Rezeki Kahwin Muda, Usia Bukan Halangan Untuk Jadi Suami

Share

Tak semua dapat rezeki kahwin muda tetapi kalau sudah jodoh, apa salahnya. Kalau zaman dulu, perkara ini nomal. Tetapi zaman sekarang orang rasa macam, “Eh, mudanya dah kahwin!” Begitulah pandangan orang.

Seperti yang dilalui pasangan muda ini, gambar mereka tular di media sosial apabila ramai menganggap suami isteri ini seolah-olah adik-beradik yang masih bersekolah kerana faktor tubuh dan ketinggian.

Rezeki Kahwin Muda, Usia Bukan Halangan Untuk Jadi Suami

Syarah Aliya Ahmad, 19, dan suami, Muhammad Naqib Mohamad Nasir, 20, memilih menamatkan zaman remaja mereka dengan memikul tanggungjawab besar sebagai suami isteri pada 2 Mac lalu.

Kisah mereka mendapat perhatian di TikTok apabila Syarah Aliya berkongsi video perkahwinan yang meraih 1.3 juta tontonan dan pelbagai reaksi netizen, baru-baru ini.

Syarah Aliya berkata, dia hanya mengikut trend TikTok yang berkongsi perbandingan usia dan sikap suami isteri, namun tidak menyangka akan mendapat perhatian warganet.

“Banyak juga komen yang cakap kami beruntung kahwin muda dan ada juga sangka kami masih sekolah lagi selain cakap seperti kakak dan adik.

“Lucu juga tetapi saya tak ambil hati mungkin orang nampak kami seperti adik dan kakak sebab suami rendah sedikit daripada saya. Tinggi saya 160 sentimeter (cm), manakala suami 156 cm.

“Tetapi itu tak jadi masalah sebab yang penting kami perlu sepakat dan saling bertolak ansur sepanjang perkahwinan ini dan harap ia berkekalan selamanya,” katanya tinggal bersama mentua di Kampung Telok Durian, Kupang, di sini.

Lama Berkawan Sebelum Kahwin

Mereka berkawan sejak dia berusia 14 tahun selepas berkenalan di Lata Celak, Kupang dan sepakat membina hidup bersama kerana tidak mahu terlalu lama berkawan, selain mengelak perkara tidak baik.

“Suami sudah ajak bertunang dan berkahwin sejak saya berusia 17 tahun tetapi saya pilih untuk menamatkan persekolahan dulu, malah keluarga kami juga berpendapat sama.

“Saya anggap berkahwin awal ini adalah rezeki kerana saya belum ada rezeki menyambung pelajaran tetapi bersyukur perkahwinan ini banyak mendidik saya ke arah lebih baik,” katanya memberitahu suaminya menguruskan perniagaan makanan ternakan haiwan milik keluarga mentua.

Usia Bukan Penghalang

Katanya, usia remaja bukan penghalang untuk mereka memikul tanggungjawab sebagai suami isteri dan mereka disokong keluarga terutama ibu bapa, Maznah Hassan dan Ahmad Abd Rahman serta mentua, Robaayah Abdul Karim dan Mohamad Nasir Khamis.

“Sejak berkahwin saya sematkan dalam fikiran yang saya ini isteri orang dan perlu menjaga nama keluarga dan mentua. Kalau dulu bangun pagi mesti lambat tetapi sekarang perlu bangun awal untuk sediakan sarapan buat suami sebelum dia pergi kerja.

Haaa… satu rezeki kahwin muda, kalau anda pun ada jodoh awal, teruskan. Minta doa dan restu daripada orang tua, itu lebih dari cukup. Pasal kewangan atau masalah lain boleh sama-sama usahakan yang terbaik. Hidup ini lebih bahagia jika kita abaikan kata-kata dan pandangan orang. Betul tak?

Sumber berita: Harian Metro

Published by
Nadia