Dalam rumah tangga, kata-kata pujian kepada pasangan merupakan salah satu pengikat kasih sayang yang perlu suami isteri amalkan. Apa yang penting, pujian untuk pasangan itu haruslah diluahkan secara ikhlas.
Bukan hanya isteri sahaja yang suka dengan pujian, suami juga perlukan pujian manja dan ikhlas daripada isteri tercinta. Walaupun kebiasaannya lelaki kurang menzahirkan perasaan gembira apabila dipuji, namun percayalah jika anda ungkapkan kata-kata pujian boleh membuatkan suami rasa dihargai.
Ok isteri, jadikan pujian-pujian ini sebagai amalan anda dan perhatikan reaksinya!
1. Tunjukkan rasa teruja anda dengan penampilannya
Seperti pakaian dan rambut, lelaki tidak akan pernah menjadi sebimbang orang perempuan, namun dia masih mengambil berat tentang penampilan luarannya. Tiada insan lain yang lebih jujur dalam memberikan pendapat tentang penampilannya selain isterinya sendiri.
Sesekali tunjukkan rasa kagum anda tentang penampilannya dan katakan yang anda nampak suami segak dengan pakaian dan gaya rambutnya yang sebegitu. Jangan lupa berikan pandangan menggoda saat anda memujinya seolah-olah pandangan ‘jatuh cinta pandang pertama’. Selain suami rasa terharu dan berbesar hati, pasti suami juga cenderung untuk memberikan anda pujian!
2. Katakan yang anda suka dengan bau suami yang segar
Wanita umumnya gemarkan bau yang segar dan harum. Beri dorongan kepada suami agar suami kekal segar dan harum dengan memberikan pujian ikhlas tatkala suami selesai mandi dan mengenakan haruman kegemarannya. Secara tidak langsung, suami akan terdorong dalam usahanya untuk meneruskan penampilan diri yang sentiasa harum sekali gus meningkatkan keyakinan dirinya.
3. Puji gaya potongan rambut terbaharunya
Tidak seperti anda, suami anda mungkin tidak pernah menghabiskan banyak masa dan wang untuk penampilan rambut. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna yang suami tidak berusaha untuk menjaga penampilan rambutnya.
Walaupun mungkin suami jarang bertanyakan kepada anda soalan, “Okay tak rambut abang?” selepas dia keluar dari kedai gunting rambut, namun sebenarnya kaum lelaki memang inginkan komen positif daripada wanita lebih-lebih lagi isterinya. Yakinkan suami yang rambutnya kelihatan elok dan menawah, malah gaya rambutnya itu kena dengan dirinya.
4. Katakan yang pandangan suami bernas
Sewaktu zaman kanak-kanak, ini adalah pujian terbaik yang seringkali diterima namun ia semakin hilang seiring dengan usia. Jika suami anda mengatakan sesuatu yang intelektual atau bijak, berikan pujian di atas hujahan suami yang bijak itu. Ia adalah satu pujian yang jarang didengari dan boleh membuatkan suami rasa bangga dengan pandangannya.
5. Beritahu suami yang anda selesa dan selamat dengannya
Suami pasti merasakan bahawa dirinya penting apabila dia mengetahui anda selamat apabila berada bersamanya. Zahirkan perasaan selamat dan rasa dilindungi apabila anda berada di sampingnya. Ini juga akan membuatkan suami rasa dirinya maskulin, gagah dan lebih yakin.
Cuba ini: Minta suami bukakan penutup balang untuk anda dan ucapkan terima kasih dengan menepuk bicepnya sambil anda memuji betapa kuatnya dia. Pasti suami rasa kuat dan seksi dalam masa yang sama!