Ini adalah antara cabaran yang perlu dilalui oleh mereka yang sedang menunggu tarikh keramat, iaitu hari pernikahan.
Ada sesetengahnya yang tidak senang duduk apabila sudah mengikat tali pertunangan. Kadang-kadang sedih, marah, terlalu gembira, dan ada yang asyik teringatkan tunangnya sedangkan ada yang telah lama mengenali hati budi masing-masing. Semasa berkawan, mungkin anda tidak merasai betapa seriusnya hubungan ini, dan bagaimana komitednya anda terhadap perkahwinan yang bakal berlaku. Maka, mungkin sebab ini menjadikan anda resah dan gelisah.
Oh ya, kadang-kadang ada juga yang tiba-tiba menjadi terlalu cemburu dan asyik mahu mengawal pergerakan tunang mereka. Ini adalah dugaan semasa bertunang yang biasa terjadi.Sedangkan, lelaki ini belum lagi berhak dipatuhi oleh wanita tersebut sebelum melafazkan akad nikah. Begitu juga seorang wanita yang tidak berhak meminta sebarang bentuk tanggungan daripada pihak lelaki. Namun, sebagai seorang Islam, kita wajib menjaga pergaulan kita walau di mana kita berada, sama ada sudah bertunang ataupun belum.
GANGGUAN ORANG KETIGA
Ada kes yang rumit di mana pihak yang ditunangkan itu menerima tanpa rela, atau tidak tahu menahu tentang perbuatan ibu bapa yang merancang pertunangan anak mereka. Tak cukup dengan itu, ada yang mula curang walaupun diri telah mengikat janji dengan tunang masing-masing.
Dalam hal ini, anda perlulah banyak bersabar dan mencari jalan penyelesaian dengan ibu bapa terlebih dahulu sebelum melibatkan orang luar. Selain itu, lakukan solat Istikharah untuk mendapatkan keputusan yang sewajarnya.
Waktu inilah anda perlu berjimat-cermat dan mengumpul wang simpanan sebagai persediaan menghadapi alam rumah tangga. Jadi, mungkin ada yang terpaksa ‘ikat perut’ dan menahan nafsu daripada berbelanja sesuatu mengikut kebiasaan.
Gambar hiasan : Tangkap Pictures