Ramai Bakal Pengantin Takut Muka Berkerak? Silalah Cuba Cara Ini

Share

Tidak dapat dinafikan, kecantikan kulit wajah akan meningkatkan keyakinan diri wanita. Kulit segar, berseri dan menawan, menjadikan individu lebih selesa berhadapan dengan orang. Tambahan buat anda yang tidak lama lagi bakal menamatkan zaman bujang, mesti nak kelihatan cantik di hari persandingan.

Kulit kusam disebabkan masalah sel kulit yang bercampur. Sel kulit yang mati dan sel baharu saling bercampur menyebabkan kulit tampak gelap dan bernoda. Pertumbuhan sel juga lambat dan sel baharu kurang berkembang. Ini menyebabkan kulit tampak pudar.

Kulit sebegini sering mudah mendapat ‘white heads’ iaitu pengumpulan lemak dalam pori-pori kulit. Lemak ini berasal daripada kelenjar sebum atau kelenjar minyak yang terlalu aktif.

Oleh kerana pengeluaran lemak terlalu banyak, kulit jadi berminyak dan memudahkan jerawat tumbuh. Begitu juga dengan noda hitam akibat sel sebum dan bulu roma yang bercampur. Noda hitam yang banyak menyebabkan warna kulit menjadi tidak sekata. Kulit tampak kotor meskipun sudah dicuci.

Satu lagi masalah yang menjadikan kulit tampak kusam ialah kesan parut lama. Apabila kulit berparut akibat jerawat atau masalah lain, kesan kehitaman mudah dilihat.

Kehilangan kolagen

Mencuci muka saja tidak boleh membantu mengatasi secara menyeluruh. Jika seseorang wanita itu bekerja di kawasan yang terdedah kepada sinaran matahari, kulit akan menjadi lebih kasar, pigmentasi dan cepat berkedut.

Ini kerana sinaran matahari boleh menyebabkan berlaku pigmentasi. Keadaan itu menjadikan individu nampak lebih tua.

Sinaran UVA dan UVB juga menyebabkan kulit cepat kehilangan kolagen. Kolagen pada kulit tidak boleh diganti dengan hanya menggunakan produk kecantikan seperti bedak saja atau mengambil makanan tambahan mengandungi kolagen.

Kaedah terbaik ialah perlu menjaga kulit daripada kerap terdedah kepada cuaca panas yang turut memberi kesan kepada kehilangan kolagen dengan lebih cepat.

Produk kecantikan juga penyebab kulit kusam kerana sesetengahnya mengandungi bahan kimia yang tinggi.

Rawatan laser

Pada masa kini, teknologi laser digunakan dengan meluas bagi meningkatkan kecantikan kulit. Laser Fractional Co2 ( Carbon Dioksida) merangsang kulit dan mengelakkan masalah kulit kusam.

Apabila pixel dibuat, pancaran laser yang menusuk kulit akan mengeluarkan sel mati dan meningkatkan aktiviti sel baharu. Ini membolehkan sel lama dikeluarkan dan aktiviti penggantian kulit akan lancar.

Laser juga mengecilkan kelenjar sebum. Apabila minyak kurang keluar, wajah tampak lebih sekata dan lebih berseri. Penggunaan laser juga menghapuskan white head akibat minyak berlebihan.

Penggunaan laser yang berkualiti sangat mustahak bagi menghasilkan kesan yang diingini. Laser ada pelbagai jenis dan setiap satunya amat spesifik tindakannya.

Laser jenis Fractional Co2 bertindak menghapuskan jenis parut berlubang dan membuang sel mati yang melekat pada kulit.

Justeru, ia amat sesuai bagi rawatan kulit kusam. Laser ini juga sesuai bagi semua jenis kulit.

Guna pelindung

Laser Fractional Co2 juga akan menghilangkan kedutan yang halus pada bahagian mata dan dahi serta menegangkan kulit akibat stimulasi kolagen.

Selepas rawatan laser dijalankan, amat mustahak menjaga kulit supaya tidak terkena pancaran matahari selama seminggu. Pada waktu ini amat penting sekali kita menggunakan pelindung cahaya matahari yang baik dan krim pelembap yang disyorkan oleh doktor.

Sekiranya langkah ini diikuti, anda pasti mendapat hasil yang sangat baik dan kulit yang benar-benar halus dan mulus.

Kulit yang halus mudah diuruskan. Ia sukar berjerawat berbanding kulit yang kasar. Ini kerana kelenjar minyaknya adalah sekata dan tidak berlebihan.

Ia juga tampak sempurna apabila disapu bedak atau mekap. Pori-porinya kecil membuatkan sapuan mekap sempurna dan sama rata.

Ini juga membuatkan anda kelihatan segar dan berseri sepanjang hari. Mereka yang berkulit halus juga tidak berasa ragu untuk tampil tanpa mekap. Ini kerana kulit yang cantik dan licin akan tetap menarik meskipun tiada sebarang solekan dikenakan.

Published by
Kim