Sebelum Nak Tempah Kek Perkahwinan, Penting Bakal Pengantin Ambil Tahu 8 Tip Ini!

Share

Kek dan majlis perkahwinan cukup sinonim antara satu sama lain. Seakan tidak lengkap sebuah majlis perkahwinan tanpa kek perkahwinan. Kek perkahwinan memainkan peranan penting bagi memeriahkan lagi sesebuah majlis resepsi. Acara memotong kek perkahwinan biasanya akan dilaksanakan dengan begitu indah dan istimewa.

Pendek kata kek perkahwinan merupakan nadi pelengkap majlis hari bahagia pasangan mempelai. Namun sebelum menempah kek perkahwinan, beberapa perkara harus diperhatikan. Berikut dikongsikan tip penting sebelum menempah kek perkahwinan.

1. Langkah pertama yang perlu anda lakukan ialah membuat tinjauan melalui laman sosial sama ada Facebook mahupun Instagram tentang pilihan kek perkahwinan yang anda inginkan. Sebelum mengambil keputusan untuk menempah kek perkahwinan, disarankan anda untuk  mencuba dahulu kek yang anda sukai. Sebagai contoh apabila anda mengunjungi kedai kek, pastikan disediakan sample atau tester. Cubalah rasa terlebih dahulu. Apabila sudah ‘berjumpa’ dengan kek yang anda sukai, bolehlah terus menempahnya.

2. Perhatikan juga reka bentuk kek yang anda sukai. Mungkin anda boleh melakar sendiri bentuk kek yang anda ingini megikut cita rasa anda. Bawa lakaran kek anda itu untuk diserahkan kepada pembuat kek. Berbincanglah dengan pembuat kek tentang apa yang anda inginkan. Pastikan pemilihan warna dan hiasan menepati citarasa anda.

 

3. Kunci dekorasi sesebuah kek perkahwinan terletak kepada konsep dan tema kek itu sendiri. Tanpa konsep, kek perkahwinan anda akan kelihatan tidak sempurna. Pilihlah konsep dan tema kek perkahwinan yang bersesuaian dengan tema majlis perkahwinan anda.

4. Warna kek perkahwinan yang dipilih seharusnya sama tema dan konsep majlis perkahwinan anda. Hindari warna-warna yang terlalu kontra dengan tema majlis resepsi anda. Pilihan warna-warna lembut dengan terapan hiasan yang romantis lebih sesuai.

5. Kek perkahwinan mempunyai harga yang berbeza-beza. Ia bergantung kepada saiz dan berat kek tersebut. Oleh itu pastikan anda menempah kek perkahwinan mengikut bajet yang anda telah tetapkan.

6. Kenal pasti dan tentukan jumlah sebenar tetamu yang bakal hadir ke majlis resepsi anda. Ia penting sebelum anda membuat tempahan kek. Sekiranya anda menjemput 500 orang tetamu, anda memerlukan kek yang lebih besar dan bertingkat-tingkat. Sekiranya majlis resepsi anda diadakan di dalam dewan atau dalam satu ruang yang besar dan luas tidak menjadi masalah untuk anda mendapatkan saiz kek yang besar dan tinggi.

7. Tentukan sudut yang sesuai untuk meletakkan kek perkahwinan anda. Jika kek perkahwinan anda besar dan bertingkat, letaklah kek perkahwinan anda di sudut hadapan berhampiran dengan pelamin.

8. Salah satu perkara yang perlu diambil kira ialah faktor lokasi. Ia sangat penting sebelum anda membuat keputusan untuk menempah kek perkahwinan. Sekiranya anda mengadakan majlis perkahwinan dalam taman atau outdoor jangan sesekali menempah kek jenis krim, meringue atau butter cream. Cuaca yang panas boleh mencairkan kek perkahwinan anda. Silalah rujuk dengan pembuat kek mengenai jenis kek yang sesuai untuk lokasi dan cuaca serta persekitaran majlis resepsi anda. Seelok-eloknya, pilihlah kek perkahwinan jenis fondant penuh kerana ia lebih sesuai dengan pelbagai situasi.

Published by
Putri Adila