Perasaan cinta memang sukar untuk ditolak. Malah ia boleh berputik pada bila-bila masa dan di mana sahaja termasuklah di pejabat. Mungkin ia kedengaran klise namun itulah realiti cinta yang sukar untuk dikawal apabila anda menyukai seseorang.
Walau bagaimanapun, ia bukanlah suatu dosa dari segi agama untuk seseorang itu jatuh cinta di kalangan rakan-rakan sepejabat asalkan kedua-duanya masih bujang.
Namun, ada sesetengah syarikat melarang hubungan cinta sesama rakan sepejabat kerana ia telah tertakluk kepada polisi dan garis panduan syarikat. Malah ada juga sesetengah syarikat yang tidak kisah dengan hubungan cinta sebegini asalkan anda berdua memaklumkan kepada jabatan sumber manusia.
Justeru itu, jika anda terjerumus dalam cinta pejabat seperti ini, di sini Pesona Pengantin kongsikan panduan do’s & don’t yang harus anda perhatikan.
DO’S
1. Pastikan anda semak dengan teman-teman atau lebih baik dengan jabatan sumber manusia tentang polisi bercinta dengan rakan sepejabat. Seperti yang dikatakan tadi, ada sesetengah syarikat menegah hubungan ini.
2. Bagi anda yang punya crush pada rakan sepejabat dan ingin berpasangan dengan si dia, pastikan perasan anda terhadapnya berbalas. Jika anda tersalah faham, ini boleh menyebabkan gangguan seksual berlaku di pejabat. Ini antara big no-no yang dipandang serong di mana-mana tempat kerja. Anda boleh dipecat mahupun digantung kerja. Pastinya ini bukanlah sesuatu yang anda inginkan bukan?
3. Yang penting, pastikan hubungan kerja anda berdua tetap profesional. Jika pasangan anda memiliki jawatan lebih tinggi daripada anda, jangan menggunakan ia sebagai alasan untuk anda ponteng kerja atau tidak melakukan kerja tersebut. Bukan sahaja menampakkan anda seorang yang pemalas, ia juga boleh membuatkan pasangan meragui kejujuran anda jatuh cinta terhadapnya.
DON’T
1. Jangan jadikan pejabat sebagai tempat untuk anda menayang rasa cinta seperti berpeluk atau berpegang tangan. Harus diingatkan, pejabat ada tempat yang mana anda perlu berkelakuan profesional sekali gus untuk menjaga hati rakan-rakan sepejabat yang lain kerana kelakuan anda mungkin menyebabkan rasa kekok.
2. Elak bergaduh di pejabat. Hal peribadi antara anda dan pasangan hanya boleh dibincangkan selepas waktu bekerja. Jangan cuba untuk menggunakan rakan-rakan lain sebagai orang tengah antara anda berdua jika masing-masing sedang merajuk atau berselisih faham. Tidak adil juga buat rakan-rakan untuk memilih pihak mana yang salah atau betul.
3. Jangan bercerita mengenai keburukan pasangan kepada rakan-rakan sepejabat kerana ini boleh menjadi buah mulut yang tersebar di pejabat. Perlu wujud batasan di pejabat terutamanya dari segi pergaulan dengan individu lain. Mana tahu, pasangan anda jenis orang yang cemburu buta.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI