Pasangan yang sudah mantap daripada pelbagai aspek pastinya akan memutuskan untuk berkahwin. Dalam membicarakan tentang hidup bersama, ada beberapa aspek yang perlu dibincangkan dahulu dengan pasangan terutamanya soal kewangan.
Ia penting agar anda berdua sudah membuat persediaan dalam memikirkan segala keperluan tentang soal kewangan selepas berkahwin. Perbincangan ini wajar dibincangkan bersama supaya masing-masing sedar akan tanggungjawab dan tidak tersalah erti di kemudian hari.
Kajian mengatakan masalah kewangan merupakan faktor terbesar kepada permasalahan dalam sebuah perkahwinan. Oleh itu, mulalah berbincang tentang urusan kewangan sebelum berkahwin.
Perkara berikut boleh membantu anda dan pasangan untuk membuka bicara tentang soal kewangan.
1. SALING JUJUR TENTANG GAJI BULANAN BAGI MEMUDAHKAN PENGURUSAN
Soal gaji memang sesuatu yang sulit untuk dibicarakan, lebih-lebih lagi kalau ada kekurangan antara gaji anda dengan pasangan. Jika anda sudah memutuskan untuk hidup bersama pasangan sebagai suami isteri, hal peribadi apapun sepatutnya tiada rahsia dan dibincangkan bersama. Nah! Jika sudah mengetahui jumlah gaji masing-masing, maka akan lebih mudah untuk anda berdua membincangkan tentang pengurusan dan pembahagiannya dalam rumah tangga.
2. BINCANG TENTANG TUJUAN KEWANGAN AGAR LEBIH FOKUS UNTUK CAPAI
Anda dan pasangan perlulah memiliki tujuan kewangan, baik untuk jangka pendek mahupun jangka panjang. Boleh jadi anda memiliki pandangan yang berbeza dengan pasangan. Seorang ingin pencen muda dan seorang lagi bercita-cita untuk mengejar karier hingga setinggi-tingginya. Jika memang berbeza, anda perlu berbincang untuk menemui jalan tengah dan menjalaninya dengan komitmen. Apabila ada fokus, anda semakin termotivasi dalam meningkatkan pendapatan.
3. BUAT PERKIRAAN KEPERLUAN RUMAH TANGGA SELEPAS KAHWIN
Anggaran rumah tangga wajib dibahaskan sebelum berkahwin. Setiap orang tentu memiliki cara dan aturan yang berbeza-beza berkaitan dengan anggaran kewangan termasuk anda dan pasangan. Keperluan rumah tangga dengan keperluan ketika zaman bujang sangat berbeza. Itulah mengapa pentingnya untuk anda berdua berbincang bersama dan membuat anggaran rumah tangga. Buatlah bajet sederhana dengan menentukan keutamaan. Dalam hal ini, sistem dan komunikasi sangat penting. Sebanyak mana pun gaji jika tidak diatur dengan baik, defisit akan mudah sekali terjadi.
4. TENTUKAN WANG YANG AKAN DISISIHKAN SETIAP BULAN UNTUK TABUNGAN ATAU PELABURAN
Tabungan memiliki fungsi yang sangat penting dalam kewangan. Tabungan sangat penting sebagai dana yang akan digunakan dalam mengatasi pelbagai masalah yang mungkin muncul selepas berkahwin. Ingatlah juga untuk pelaburan seboleh yang mungkin. Walaupun pelaburan sifatnya jangka panjang, kelak anda dan pasangan akan menikmati hasilnya. Usahakan untuk menentukan wang yang akan disisihkan bagi dua keperluan ini. Pastikan anda berdua komitmen untuk memenuhi keperluan tabungan dan pelaburan ini.
5. BINCANG DARI AWAL TENTANG KEPERLUAN TERBAIK UNTUK BAKAL ANAK
Pasangan yang telah berkahwin tentunya mmepunyai keinginan memiliki anak. Oleh itu, anda dan pasangan perlulah berbincang bila dan bagaimana mempersiapkan kehadiran bakal anak itu nanti. Kehamilan dan kelahiran bayi memerlukan perancangan yang sewajarnya terutama sekali berkaitan dengan masalah pembiayaan. Bukan itu saja, kos perawatan dan pendidikan anak juga perlu diambil kira. Bincang dan persiapan dari awal adalah lebih baik. Dengan itu, anda boleh merancang yang terbaik untuk si kecil yang akan hadir di tengah-tengah keluarga kecil anda berdua.
PERSEDIAAN TENTANG WANG BULANAN UNTUK ORANG TUA
Memberikan wang bulanan bagi orang tua anda dan pasangan patut dipertimbangkan. Apalagi jika anda dan pasangan memiliki sejumlah gaji yang lumayan besar dan mencukupi. Upayakan untuk anda berdua menetapkan sejumlah wang bulanan kepada orang tua secara rutin. Pemberian ini merupakan rasa syukur anda kepada tuhan, selain sebagai bakti anda kepada orang tua.
Walau bagaimanapun keadaan kewangan anda dan pasangan, penting untuk anda berdua bersikap terbuka antara satu sama lain dan berbincanglah soal kewangan ini secara mendalam. Perkara ini pastinya akan membantu anda berdua mengatur dan mengelolakan kewangan dengan lebih mudah setelah berkahwin nanti.