Kurang bersenam boleh menyebabkan kegemukan dan mudah untuk kita mendapat penyakit. Senaman adalah cara penting untuk menjaga kesihatan dengan baik. Kajian sains membuktikan senaman boleh menurunkan risiko mendapat penyakit kronik seperti jantung, strok, diabetes, darah tinggi dan kanser.
Senaman selama 30 minit secara sederhana sebanyak 5 kali seminggu boleh mengurangkan risiko penyakit kronik sebanyak 30 peratus.
Selain itu, senaman juga dapat memperkuatkan jantung. Tindak balas jantung menjadi lebih efisien serta mengelakkan risiko untuk kita mendapat penyakit jantung.
Senaman juga dapat mengurangi kadar gula darah dan dapat membuatkan kita jadi lebih bertenaga. Senaman yang teratur boleh membantu melancarkan pengaliran udara yang masuk dan keluar melalui paru-paru.
Mengurangkan berat badan apabila dilakukan dengan konsisten dan kalori semakin banyak terbakar. Senaman juga dapat menghilangkan tekanan atau stres. Apabila stres berkurang, maka tekanan darah kita juga akan menurun.
Obesiti dan kegemukan adalah penyakit yang melanda banyak negara di dunia terutama negara maju dan makmur. Malaysia tidak terkecuali dalam masalah ini dengan sebab utama masalah berlaku adalah kerana pengambilan makanan yang terlalu berlebihan. Ia turut diburukkan lagi oleh kecenderungan terhadap makanan manis sejak usia muda lagi.
Hasil kajian mendapati negara kita memiliki kadar obesiti dan kegemukan tertinggi iaitu masing-masing 13.3 peratus dan 38.5 peratus. Pastikan anda tidak meninggalkan sarapan yang sangat penting.
1. Makan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.
2. Banyakkan makan makanan berserat seperti bijirin dalam diet seharian.
3. Pastikan makanan mengandungi makanan berkanji seperti nasi, roti dan pasta
4. Kurangkan makanan bergoreng dan berlemak, sebaliknya ambil lebih banyak buah-buahan dan sayuran. Begitu juga minuman, elakkan mengambil air dengan kandungan gula yang tinggi dan banyak minum air kosong.
5. Kajian menunjukkan dengan setiap lebihan 150 kalori gula yang diambil iaitu bersamaan dengan satu tin minuman bergas akan menyebabkan peningkatan sehingga sebelas kali ganda berlakunya penyakit diabetes kepada penggunanya. Ia dibandingkan dengan jumlah kalori yang sama yang diambil daripada sumber lemak atau protein.
6. Kawal saiz hidangan pada waktu makan dan jenis pengambilan snek.
7. Minum air putih sekurangnya 8 gelas sehari (otot ada 75% air, tulang 22%, darah 83% air)
Info:
Setiap 25kg = sekurang-kurangnya 1 liter air
Sekiranya 50kg = 2 liter air
Air dapat buang toksin dalam badan, mengawal suhu badan, kelembapan kulit dan sembelit
Kesimpulannya, kurang senaman, kualiti pemakanan yang rendah, faktor budaya dan kesedaran yang rendah mengenai obesiti dikatakan sebagai punca utama masalah berat badan ini di Malaysia. Kajian Pemakanan Orang Dewasa Malaysia melaporkan hanya satu pertiga golongan dewasa pernah bersenam, manakala hanya 14 peratus yang melakukan senaman yang mencukupi.
Masyarakat perlu diberi kesedaran konsep yang betul mengenai pemakanan dan senaman supaya tidak terpedaya dengan konsep salah yang akan menyebabkan seseorang menghidap penyakit kronik walaupun mereka bersenam secara konsisten tetapi tidak makan secara tidak sihat.
Pemakanan sihat dan betul sangat penting untuk mengawal kadar penyakit diabetes dan masalah obesiti yang membelenggu masyarakat Malaysia sekarang. Gabungan pemakanan yang sihat & senaman yang lengkap juga adalah kunci utama dalam menurunkan berat badan.
Konsisten dan motivasi yang tinggi adalah perkara yang paling penting untuk meneruskan perjuangan menurunkan berat badan. Oleh itu, apa tunggu lagi. Jangan pilih antara diet atau senaman. Gabungkan keduanya!