“MUNGKIN SAYA TERSILAP SELAMA INI, MENGANGGAP DENGAN BERBUAT LAWAK DI HADAPAN CRUSH ATAU KAWAN LELAKI BOLEH MEMBUATKAN MEREKA BERIKAN PERHATIAN KEPADA SAYA, RUPANYA MEMBUATKAN MEREKA SANGAT SELESA BERDAMPINGAN SEHINGGA KAMI TERPERANGKAP DI DALAM SITUASI DIGELAR ‘FRIEND ZONE’
JADI DIRI SENDIRI
“Cinta mengubah pandangan pertama menjadi sebuah pandangan selamanya. Sebuah komitmen untuk setia sampai akhir. Sebuah komitmen yang membuat manisnya kata-kata cinta romantis sebagai nyata dalam hidup. Itulah murninya cinta, walaupun saya belum punya sesiapa untuk dicintainya, saya juga mahu rasa dicintai seikhlas hati dan buat masa sekarang biarlah masa menentukan segala-galanya. Fokus diberikan sepenuhnya kepada kerjaya yang kian berkembang. Tidak lagi mahu menoleh ke belakang, inilah masa terbaik untuk saya berbakti pada keluarga dan diri sendiri. Hargai setiap detik ini tanpa ada rasa kecewa juga tekanan.
Umum mengenali diri saya sebagai seorang pelawak, tapi saya tidak pernah menganggap saya seorang pelawak. Saya klasifikasi diri ini sebagai seorang pelakon yang diberi watak komedi dan diamanahkan untuk menghiburkan kalian. Sejak kecil saya seorang yang suka hiburkan orang lain dengan nyanyian dan tarian, mereka suka melihat telatah saya yang bersahaja dan comel ini. Saya gembira membuatkan orang sekeliling saya tersenyum dengan gurau senda dan gelak tawa.
Saya bukanlah manusia yang 24 jam sentiasa berlawak, ada hadnya. Mungkin orang yang pernah bekerja dengan saya tahu saya seorang yang sangat serius. Saya mahukan setiap tugasan yang diberikan berjaya bukan sekadar main-main. Kalau nak tahu, saya seorang yang sangat sensitif, sifat sensitif saya lebih kuat dari sense of humor saya. Tatkala bekerja saya cuba hiburkan orang lain, otak saya sentiasa berfikir, adakah setiap lontaran hiburan itu menyebabkan orang lain tersinggung atau berkecil hati? Itulah kebimbangan sebagai penghibur dalam masa yang sama harus berhati-hati dengan perasaan khalayak. Banyak perkara yang harus saya titik beratkan sebelum berlawak. Apa pun saya gunakan sebaiknya kekurangan diri ini sebagai satu kelebihan, lihat ia dari sudut lebih positif dan sehingga hari ini saya bisa bertahan dan menghiburkan orang yang mahu melihat saya di pentas mahupun kaca televisyen.
Terkini saya masih aktif dengan The Sherry Show untuk musim ketiga, filem ‘Bikin Filem’, drama di bawah arahan Micheal Ang, super tele ‘Geng” untuk Astro First bersama Lisa Surihani, Nadiya Nissa, Hisyam Hamid serta bakal mengacarakan Big Stage bersama kawan baik saya Alif Satar. Tidak dilupakan kempen raya Yakult dan Panasonic. Semua ini adalah rezeki Allah dan berkat kesabaran dan kesungguhan saya selama ini. Semoga ia kekal berpanjangan dan mampu berkongsi rezeki bersama insan tersayang juga orang di sekeliling saya.
Tidak mudah menggalas tugasan secara spontan, terutama apabila ia dipancarkan secara langsung di kaca televisyen, tambahan hari ini sedikit kesilapan sahaja, anda akan viral. Sebagai seorang pelajar jurusan teater, saya banyak bekerja dengan skrip dan diajar untuk menghormati skrip kerana setiap dialog mempunyai maksud tersirat dan tersurat yang harus anda lontarkan dan ingat. Maka saya percaya skrip yang ditulis oleh penulis sudah cukup kuat. Bila berbicara mengenai spontan pula memang kami ada mengambil subjek dalam teater yang di panggil kelas “improvasi” di bawah bimbingan Datin Marlia Musa, Cikgu Ahmad Yatim. Kami diajar untuk berfikir secara spontan dan ad-lib. Jadi spontan perlu ada ketika saya mengacara contohnya mengikut situasi yang sedang berlaku pada masa itu. Perlu cekap berfikir dan kena banyak membaca, menonton apa yang baru dan terkini. Jadi saya boleh bekerja atau berlakon hanya menggunakan situasi tanpa skrip juga boleh keduanya iaitu tanpa skrip atau spontan.
Setiap apa yang kita lakukan, pasti mahukan penambahbaikan dalam kehidupan. Jadi bagi memperbaiki kelemahan diri, saya mahu berikan tumpuan lebih dalam memperkasakan lagi bahasa Inggeris agar saya boleh mengacara dalam dua bahasa kelak. Memperbanyakkan lagi perbendaharaan kata dan tatabahasa dalam bahasa Inggeris sebab saya belum pernah lagi membuat pengacaraan secara formal dalam dwibahasa,” kata Sherry yang mendapat pujian atas kehebatannya mengacara Anugerah Juara Lagu.
JODOH ITU KETENTUANNYA
Tiada siapa yang mahu hidup sendiri, begitu juga Sherry, dia mahukan pasangan hidup yang cocok dengan personaliti yang bersahaja dan menerimanya seadanya. Pasti ramai di antara kita yang mendoakan yang terbaik buat jodoh pelakon dan pengacara berjiwa besar dan sangat dekat di hati peminatnya ini.
“ Kalau berborak tentang cinta, sebenarnya saya tidak pernah bercinta, yeke? Walaupun ada yang kata saya seorang wanita yang berjaya dari segi kerjaya, pasti ramai lelaki yang mula mendekati, sebenarnya itu salah. Saya masih begini, kuat bekerja dan hanya menanti jodoh jika dikurniakan kelak. Jika boleh saya mahukan bakal suami yang penyanyang, kelakar, hormat orang tua, mempunyai personaliti menarik dan boleh berborak benda yang sama serta mampu membimbing saya ke jalan kebenaran. Saya impikan sebuah rumah tangga yang harmoni, ada suntikan humor di antara saya dan suami. Namun dalam kemeriahan tu saya mahukan lelaki yang tegas supaya saya tidak terlalu lalai dan mampu menegur jika ada melakukan apa-apa kesalahan dalam berumah tangga.
Kecantikan itu sangat subjektif, tidak dinafikan ada di kalangan lelaki yang masih tidak boleh menerima teman hidup yang mempunyai saiz badan yang besar dari mereka. Saya tidak pernah menyalahkan cita rasa seseorang kerana setiap dari kita tahu apa yang kita mahukan dalam hidup. Tambahan hari ini ramai di kalangan lelaki Melayu masih terikut-ikut dengan apa yang orang akan kata sekiranya kekasihnya mempunyai bentuk badan tidak menarik, rupa biasa-biasa, teman wanita lebih berjaya dan semua itu bak satu kayu ukuran yang menyekat cinta seseorang itu untuk berputik. Mereka lebih mendengar dan mengikut apa orang kata berbanding mengejar dan mendapatkan apa yang dia mahukan. Itu yang saya lihat hari ini, situasi itu mungkin terjadi kepada saya kerana rata-rata rakan mengatakan saya pasti sukar mendapat jodoh kerana kerjaya dan populariti yang saya kecapi hari ini. Ego lelaki memang tinggi, mereka mahu gaji mereka tinggi dari isteri namun bagi saya dalam mendapatkan keharmonian rumah tangga, setiap pasangan perlu ada toleransi dan saling membantu. Jika pendapatan suami tidak besar, sebagai isteri janganlah minta sesuatu di luar kemampuan. Cuba bersederhana dan segala-galanya pasti baik sahaja.
Dalam bab berkahwin, saya masih percaya pada pengenalan dan kenal hati budi terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk bernikah. Tidak salah juga kalau mahu bernikah dahulu dan kemudian bercinta, namun saya masih ada kegusaran jika mahu bernikah dengan lelaki yang tidak dikenali sepenuhnya. Tambahan kebelakangan ini pelbagai isu timbul kerana orang kata lelaki ini selepas berkahwin barulah kita tahu akan warna di sebaliknya, siapa diri mereka yang sebenar dan saya takut dengan itu. Saya dahulu ada juga crush dengan beberapa lelaki, saya cuba membuatkan diri saya wujud di hadapan mereka dengan selalu membuat lawak dan kelakar. Biar mereka dekat dan boleh bersama dengan kita sebagai teman, tapi teknik tersebut saya rasa silap kerana sepanjang 34 tahun ini saya berbuat sedemikian dan akhirnya ia terperangkap sekadar ‘friend zone’. Mereka menjadi selesa dengan saya bukan sebagai kekasih, sebaliknya rakan mahupun sahabat yang hanya untuk menghiburkan mereka. Tidak mengapa itu pun sudah memadai,” jelasnya.
IMPIAN PERKAHWINAN
Perkahwinan yang indah pastinya menjadi impian setiap raja sehari, tidak ketinggalan Sherry yang juga menanam impian perkahwinan yang sangat rare dan tersendiri. Penulis boleh melihat kesungguhan pelakon ini yang inginkan suatu yang benar-benar sempurna dalam pembikinan kulit hadapan isu ini, dia sanggup datang seawal pagi dan dirias dan ditatarias sempurna oleh jurusolek pilihan Khir Khalid, rambut disisip rapi oleh hairstylist terbaik Ckayliow, penata gaya Tym Fatimah juga pereka pakaian khas untuknya dari Amaze Attelier. Dari situ menunjukkan gadis ini tahu apa yang dia inginkan, bayangkan bagaimana pula keindahan rautnya tatkala dirias sewaktu majlis perkahwinannya nanti.
“Saya impikan sebuah perkahwinan berkonsepkan ala kampung, kemeriahan, kekecohan dan keakraban serta ukhuwah pasti terjalin dengan majlis perkahwinan sedemikian. Saya bayangkan saya berbusana songket lengkap, diangkat di atas tandu dan diarak bersama bakal suami. Majlis itu biarlah secara besar-besaran kerana saya mahu meraikan rakan-rakan, peminat dan saudara mara saya agar semua boleh bersatu menyaksikan hari bahagia saya. Biarlah kisah cinta saya kelak diabadikan dengan sepenuh rasa kasih sayang,” akhir Sherry bersama Pesona pengantin.
Jangan lupa dapatkan naskah Pesona Pengantin isu April-Jun dengan kisah yang lebih menarik!