Di antara persoalan yang sering diajukan berkenaan puasa adalah hukum-hakam yang berkaitan dengan perhubungan di antara suami dan isteri di siang hari bulan Ramadhan. Di dalam Irsyad al-Fatwa edisi khas Ramadan kali ini kami akan kongsikan beberapa permasalahan yang berkaitan isu tersebut.
Hukum Bercumbuan Dan Bermesraan Semasa Berpuasa
Kata Saidatuna Ummul Mukminin A’isyah R.anha:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ إِحْدَى نِسَائِهِ وَهُوَ صَائِمٌ
Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu mencium salah seorang dari isteri baginda dalam keadaan baginda sedang berpuasa.
Riwayat Muslim (1106)
Di dalam riwayat yang lain, Saidatuna A’isyah R.anha mengatakan:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ وَهُوَ صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كَانَ أَمْلَكَ لإِرْبِهِ
Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu mencium dalam keadaan berpuasa dan baginda juga bermesra-mesraan dalam keadaan berpuasa akan tetapi baginda yang paling memiliki anggotanya (menahan nafsu).
Riwayat Abu Daud (2382)
Berdasarkan kedua-dua hadis yang sahih di atas, dapatlah kita ketahui bahawasanya baginda Rasulullah S.A.W juga mencium dan bermesraan dengan isteri baginda.
Manakala pendapat dalam mazhab al-Imam al-Syafie adalah sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi berikut:
Kami telah nyatakan bahawa mazhab kami adalah makruhnya ia (bercumbuan dan bermesraan) bagi sesiapa yang kuat syahwatnya (teransang). Manakala tidak dimakruhkan bagi selainnya (yang mampu kawal nafsu) dan yang utamanya perbuatan ini ditinggalkan. Sekiranya seseorang yang kuat nafsunya mencium dan tidak keluar air mani maka puasanya tidak batal.
Kata Imam Ibn al-Munzir: (Di antara) yang memberikan kerukhsahan (kelonggaran) dalam mencium ini adalah Umar, Ibn Abbas, Abu Hurairah, A’isyah, Atha’, al-Sya’bi, al-Hasan, Ahmad, serta Ishak. Manakala Sa’ad Ibn Abi Waqqas menganggap tiada masalah untuk bermesraan dengan isteri (semasa berpuasa). Ibn Umar pula melarang hal tersebut. Lihat al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (6/355).
Seperkara yang perlu kami nyatakan, sekiranya seseorang itu bermesra-mesraan dengan isterinya pada bahagian selain faraj lalu terkeluar maninya, ataupun dia bercumbuan dan keluar air mani maka batallah puasanya. Sekiranya tidak keluar mani maka puasanya tidak batal.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saiduna Umar Ibn al-Khattab beliau berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ صَنَعْتُ الْيَوْمَ أَمْرًا عَظِيمًا قَبَّلْتُ وَأَنَا صَائِمٌ قَالَ أَرَأَيْتَ لَوْ مَضْمَضْتَ مِنَ الْمَاءِ وَأَنْتَ صَائِمٌ
Maksudnya: Wahai Rasulullah, hari ini aku telah lakukan sesuatu yang berat. Aku telah mencium dalam keadaan aku berpuasa. Maka Rasulullah S.A.W menjawab: Apa pendapat kamu sekiranya kamu berkumur-kumur dalam keadaan kamu sedang berpuasa ?
Riwayat Abu Daud (2385)
Ketika mengulas hadis ini, Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: Baginda S.A.W mengumpamakan perbuatan mencium itu dengan berkumur. Dan telah sabit bahawa jika seseorang itu berkumur lalu air sampai ke dalam rongganya maka itu membatalkan puasa. Sekiranya air tidak sampai maka ia tidak membatalkan. Begitu jugalah dengan mencium. Rujuk al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (6/321).
Hukum Persetubuhan Di Siang Hari Bulan Ramadhan
Bersama dengan pasangan di siang hari bulan Ramadhan adalah haram hukumnya. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
أُحِلَّ لَكُمۡ لَيۡلَةَ ٱلصِّيَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَآئِكُم
Maksudnya: Telah di halalkan buat kalian pada malam hari puasa itu untuk bersama dengan isteri kalian.
Surah al-Baqarah (187)
Cara memahami hukum berdasarkan ayat ini adalah dengan menggunakan kaedah mantuq dan juga mafhum dalam usul feqh. Mantuq bermaksud perkara yang dituturkan manakala mafhum pula bererti sesuatu yang difahami daripada ayat yang dituturkan.
Maka apabila Allah mengatakan telah halal bagi kita untuk bersama dengan isteri pada malam hari puasa maka ini merupakan mantuq (yang dituturkan). Manakala yang difahami dari ayat ini (mafhum) adalah haramnya bersama dengan isteri di siang hari bulan puasa.
Kesan Bagi Sesiapa Yang Bersetubuh Di Siang Hari Ramadhan
Sesiapa yang bersama dengan pasangannya di siang hari bulan Ramadhan, maka kesan dari perbuatan tersebut adalah:
Pertama: Puasanya batal dan wajib qadha (ganti) ke atas keduanya. Ini kerana perbuatan bersetubuh dengan isteri di siang hari bulan Ramadhan termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Ia berdasarkan sabda Nabi S.A.W:
وَصُمْ يَوْمًا مَكَانَهُ
Maksudnya: Dan berpuasalah pada hari yang lain menggantikan hari tersebut.
Riwayat Ibn Majah (1671)
Kedua: Sesiapa yang bersama dengan isterinya di siang hari bulan Ramadhan maka dia dikenakan kaffarah seperti berikut secara tartib (mengikut urutan):
Membebaskan seorang hamba.
Berpuasa dua bulan berturut-turut.
Memberi makan kepada 60 orang miskin.
Ini adalah berdasarkan kisah seorang arab badwi yang datang menemui Rasulullah S.A.W sebagaimana yang terdapat di dalam hadis Abu Hurairah yang berikut:
أَتَى النَّبِيَّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ رَجُلٌ فَقَالَ هَلَكْتُ . قَالَ ” وَمَا أَهْلَكَكَ ” . قَالَ وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي فِي رَمَضَانَ . فَقَالَ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ ” أَعْتِقْ رَقَبَةً ” . قَالَ لاَ أَجِدُهَا . قَالَ ” صُمْ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ ” . قَالَ لاَ أُطِيقُ . قَالَ ” أَطْعِمْ سِتِّينَ مِسْكِينًا ” . قَالَ لاَ أَجِدُ
Maksudnya: Seorang lelaki telah datang kepada Nabi S.A.W lalu dia mengatakan: “Aku telah binasa”. Lalu Rasulullah berkata: “Apa yang menyebabkan kamu binasa ?”. Maka lelaki itu menjawab: “Aku telah bersama dengan isteriku pada bulan Ramadhan”. Maka Nabi S.A.W bersabda: “Bebaskanlah seorang hamba”. Lelaki itu menjawab: “Aku tidak memilikinya”. Baginda bersabda lagi: “Puasalah selama dua bulan berturut-turut”. Lalu lelaki itu mengatakan: “Aku tidak mampu”. Kata Baginda lagi: “Berilah makan kepada 60 orang miskin”. Maka jawab lelaki itu: “Aku tidak memiliki sesuatu untuk diberi makan”.
Riwayat al-Bukhari (1936)
Adakah Beronani Membatalkan Puasa ?
Jumhur ulama mazhab yang empat mengatakan bahawa perbuatan beronani atau mengeluarkan mani dengan sengaja itu membatalkan puasa. Inilah juga yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah. Lihat Raudhah al-Thalibin, al-Nawawi (2/356).
Ini adalah berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.anhu yang mana Rasulullah S.A.W bersabda:
يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي
Maksudnya: Dia (orang yang berpuasa itu) meninggalkan makanannya, minumannya, serta syahwatnya kerana Aku.
Riwayat al-Bukhari (1894)
Sebagaimana makan dan minum membatalkan puasa, begitulah juga perbuatan seseorang yang mendatangi syahwatnya dengan cara beronani turut membatalkan puasa.
Demikian juga kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: Sesungguhnya kami telah sebutkan bahawasanya seorang lelaki itu apabila dia mengeluarkan air mani dengan sengaja maka batallah puasanya dan tiada kaffarah ke atasnya. Lihat al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (6/342).
Keluar Mani Secara Tidak Sengaja Membatalkan Puasa ?
Dalam beberapa keadaan, boleh jadi seseorang lelaki itu keluar air maninya selain dari sebab mencium dan bermesraan dengan isteri.
Di dalam kitab al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, penulisnya menyebut tentang dua keadaan keluar air mani tetapi tidak membatalkan puasa:
Jika seseorang lelaki memandang, talazzuz (bersedap-sedap), lalu terkeluar air mani maka itu tidak membatalkan puasa.
Jika seseorang bermimpi di siang hari bulan puasa lalu terkeluar air maninya maka itu juga tidak membatalkan puasa.
Kedua-dua ini tidak membatalkan puasa kerana terpancutnya air mani itu bukan disebabkan oleh mubasyarah (dengan usaha). Inilah pendapat yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi. Rujuk al-Majmuk Syarah al-Muhazzab (6/321).
Penutup
Akhir kalam, semoga penjelasan ini sedikit sebanyak dapat memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami isu ini. Ameen.
Akhukum Fillah
S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
23 JUN 2016 BERSAMAAN 18 RAMADHAN 1437 H