Minta maaf dan memaafkan adalah salah satu kunci yang berkesan untuk melupuskan apa jua konflik. Malah energi minta maaf ini juga mampu buat pasangan rasa dihargai, menenangkan suasana dan menghapuskan permusuhan dalam hubungan rumah tangga.
Namun saat berlakunya konflik, ada segelintir suami isteri yang liat nak minta maaf. Malah mereka rasa sukar untuk mengucapkannya. Masing-masing dengan ego tersendiri, tak kurang juga yang degil dan malu untuk meluahkan ungkapan minta maaf ini yang akhirnya mengeruhkan lagi hubungan.
Menurut pakar psikologi lulusan Universiti Indonesia, Rosdiana Setyaningrum, keengganan untuk meminta maaf selalunya terjadi ketika salah satu pihak merasakan posisinya lebih tinggi daripada pihak yang satu lagi.
“Dalam perkahwinan, sebaiknya tidak ada satu pihak yang merasakan dirinya lebih hebat ataupun betul daripada pihak yang lain. Berhati-hatilah kerana keengganan untuk meminta maaf boleh mengheret ke satu konflik yang lebih berat,” ujar Rosdiana.
Mengucapkan kalimat maaf kepada pasangan dapat meredakan kemarahan pasangan, menenangkan jiwa dan membuat pasangan rasa lebih dihargai. Oleh itu fahami enam alasan ini kenapa ungkapan maaf itu penting dalam sesebuah rumah tangga.
1. Bukan bererti lemah
Jika merasakan apabila anda meminta maaf, anda berada di pihak yang lemah, anda sebenarnya silap. Sebenarnya ketika anda meminta maaf kepada pasangan disebabkan oleh kesalahan anda sendiri, ia menunjukkan bahawa anda sedang menghargai perasaan pasangan.
Lagipun tak salah jika anda perlu mengalah kerana sikap mementingkan diri boleh membuatkan anda semakin ego dalam hubungan. Bukan ke lebih baik kalau anda berterus-terang dan berkata benar daripada membuatkan pasangan tertekan. Jangan dibiarkan terpendam lama, takut nanti boleh tercetusnya perang besar.
2. Buktikan kemaafan dengan ketulusan hati
Jangan meminta maaf hanya di bibir sahaja ataupun sekadar untuk mengalihkan masalah kerana cara ini langsung tidak menyelesaikan masalah. Buktikan ketulusan dengan meminta maaf seikhlas hati dan segera memperbaiki diri agar rajuk pasangan anda tidak berpanjangan.
Ada ketikanya sukar untuk memohon maaf secara berdepan. Apa kata anda ambil hati pasangan dengan melakukan tindakan yang disukainya misalnya memasakkan makanan kegemarannya ataupun menyediakan keperluan yang diinginkannya.
Apabila hati pasangan sudah sejuk, mintalah maaf kepada pasangan dan katakan yang anda benar-benar menyesal. Dengan cara ini akan mencairkan hati pasangan untuk memaafkan anda.
3. Tak semestinya yang salah meminta maaf
Mungkin saat anda memarahi pasangan kerana telah melakukan kesalahan terhadap anda, tanpa sengaja ada perbuatan, mimik muka atau kata-kata anda yang telah menyinggung hatinya. Jadi tiada salah untuk anda pula yang meminta maaf kepadanya kerana kata maaf itu merupakan sebuah ungkapan yang sangat berkesan dalam meredakan kemarahan.
4. Keras kepala bukan penentu anda kuat
Miliki sikap keras kepala dan ego yang tinggi bukanlah penentu seseorang itu lebih kuat. Bahkan sikap ego dan mementingkan diri sendiri jika dibiarkan berterusan boleh menjadi racun yang akhirnya memusnahkan sesebuah rumah tangga.
Apabila anda merendahkan ego dan sikap keras kepala dengan memaafkan pasangan, kehidupan rumah tangga yang anda berdua bina akan lebih harmoni. Malah komunikasi anda berdua juga akan bertambah baik dalam membentuk sebuah keluarga bahagia.
5. Mampu selamatkan rumah tangga
Kehidupan suami isteri pasti tidak terlepas daripada rasa kecil hati dan tersinggung. Segala masalah yang melanda itu akan terlerai satu persatu jika anda mengakui kesilapan dan segera memohon maaf.
Selain berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi bersama pasangan, memohon maaf juga memberi kejayaan dalam perkahwinan kerana anda telah menyelamatkannya daripada terus retak.
6. Boleh belajar daripada kesilapan
Meminta maaf kepada pasangan atas kesalahan anda membolehkan anda belajar daripada kesilapan yang telah anda lakukan. Mungkin sebelum itu anda tidak terfikir untuk melakukannya ataupun sama sekali anda tidak terfikir akan baik dan buruk yang bakal terjadi.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI