Rasa Selamat Bila Si Dia Ada Di Sisi, Itu Tanda Kalian Serasi Bersama

Share

Keserasian dalam sesebuah rumah tangga amat penting agar kalian saling memahami antara satu sama lain. Dengan keserasian ini, anda dan pasangan boleh mencapai kata sepakat dan boleh mengelakkan salah faham. Kedua-duanya perlu memainkan peranan bersama.

Keserasian ini akan memudahkan anda untuk melayari bahtera rumah tangga. Segala ujian dan cabaran dapat dilalui bersama dengan tenang. Pertengkaran pasti akan ada dalam sesebuah rumah tangga tapi anda haruslah bijak dalam mencari penyelesaian terbaik.

Oleh itu, anda amat digalakkan untuk mencari pasangan yang benar-benar serasi dengan anda. Jom kita lihat tanda-tanda anda berdua adalah pasangan yang serasi menurut Ustazah Norbahyah Mahmood.

Rasa Bahagia dan Tenang

Setiap kali bersamanya, anda akan rasa tenang dan seronok. Jika mereka mampu bagi ketenangan pada anda, itu merupakan satu tanda yang kalian sudah serasi.

Rasa Selamat Dengannya

Memang naluri semula jadi manusia untuk berasa selamat dengan orang yang kita sayang. Cuba lihat kembali, adakah anda rasa selamat bila pergi ke mana-mana dengan si dia?

Bertolak Ansur Walaupun Sikap Berbeza

Keserasian itu tidak semestinya semua benda kita suka sama-sama. Keserasian itu apabila pasangan kita boleh bertolak ansur walaupun sikap kita berbeza dengannya. Ada benda yang kita suka, ada benda yang tidak. Jika dia mudah untuk bertolak ansur, itu petanda yang baik.

Susah Senang Bersama

Ini yang paling mencabar. Mampu atau tidak pasangan anda berada di samping anda pada waktu susah anda? Pelbagai cabaran yang bakal ditempuh terutamanya ketika merancang perkahwinan. Jika pasangan anda masih boleh bersabar dan menenangkan hati anda, ia merupakan satu lagi petanda yang baik.

Lebih Dekat Dengan Allah

Bila bersama, masing-masing mula berubah ke arah yang lebih baik. Kalian saling ingat-mengingati antara satu sama lain dan menasihati pasangan jika dia mula lari daripada landasan agama.

Published by
webadmin