Lebih bahagia jika raya sederhana dengan meraikan apa yang kita ada daripada berlebihan sampai berhutang.
Memang baju raya kalau boleh nak baru, duit minyak nak balik kampung kena fikir, biskut raya pun kena beli tetapi biar berpada jangan sampai tak cukup duit dan terpaksa pinjam duit dengan orang. Nah, sebelum pergi lebih jauh, jemput baca perkongsian saudara Firdaus Shakirin dulu.
Raya ini simple sahaja. Lebih kepada meraikan apa yang kita ada dan bukannya tambah dulu apa yang sedia ada, kemudian raikan. Walaupun itu dah jadi macam norma dan budaya orang kita.
Jangan sampai berhutang semata-mata nak kelihatan ‘ada’ dihari raya. Tak perlu mewujudkan tekanan dalam diri sendiri dan juga pasangan dan juga keluarga untuk menyempurnakan raya.
Berpuasa, berbuka, bersahur, bayar zakat fitrah. Ini yang lebih utama, raya sederhana ikut cara kita, kemampuan kita, apa yang kita ada sahaja.
Jangan ikut orang lain atau jiran sebelah. Jangan pula cuba nak bagi orang faham situasi dan keadaan kita.
Terkena raya tengah bulan, jadi biarlah ikut kemampuan. Semoga baik-baik sahaja sampai gaji bulan akan datang.
Baik isteri atau suami, sama-sama kena cakna bab persiapan hari raya. Tak nampak orang ‘ada-ada’ tak apa asal masih boleh bersedekah pada anak kecil dan mak ayah.
Itu lebih daripada cukup.