Rumah Untuk Isteri Freehair, Berehat, Memasak Itulah Rumah Suami Kena Sediakan

Share

Betapa pentingnya tinggal di rumah sendiri selepas berkahwin, kerana ia bukan sahaja melibatkan rasa hati malah emosi pasangan anda. Mungkin anda dikurniakan ibu mentua yang baik, tapi jika berada di rumah ibu bapa ni terdapat ipar duai yang bukan mahram membuatkan itu sebagai satu kesulitan. Jadi berkongsi masalah ni, Rusyainie Ramli menceritakan betapa pentingnya tinggal berasingan selepas berkahwin.

Sejak berkahwin, hanya 6 bulan saja kami menumpang di rumah Mak. Itu pun sebab saya masih menjalani housemanship di HSAJB. Selepas itu, kami berpindah ke KL, kami membeli rumah pertama kami dan membina hidup berdua sendiri.

Dengan gaji yang tak berapa sangat, kami susah senang bersama. Terpaksa meminjam sedikit duit dengan Abah, sebab tak cukup bajet nak masuk rumah. Rumah kosong sampai bergema. Hahaha. Punyalah kan, sebab masa tu saya baru bekerja setahun. Dan suami pun baru nak mula bekerja di KL.

Saya tak betah tinggal dengan keluarga sendiri pun. Ma Abah pun memang menyokong dengan keputusan saya dan adik-adik untuk mempunyai kediaman sendiri selepas berkahwin.

Dalam rumah saya, dapur saya tu saya punya. Suami saya tak campur tangan. Jangan kacau tempat saya. Tak kiralah sederhana mana pun, tu tetap dapur saya. Saya tak suka nak berkongsi dengan sesiapa. Anak-anak pun tahu, dapur saya jangan dibuat kecah, mahu jadi hijau saya nanti.

Saya ni pengemas dan pembersih. Tak semua orang boleh hidup dengan saya. Saya tak suka kain bertimbun dalam bakul, lantai dapur berminyak, bilik air berdaki, mainan anak berterabur, makan bersepah, atau tidur merata. Saya memang cerewet.

Tinggal bersama mertua ni, untuk suami tak ada masalah sangat. Biasalah lelaki. Yang menjadi isu, adalah menantu perempuan dengan mak mertua atau ipar duai lain yang tinggal serumah.

Bukan semua orang macam Mak. Dia terlalu bertolak ansur. Menantu perempuan 3 orang, memang boleh duduk dengan dia. Mak tak bawa mulut merata cerita buruk menantu pada sesiapa pun. Mak tak kisah, masak apa pun dia makan. Mak tak berkira bab duit belanja dapur. Mak tak ambil pusing pasal kerja rumah. Kalau menantu buat, bagus, kalau tak, Mak tak bising pun. Dia siapkan.

Bila orang lain bercerita tentang mertua, saya bersyukur sebab saya tak ada yang buruk untuk diperkata. Mak terlalu baik dengan menantu. 3 perempuan menantu yang sangat berlainan personaliti dan latar belakang berbeza boleh tinggal sekali dengan Mak tanpa isu yang besar. Sekarang biras saya yang bongsu tinggal dengan Mak. Mak pun dok seorang diri. Risau juga.

Tapi itulah, tak semua Mak mertua serasi dengan menantu perempuan. Ada juga yang memeruk segala perasaan. Ada kisah di antara keduanya. Suami lah yang pening, mak dia di kanan, isteri di sebelah lagi satu.

Paling senang, selagi boleh, binalah kehidupan sendiri. Tak apalah rumah tu segala benda kurang. Kita bermula dari bawah, berdikit-dikit lah dulu, kecuali suami kita mampu dari segi kewangan, bolehlah berbelanja sesedap mahu. Mujur suami saya memahami saya, yang saya ni jenis control freak tentang rumah, maka keputusan terbaik, ialah duduk sendiri, walaupun rumah Mak atau Ma dekat dengan kami.

KREDIT : Rusyainie Ramli

Published by
webadmin