Resipi Roti Masak Cara Kukus, Lebih Lembut, Gebu Berbanding Bakar Guna Oven

Share

Roti sedap enak dinikmati ketika masih panas-panas lagi. Sebenarnya tidak susah pun untuk memasak roti. Bahan-bahan yang digunakan pun tidak banyak. Jika anda tiada oven, roti boleh dimasak dengan cara kukus.

Resipi roti yang dimasak dengan kaedah kukus seperti dikongsikan oleh pengguna Facebook, Khairunnisa Mohammad berikut memang sangat mudah. Hasilnya roti gebu dan cantik. Sesuai dijadikan menu untuk sarapan pagi dan juga hidangan minum petang.

 

RESIPI ROTI KUKUS GEBU

Bahan-bahan:

150 gm tepung gandum
2 biji telur
1 sudu besar gula
1 sudu kecil yis
1 sudu kecil esen vanila
Secubit garam
1 sudu besar minyak masak
Gula dan mentega yang dicairkan untuk topping

CARA MENYEDIAKAN:

1. Satukan tepung gandum, yis, gula, garam dan telur dalam bekas. Kacau dengan spatula hingga rata.

2. Masukkan minyak masak. Uli hingga doh licin.

3. Perap sampai doh naik dua kali ganda. Selepas perap, bahagikan doh kepada beberapa bahagian.

4. Bulat-bulatkan dengan tangan. Susun dalam loyang. Boleh guna loyang saiz 6 inci.

5. Kemudian tunggu lagi hingga doh kembang dua kali ganda.

6. Balut loyang dengan ‘cling wrap’ tetapi jangan terlalu ketat. Bagi ruang untuk roti mengembang semasa dikukus.

7. Kukus dengan api sederhana selama 35 minit hingga 40 minit.

8. Apabila roti sudah masak, sapu dengan marjerin/mentega cair. Tabur gula. Siap untuk dimakan. Enak juga dinikmati dengan kari dan juga kuah sardin.

TIP PENTING:

– jika doh agak lambat kembang, jangan panik. Tunggu sahaja sehingga doh betul-betul kembang kemudian bolehlah dikukus.

– doh akan mengembang lagi ketika dikukus.

* jangan balut loyang terlalu ketat semasa mengukus. Roti tidak dapat mengembang dan tidak menjadi gebu.

Sumber: Khairunnisa Mohammad

 

Published by
Hasliza