadaan sebelum poligami pun dia sudah mengabaikan tanggungjawab asasinya sebagai suami.

IKLAN

Poligami: Bagaimana Jika Tidak Rela Dimadukan & Berkongsi Kasih?

Persoalan Yang Kedua Adalah Tentang Kemampuan Suami Berlaku Adil Kepada Isteri-Isteri.
Islam tidak memaksa keseimbangan atau keadilan dari segi perasaan kerana perasaan adalah sesuatu yang tidak zahir, tidak boleh diukur dan tidak mampu dikawal.

Keadilan yang dimaksudkan ialah keadilan dari sudut nafkah, tempat tinggal, tempat tidur dan pergaulan yang baik.

Jika suami tidak mampu berlaku adil, dan poligaminya termasuk dalam kategori makruh atau haram, maka isteri berhak untuk bersuara bagi memintanya membatalkan hasrat berkenaan.

Isteri perlu bersuara bagi mengelakkan berlakunya kezaliman dan kemungkaran.

Allah berfirman:

Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

— Surah al-nisa ayat 3

Undang-undang pentadbiran keluarga Islam di Malaysia memberikan ruang kepada Isteri untuk memberikan pandangannya melalui kaedah-kaedah berbeza mengikut negeri.

IKLAN

Poligami: Bagaimana Jika Tidak Rela Dimadukan & Berkongsi Kasih?

Namun begitu, lebih baik perkara ini diselesaikan melalui rundingan sama ada melalui suami dan isteri, atau boleh juga melibatkan ahli keluarga yang dihormati, yang dapat menjadi pendamai antara dua pihak.

Sebaliknya, jika suami yakin boleh berlaku adil dan sememangnya dia mampu serta termasuk dalam kategori harus atau sunat melakukan poligami, maka puan perlulah bersedia menerima hasrat berkenaan.

Penutup: Setiap ketentuan Allah pasti ada hikmah yang tersendiri.
Sesuatu yang kita rasakan mendatangkan keburukan, kadangkala mendatangkan kebaikan disisi Allah.

InsyaaAllah, ketabahan para isteri menerima hasrat suami ini akan dikira sebagai satu pengorbanan besar yang pastinya mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

Bahkan inilah sebenarnya peluang para isteri untuk bermuhasabah dan meningkatkan lagi kecintaan kepada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

 

 

 

 

 

 

 

Sumber : Aku islam 

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI