Sering kita mendengar untaian kata; “Sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang suami manja-manjakan”. Ungkapan ini memberi pengertian yang sangat bermakna kepada pasangan suami isteri.
Ungkapan ini juga pasti memberi seribu satu perbezaan makna sama ada dari sudut ungkapan itu sendiri mahupun maksud di sebaliknya.
Perbezaan pemahaman dan tafsiran yang tepat mengenai ungkapan ini bergantung kepada sejauhmana tahap pengetahuan yang dianugerahkan Allah SWT kepada seseorang individu.
Ianya bersesuaian dengan tahap keimanannya serta keintiman hubungannya dengan Allah SWT.
Timbul tanda-tanya di dalam hati kita, adakah apabila seorang suami menyayangi isterinya, isterinya itu perlu ditinggal-tinggalkan?
Meninggalkan insan yang tersayang dalam ertikata keluar menjalankan urusan kehidupan dan tanggungjawab memerlukan pengorbanan. Pengorbanan meninggalkan isteri atau suami atau keluarga atas maksud perintah Allah SWT dan mencari keredhaanNya adalah suatu tuntutan dalam Islam.
Sebagaimana kisah Nabi Ibrahim AS diperintahkan meninggalkan isterinya Siti Hajar dan anaknya Ismail di tanah gersang lagi tandus. Pada ketika itu tiada jaminan keselamatan dan tiada bekalan makanan serta tiada tempat sandaran, ianya adalah semata-mata untuk menunaikan perintah Allah SWT.
Adakah pada ketika itu Nabi Ibrahim AS tidak menyayangi isteri dan anaknya Ismail yang baru dilahirkan?
Jika pada hari ini berlaku peristiwa yang sebegitu, pasti dibibir kita meniti kata-kata nista, alangkah tidak bertanggungjawab-nya tindakan Nabi Ibrahim AS itu! Begitulah bicara golongan yang tidak kuat dan lemahnya iman mereka.
Begitu juga yang berlaku kepada Rasulullah SAW dan para sahabat RA yang telah berhijrah meninggalkan isteri serta keluarga tercinta di Kota Makkah ke Madinah adalah atas perintah Allah SWT.
Mereka telah bersedia menjadikan isteri-isteri mereka sebagai balu dan anak-anak menjadi yatim. Demikianlah iman para sahabat hasil dari kefahaman dan didikan Rasulullah SAW.
Mungkin kita juga telah mendengar bagaimana kisah seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Hanzalah bin Abu Amir RA yang baru melangsungkan pernikahan bersama isterinya yang tercinta bernama Jamilah binti Ubay yang juga sepupunya.
Semasa mereka melalui malam pertama dengan penuh kemesraan, maka tiba-tiba laungan jihad berkumandang menyeru ke medan Uhud. Hanzalah dengan penuh semangat melompat ke atas kudanya dan terus memecut tanpa menoleh ke belakang dan akhirnya Hanzalah gugur sebagai syuhada di medan Uhud.
Itu kisah bagi para suami yang tanggungjawabnya amat berat terbeban di atas bahu mereka. Antara hak Allah SWT dan dirinya, antara tanggungjawab serta amanah sebagai khalifah dan ketua keluarga menjadi taruhan dan ujian keimanan.
Bagi para isteri pula hanya empat syarat untuk mereka ke syurga dengan mudah. Sabda Rasulullah SAW;
“Apabila seorang isteri mengerjakan solat 5 waktu, mengerjakan puasa sebulan (di bulan Ramadan), memelihara kehormatannya (aurat dan faraj) serta mentaati suaminya, nescaya dia akan masuk syurga.” (H.R. Imam Bazzar melalui Anas RA).
Sayang suami manja-manjakan bukan bermakna dimanjakan seperti anak-anak kecil. Taat kepada suami menjadi tiket untuk isteri ke syurga disamping tiga perkara lagi sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis tersebut. Namun, jika ditambah dengan sedikit perhatian yang istimewa, ia merupakan bonus untuk para isteri.
Setelah suami ‘meninggalkan’ isteri sama ada untuk urusan kerja duniawi ataupun kerja-kerja ukhrawi (lebih-lebih lagi), wajarlah isteri melayani suami dengan lebih istimewa. Ia tidak memerlukan hamparan karpet merah, makan malam di bawah cahaya lilin dan rawatan SPA – jika boleh dilakukan, itu dikira hebat.
gambar hiasan : Tangkap Pictures
Cukup kasih sayang yang ditunjukkan melalui masakan yang menjadi kegemaran suami, urutan-urutan ringan yang menghilangkan lenguh-lenguh badan setelah penat memandu. Bersedia mendengar segala cerita dan masalah yang ingin dikongsi bersama. Walaupun tiada penyelesaian yang diberikan, kesudian mendengar sudah memadai dan membuktikan “sharing is caring”.
Dalam kehidupan baginda Rasulullah SAW sendiri, baginda dimanjakan oleh para isterinya. Daripada Aisyah RA beliau berkata:
“Saya meminyaki badan Rasulullah SAW pada hari raya Aidiladha setelah baginda melakukan lontaran di jumrah Aqabah (Kubra)”. (H.R. Ibnu ‘Askari)
Dalam sebuah hadis yang lain, Aisyah RA berkata:
“Saya biasa menyikat rambut Rasulullah SAW, ketika itu saya sedang haid”. (H.R. Ahmad).
Segala layanan istimewa daripada isteri kepada suami atau sebaliknya tidak semestinya yang mewah, dan tidak perlu juga meniru perbuatan orang lain. Cukup sekadar berjaya menggembirakan kedua-dua pihak. Biar tindakan sederhana tetapi hasilnya maksima.
Kasih sayang yang wujud dalam keluarga adalah subjektif. Hanya yang merasainya dapat menilai, sama ada kasih sayang itu abadi daripada hati kerana Allah SWT ataupun kepura-puraan.
Tanpa ros merah, hadiah yang mahal, keharmonian dan kebahagiaan tetap dapat dikecapi sekiranya wujud persefahaman dan kasih sayang serta sikap mempercayai di dalam rumahtangga. Pokok pangkalnya, semuanya kembali kepada Allah SWT.
Jika isteri ditinggalkan kerana Allah SWT, jika isteri berbakti kepada suami dan anak-anak juga kerana Allah SWT, keberkatan tidak perlu dipinta, bahkan Allah SWT akan melimpahkan-nya tanpa terhitung nikmatnya. Subhanallah. Perbaikilah diri dan perbetulkanlah niat, segalanya hanyalah kerana Allah Taala. Wallahuaklam.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI