Cara mudah untuk jadi romantik dengan pasangan dan sekaligus menambah kemanisan hubungan suami-isteri. Semua pasangan boleh cuba.
Tak kiralah anda seorang suami atau seorang isteri, anda boleh menjadi seorang yang romantik sebenarnya.
Romantik ini ada 2. Satu dari percakapan dan yang kedua dari perbuatan. Ada yang boleh buat kedua-duanya. Ada yang boleh buat 1 sahaja. Tapi jangan risau, mana-mana pun bakal membuatkan pasangan anda tersenyum dan hatinya berbunga-bunga.
Romantik Perbuatan
1. Sentuhan Fizikal
Dibuat apabila suami dan isteri sedang duduk santai. Jangan buat semasa salah seorang sedang fokus pada benda lain contohnya si suami sedang tengok bola atau si isteri sedang tengok drama Nur 2.
▶️ Hanya gunakan tepi ibu jari dan lalukan ia di pipi pasangan perlahan-lahan sambil memandang matanya dan senyum dengan manis.
▶️ Gunakan hujung ibu jari dan bermainlah di kening pasangan dengan lembut. Buat dari dalam kening ke bahagian luar. Kiri dan kanan. Jika matanya tertutup melayan, anda sudah berjaya.
▶️ Mainkan jari-jemari anda di ubun rambutnya. Boleh buat semasa tengok tv atau main telefon. Perlahan-perlahan je. Antara dia sedar dengan tidak. Gunakan juga jari-jemari anda untuk mengusap jari-jemari pasangan dengan lembut dan perlahan.
▶️ Bawa kepala pasangan anda ke peha, biar dia jadikan peha itu sebagai bantal. Mainkan rambutnya. Garu ke, carik uban ke atau usap pun boleh. Cuba mainkan jari di bahagian telinga. Nanti ucap terima kasih kat saya.
▶️ Cuba amalkan menyikat rambut pasangan. Kesannya amat positif. Jika pasangan berambut panjang, buat perlahan-lahan. Jika rambut suami pendek, buat dengan cepat dan kemas. Bila rambutnya sudah terurus, jangan pula kita kacau. Boleh gaduh pulak nanti. Hehe..
▶️ Selalu pegang dengan lembut lengan atau pinggang pasangan. Ini boleh dibuat sama ada bila berjalan atau semasa berdiri menunggu apa-apa. Jangan nampak seperti memaksa. Perlu mulakan sedikit-sedikit. Ada yang hati keras, tak suka sentuhan. Tapi cuba je sedikit demi sedikit dan perlahan-lahan. Kalau tak berjaya hari ini, esok lusa ada lagi. Nanti bila dah biasa, boleh cengkam-cengkam geram pulak.
▶️ Ini yang paling hebat. Pelukan. Tak semestinya pelukan ghairah. Hanya pelukan sayang dan tak perlu lama pun. 2 3 saat pun dah cukup. Kalau dapat lagi lama lagi bagus. Boleh pilih untuk buat sebelum pergi kerja, selepas pulang dari kerja, bangun pagi, sebelum tidur, peluk dari belakang semasa dia masak, peluk tanda terima kasih jika pasangan buat sesuatu yang menggembirakan dan lain-lain situasi lagi. Tak perlu buat semua, buat salah satu pada permulaan je pun dah cukup. Nanti dah biasa, buatlah banyak-banyak.
▶️ Geletek pasangan. Ini perlu hati-hati dan jangan terlebih. Ada orang suka, ada yang tak suka. Kenali pasangan anda dahulu. Cuba sekali dua dahulu. Kalau nampak dia marah, tak perlu buat dah. Kalau dia tergelak atau seronok, boleh buat lagi.
2. Senyum
Kalau mulut sukar untuk meluahkan, senyum je.
▶️ Bila dia selesai berpakaian untuk ke luar, senyum. Itu tanda anda suka, anda sayang, anda memuji dia cantik atau segak tanpa berkata apa-apa. Hebat kan?
Ads
▶️ Bila isteri sedang atau telah selesai masak, berikan dia senyuman tanda terima kasih dan anda menghargainya.
▶️ Sebelum meninggalkan pasangan. Sama ada mahu pergi kerja atau keluar ke kedai. Sebelum pintu rumah ditutup, lemparkan sahaja satu senyuman manis buat pasangan. Tinggalkan mood yang baik. Pasti dia tersenyum sendiri.
▶️ Bila pulang dari kerja, berikan senyuman yang menandakan anda bersyukur kerana telah pulang ke rumah dan anda telah meninggalkan kerja di tempat kerja. Setkan mood pulang anda itu di tahap yang baik.
▶️ Senyum secara rawak atau spontan kepada pasangan. Bila dia tidak memandang, berikan senyuman padanya, bercakaplah dalam hati, “hensemnya laki aku ni” atau “comel bini aku ni”. Biar dia perasan yang anda sedang tersenyum melihat dia. Kalau dia tanya kenapa, boleh jawab sebab dia hensem atau cantik, atau jawab je “takde pape”. Pasti best !
3. Buat Apa Yang Disukai Pasangan
Ada sahabat saya cakap, suami dia beli ayam gunting RM6 pun dia dah rasa romantik sangat. Kenapa? Kerana suami dia TAHU apa yang isterinya suka dan buat.
▶️ Beli atau masak makanan kegemarannya. Tak semestinya yang besar atau mahal. Kadang-kala dia suka keropok jenama Cachos, kalau anda belikan, pasti dia tersenyum. Ataupun jika pasangan suka makan seaweed, belikanlah bila teringat. Pasti dia suka. Kalau ada rezeki lebih, beli makanan kegemaran dia. Mungkin dia suka burger, mungkin dia suka sushi, mungkin dia suka makan di Nandos. Jika mampu, bawak dia sekali sekala. Kalau pasangan jenis suka masakan anda, masak apa yang dia suka. Cukup dapat lihat dia makan dengan bersungguh pun kita dah seronok kan?
▶️ Jika pasangan suka anda buat sesuatu, buatlah. Contohnya pasangan suka anda berzumba, berzumbalah sampai penat. Jika pasangan suka anda bersukan atau ke gym, pergilah. Jika pasangan suka anda buat lawak, jadilah tukang lawak buat dia. Jika pasangan suka nyanyian anda, menyanyilah selalu. Jika pasangan suka anda mengaji, amalkan baca Quran berdekatan dengannya. Pasti dia hargainya.
▶️ Boleh juga masuk bab jangan buat apa yang pasangan tidak suka anda buat. Contohnya, dia tak suka anda geletek dia. Jangan buat dah. Jika dia tak suka nyanyian sumbang anda, jangan sakitkan telinga dia. Jika dia tak suka anda like gambar lelaki atau perempuan lain, jangan buat dah. Mudah kan?
▶️ Layan minat dan hobinya selagi ia tak memudharatkan. Tunjukkan minat untuk ambil tahu. Kalau tak faham pun takpe. Cukup sekadar beri dia ruang untuk melayan hobinya. Kalau hobinya anda pun suka, pasti dia sangat seronok jika dapat dilakukan bersama.
▶️ Solat berjemaah. Mungkin ramai yang anggap Solat berjemaah ini memang kena buat dan perkara wajib. Memang betul. Tapi ini juga salah satu dari cabang romantik. Dari rohani hinggalah fizikal. Pasangan pasti rasa manis bila dapat solat berjemaah bersama.
Ads
4. Permudahkan Urusan Pasangan
▶️ Bantu suami bersiap. Sediakan pakaiannya yang kemas. Si suami pun boleh bantu isteri dalam membuat kerja rumah. Basuh pinggan, basuh kain, sidai dan lipat kain, sapu rumah, kemas bilik dan ruang tamu atau basuh tandas. Bukan suruh buat hari-hari. Bila perlu je. Boleh jugak tolong isteri masak sekali-sekala asalkan jangan sampai menyusahkan. Karang ada yang “dah la abang, biar sayang je masak, abang pergi tengok tv”. Pasti ramai yang suka kan? Tapi tak romantiklah.
▶️ Tolong jaga anak bila isteri makan. Sama ada di rumah atau di luar. Kadang-kadang, cuba bagi can isteri makan dahulu. Mesti dia hargainya nanti.
Romantik Percakapan
1. Kata-Kata Cinta
➡️ Ucapkan secara lisan I love you. Cakap sekali sekala boleh. Cakap setiap kali sebelum pergi kerja boleh. Sebelum tidur, sebelum pergi kedai, sebelum keluar dari rumah ataupun secara rawak tanpa dirancang.
➡️ Jika tak mampu bercakap, taip. Kadang-kala ada yang malu nak keluarkan suara. Taip sahaja di whatsapp. Atau yang paling mudah, emoji. Emoji ❤ ini kecil je, tapi sangat-sangat bernilai. Bagi je sekali-sekala atau selalu. Nak selitkan dalam perbualan di whatsapp pun boleh. Pasti pasangan akan nampak punya. Dia balas atau tidak itu soal lain. Buat sahaja bahagian kita. Jangan risau, 1 emoji ini tidak akan membinasakan. Kecuali kalau diberi kepada orang lain. Hahaha..
➡️ Google kata-kata cinta, ambil satu dua dan cuba sekali-sekala. Atau yang lagi bagus, cakap terus kata cinta dari hati. Sama ada “I sayang sangat kat U” atau “I tak boleh kalau U pergi lama-lama, rindu sangat”. Benda-benda yang dulu kita selalu cakap masa bercinta pun ok.
2. Imbau Kenangan Semasa Bercinta
➡️ Masa bercinta semuanya indah kan? Boleh je bersama dengan pasangan cerita kembali kenangan dulu. Benda yang kelakar, benda yang manis, yang memalukan ke pun takpe, pasti akan tergelak bila teringat. Cuba sama-sama ingat kembali masa dating, masa kali pertama jumpa, kali pertama declare, kali pertama kenalkan kepada keluarga dan lain-lain.
➡️ Boleh juga jadikan kenangan lama sebagai pengajaran, kesilapan lalu yang sama-sama mahu tambah baik dan ubah. Atau pun kesusahan lalu yang sudah berjaya atau sedang diatasi. Ini pun satu perkara yang romantik apabila pemikiran suami dan isteri berfikir perkara yang sama.
Ads
3. Tanya dan Komunikasi
➡️ Apa yang bermain di fikiran pasangan? Tanya. Apa yang disukai dan tidak disukainya, tanya. Apa yang merunsingkan fikirannya, tanya. Apakah harapannya, tanya. Apakah cita-citanya serta angan-angannya, tanya. Apakah kesilapan kita, pun boleh tanya. Jangan diam. Jangan ingat kita boleh faham sendiri dan jangan ingat kerut di keningnya akan hilang sendiri. Mungkin di luar tak nampak, di dalam hati tak siapa yang tahu jika tidak bertanya.
4. Pujian dan Bisikkan
➡️ Selalulah memuji pasangan. Hargai setiap perbuatannya. Kalau suami tak reti masak, bila dia masak nasi atau telur goreng pun pujilah. Yang penting dia cuba. Atau pun isteri anda pandai masak, puji. Jangan ambil mudah, nak pandai masak tu bukan senang. Lagipun, perut kita pun happy betul tak?
➡️ Puji kecantikan dan kehenseman pasangan. Ucapkan dengan kata-kata. “Cantiknya sayangkuuuu” atau “Abang ni hensem macam Shah Rukh Khan la”. Tak salah pun puji tu. Tak luak langsung. Bukan kena bayar pun. Pujilah selalu. Biar dia rasa biasa pun. Puji je. Takde benda buruk yang boleh datang dengan pujian. Kecuali memuji laki atau bini orang lain. Kah kah kah.
➡️ Bisik manja di telinga dia. Bisik je ape-ape pun. Benda biasa boleh, benda yang seksi pun boleh. “Geram tengok abang hari ni”. “Kenapa cantik sangat ni?”. “I love U”. Atau “hmmmmmmmm”. Nak best lagi, gigit manja telinga dia. Amaran. Apa yang jadi selepas itu, tanggunglah sendiri ye. Hahaha..
Banyak yang kita boleh buat, pilih dan olah mengikut kesesuaian pasangan dan keluarga anda. Perlu ingat, jangan memaksa dan membanding-bandingkan. Semuanya perlukan masa. Semuanya perlukan latihan dan kesesuaian.
Semoga perincian ini dapat menambah kemanisan dan keghairahan dalam hubungan suami isteri.
Sumber : Akhtar Syamir
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sebaiknya, elakkan pembaziran masa majlis kahwin. Memang lah kahwin hanya sekali seumur hidup tetapi tengok juga pada tebalnya pada poket pasangan kita.
Kalau sampai berhutang buat loan bagai, itu melampau. Okay, jom cuba ikut mana yang mampu buat untuk majlis kahwin anda nanti…
Pembaziran Masa Majlis Kahwin
1. Tentukan budget kos kenduri kahwin. Ini penting! Tak ada bajet, pening nanti nak tentukan kos. Kena fikir bahagian jemputan tetamu, pelamin, baju nikah dan sanding, menu makanan,hantaran, mekap dan lain-lain.
Mesti buat draft dan pecahan bajet setiap bahagian.
2. Fokus pada mas kahwin mengikut negeri masing-masing. Tak perlu wang hantaran besar.
3. Hantaran tak perlu banyak dan berjenama. Cukup saja berbalas 5 -7. Beli barang hantaran masa time sales. Lebih jimat banyak and fokus pada barang yang memang akan digunakan selepas kahwin. Janganlah beli heels yang cantik and glam tapi lepas kahwin tak guna. Lepas tu terpaksa jual balik. Banyak ya situasi ni.
Contoh barang yang boleh dibeli, set wangian, kasut kerja, handbag,kain pasang, telekung dan sejadah, Al Quran, buah-buahan dan dessert.
4. Cincin atau barang kemas sebagai tanda. Belilah waktu emas tengah turun. Lebih jimat banyak dan bersederhanalah dalam memilih design yang nak.
Lepas kahwin nanti atau anniversary 1st nanti upgrade barang kemas tu. Tak wajib pun masa kahwin. Buat syarat je dulu ok.
5. Sponsor! Kena bincang dengan keluarga dan sedara mara jika ada yang berminat nak sedekah atau sponsor. Macam kenduri adik-adik dulu setiap family ambil bahagian untuk sponsor, ada yang sponsor dessert, ada yang sponsor dua main menu kenduri, ada yang sponsor PA system.
Jadi yang ini kena duduk berbincang dengan saudara-mara.
6. Pelamin kalau nak sewa pilihlah yang konsep simple saja. Kalau dapat diy sendiri lagi bagus.
Lebih jimat banyak.
7. Untuk mekap dan photographer, jika ada bakat mekap lah sendir-kawan atau sedara mara yang pandai dalam mekap pun, lagi bagus. Bincang elok-elok atas budi bicara.
Jangan malu atau segan. Photographer pun sama. Pilihan nak hire photographer atau tidak. Kalau nak hire, check promo yang selalu ditawarkan photographer setiap kali musim perkahwinan. Booking awal-awal. Jangan last minit. Lagi bagus anda cari studio photographer yang baru buka.
Biasa diaorang menawarkan pakej yang lebih murah. Jika bajet agak limit, bolehlah tawarkan pada kenalan anda yang berbakat dalam mengambil gambar.
8. Baju nikah dan sanding, pilihlah baju yang tak terlalu Sarat atau glam. Maksudnya lepas kahwin boleh guna semula. Kalau nak sewa pilihlah bajet dalam RM500 saja atau anda boleh pilih baju nikah tempah sendiri dan baju sanding sewa. Itu pun antara cara lain untuk jimatkan kos.
9. PA system actually bukan benda wajib sebab yang ini boleh download sendiri lagu-lagu pilihan yang bersesuaian dan mainkan saja dengan speaker laptop atau radio dekat rumah. Cukup saja sound buat halwa ditelinga.
10. Kad kahwin, yang ini boleh diy sendiri je. Design dan print sendiri. Lebih jimat! Fokus pada jemputan utama sahaja. Boleh buat jemputan melalui kad digital yang banyak tersedia template di Canva atau Google.
11. Photobooth dan meja pengantin boleh diy sendiri ikut kreativiti uolls. Misalnya penggunaan kain jersey sebagai backdrop, bunga-bunga artificial yang boleh dibeli di kedai eco atau ninso dan penggunaan lampu fairy light.
12. Majlis kahwin dan persandingan diadakan dalam 1 hari sahaja dan bergabung bersama untuk kedua belah pihak. Tak perlu buat majlis berasingan. Lebih jimat banyak dan lebih meriah.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan membantu pasangan yang bakal berkahwin.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apakah hukumnya jika seseorang ibu itu menyusukan anak sehingga terlepas waktu solat, dan pada ketika itu ibu tersebut hanya berseorangan dengan anaknya dan anak tersebut tidak mahu melepaskan susu ibunya.
Jawapan:
Para ulama meletakkan 6 jenis keadaan seseorang itu tidak berdosa melewatkan solat melepasi waktunya:
Tidur, jika tidur sebelum waktu solat.
Lupa
Jamak solat.
Paksaan
Takut terlepas waktu wuquf di Arafah.
Menyelamatkan perkara yang dimuliakan syarak daripada rosak dan binasa.
Rujuk Taqrirat al-Sadidah (hlm. 190-191)
Pengecualian ini diambil kefahaman daripada hadis Nabi SAW:
Maksudnya: “Tiga golongan orang yang tidak akan dicatat (yakni terbebas dari beban kewajiban): orang tidur sehingga ia bangun, anak kecil sampai ia dewasa, dan orang gila sampai ia waras.”
Riwayat al-Tirmizi (1423)
Seterusnya, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah memaafkan untukku daripada umatku akan perkara yang dilakukan dengan tersilap, perkara yang dilakukan dengan terlupa dan perkara yang mereka dipaksa melakukannya.”
Riwayat Ibn Majah (2043)
Kami memahami dilema yang berlaku kepada ibu tersebut. Kebiasaannya, bayi akan meronta-ronta dan menangis apabila dilepaskan daripada susu ibunya tanpa kemahuannya. Dalam keadaan tertentu, anak itu mungkin terdedah kepada pelbagai bahaya apabila bergerak seperti jatuh katil dan sebagainya apabila ingin mencari ibunya.
Menjawab soalan di atas, kami jawab dengan dua situasi.
Sekiranya anak itu jika dibiarkan, hanya menangis sahaja tanpa dikhuatiri akan mendedahkan dirinya kepada bahaya, maka wajib bagi ibu tersebut untuk solat fardu pada waktunya. Harus bagi ibu itu untuk meringkaskan solat dengan meraikan rukun yang wajib sahaja jika ditakuti berpanjangan solatnya akan menyebabkan mudarat bagi anaknya. Kami nasihat ibu itu perlu kreatif untuk meletakkan anaknya di tempat yang selamat semasa dia menunaikan solat fardu seperti di dalam katil bayi yang berpagar dan di dalam bilik yang selamat. Sekiranya anak itu diletakkan di sebelahnya, ketika solat anak itu menghampiri:
Jika anak itu tidak diyakini menanggung najis, seperti tidak zahir najis atau bau, harus mendokong anak itu atau menanggungnya.
Jika anak itu diyakini menanggung najis, maka tidak batal hanya kerana bersentuhan dengan anak itu. Adapun jika mendokong, mengangkat atau menggenggam tangannya, maka itu dianggap menanggung najis dan membatalkan solat.
Sekiranya anak itu jika dibiarkan akan mengakibatkan kebinasaan yang spontan, seperti ketika berada di tebing bukit yang tinggi atau di atas sampan, maka harus bagi ibu tersebut melewatkan solatnya walaupun habis waktu. Ini kerana hal ini dianggap darurat.
Kami menasihatkan agar para ibu tidak mencuaikan tanggungjawab mereka untuk menunaikan solat sekalipun kasihan melihat anak yang menangis. InsyaAllah Allah SWT akan bantu kita apabila kita bersungguh menunaikan perintah-Nya. Begitu juga para suami wajiblah membantu isteri untuk memenuhi tanggungjawab dirnya kepada Pencipta-Nya dengan memberi pendidikan agama yang sempurna dengan penyampaian yang tepat, berhikmah dan bersabar. Jangan menyindir-nyindir kejahilan isteri kerana itu hanya membawa kepada fitnah yang lebih besar pada agamanya. Hendaklah pasangan suami isteri itu saling menolong agar impian Baiti Jannati (Rumahku Syurgaku) itu dapat direalisasi dalam keredhaan Allah Azza wa Jalla.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dalam sesebuah perhubungan, berselisih faham dengan pasangan kebiasaannya selalu terjadi. Selisih faham sering terjadi kerana komunikasi yang kurang baik atau masalah eksternal lain yang tidak dijangka.
Ketika anda dan pasangan terjerat dalam dilema ini, maka suasana hubungan cinta pacaran menjadi tidak keruan.
Oleh itu anda perlu mempertimbangkan beberapa perkara yang harus dihindari saat berlaku perselisihan faham agar hubungan antara anda dan si dia tetap dapat dipertahankan.
Mengungkit Kesalahan
Dek kerana si dia membatalkan janji temu disaat-saat akhir, anda langsung mengungkit-ungkit semua kesalahannya di masa lalu. Pendek kata, anda selongkar semua kesalahan yang dilakukannya sebelum ini tanpa melihat sisi kebaikan yang ada pada dirinya. Ini bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik mengatasi masalah yang kalian hadapi malah ia memburukkan keadaan.
‘Membawa’ Keluarga
Sebesar apa pun keinginan anda untuk membuatkan pasangan insaf dengan kesalahan yang dilakukannnya, jangan sesekali melibatkan keluarganya. Ia seolah-olah anda telah menghina dirinya. Memang anda boleh memberikan komen tentang dirinya namun itu bukan bererti anda berhak menghinanya. Bukannya menyelesaikan masalah, sebaliknya ‘perang’ akan menjadi bertambah kronik. Paling ditakuti, anda akan dibenci oleh pasangan kerana menghina keluarganya.
Memperlekehkan
Jangan sesekali memperlekehkan pasangan. Jika benar anda terlalu marah dengan pasangan, cubalah untuk tidak merendah-rendahkan pasangan. Semua orang ada harga diri begitu juga dengan pasangan anda. Jika anda sendiri tidak mahu diperlekehkan oleh orang lain maka tentunya pasangan anda juga tidak mahu diperlakukan sedemikian. Sepatutnya dalam apa juga keadaan kalian saling menyokong antara satu sama lain.
Memanggil Nama Julukan
Setiap orang mungkin punya nama panggilan yang tidak disukai. Kebiasaannya nama julukan sering diberikan oleh rakan-rakan ketika waktu zaman kanak-kanak mahupun ketika di sekolah rendah. Jadi, ketika berselisih faham dengan pasangan, elakkan sama sekali untuk memanggil nama pasangan dengan julukan tersebut. Ia seolah-olah mengejek pasangan tanpa kita sedari. Situasi ini sebenarnya boleh meruntuhkan kepercayaan diri si dia kepada diri anda.
Putus Sahaja
Usahakan untuk tidak menyebut perkataan ‘kita putuskan sahaja hubungan ini’ saat sedang berselisih faham dengan pasangan. Apabila sedang dalam keadaan marah, sudah tentu anda berada dalam keadaan di luar kawalan emosi. Jangan sesekali terlepas ungkapan itu kerana ia ibarat satu doa. Jika setiap kali berselisih faham dengan pasangan, ungkapan ini meluncur laju daripada mulut anda maka tidak mustahil ia akan menjadi satu kenyataan. Jadi, setiap kali terfiikir untuk mengungkapkan perkataan tersebut, cuba tarik nafas dalam-dalam. Bertenanglah. Ingatlah bahawa tiada masalah yang tiada jalan penyelesaiannya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!