Bertahun lamanya anda menantikan saat disatukan bersama pasangan tercinta. Majlis pernikahan yang cukup syahdu disambut dengan seribu manfaat oleh kedua-dua belah keluarga.
Bahkan, ketika majlis berlangsung, anda melihat pasangan dengan perasaan penuh kesyukuran ke hadrat yang Maha Esa di atas kelancaran majlis yang diadakan cukup sempurna dengan hadirin tetamu yang tidak putus-putus menzahirkan kesyukuran dan tahniah.
Namun selepas majlis selamat dilangsungkan, ada beberapa perkara penting yang harus kedua-dua mempelai bersedia dalam menghadapi cabaran dan onak ranjau sepanjang melayari kehidupan berumah tangga.
1. Pergaduhan kecil dalam hubungan
Walaupun sudah bertahun lamanya anda dan suami saling mengenali, namun selepas tinggal sebumbung barulah kalian nampak belang dan sikap masing-masing yang sebenar. Perempuan memang sejak azali sudah dilahirkan suka berleter sekiranya ada perkara yang dilakukan oleh suami tidak senang di matanya.
Sebagai contoh, pulang dari pejabat suami tidak menyusun kasut di rak dengan baik. Walaupun perkara ini nampak remeh, akan tetapi perkara kecil ini boleh mencetuskan pertelingkahan di dalam rumah tangga. Begitu juga perkara lain seperti masalah kewangan, perhubungan kelamin, campur tangan keluarga dan sebagainya. Semua ini adalah benda baru yang bakal ditempuhi oleh raja sehari.
Ads
Cara mengatasi: Sekiranya anda bergaduh dengan pasangan, ada cara yang boleh dilakukan. Paling penting, jangan cepat melenting, naik tangan ataupun membesarkan mata kepada pasangan. Cara terbaik, carilah masa yang sesuai untuk berbincang dan belajar untuk berhujah dengan baik. Selain itu, masing-masing harus mengambil masa untuk berehat dan menenangkan fikiran. Selepas keadaan kembali pulih, luahkan kepada pasangan bahawa anda benar-benar mencintainya dan memohon maaf atas kesilapan yang telah anda lakukan.
2. Pembelian aset harta
Semasa bujang, tentu anda tidak pernah terfikir untuk menghabiskan wang ke arah harta benda seperti rumah, tanah, kereta dan sebagainya. Namun selepas berkahwin, perkara tersebut akan sentiasa menghantui diri di mana anda perlu bekerja keras agar dapat memenuhi kehendak diri seperti yang telah diimpikan dalam kehidupan berumah tangga. Ketika ini, anda harus bijak mengawal peruntukan kewangan agar tidak berbelanja daripada kemampuan.
Cara mengatasi: Sebelum membeli atau memulakan satu projek yang besar, misalnya membeli rumah, anda dan pasangan seharusnya mempunyai 100 peratus kedudukan kewangan yang stabil. Berbincang dengan baik antara satu sama lain sama ada aset harta tersebut dibeli sekarang atau di kemudian hari sehingga kewangan betul-betul dalam keadaan baik. Sebabnya, selepas anda membeli rumah, banyak juga wang yang diperlukan untuk membeli set barangan dapur dan lain-lain. Ini merupakan perkara baru yang harus dihadapi oleh pasangan yang baru bergelar suami isteri.
3. Campur tangan keluarga
Dalam kancah kehidupan berumah tangga, pasti akan ada sedikit campur tangan keluarga sama ada di sebelah suami atau isteri. Kemungkinan keluarga di sebelah isteri tidak menyukai pasangan anda atau sebaliknya. Biar apa pun sebabnya, anda pasti akan terluka dengan komen-komen jahat mereka setiap kali berkata-kata perihal pasangan anda.
Ads
Cara mengatasi: Walaupun banyak masalah yang dihadapi ketika baru berumah tangga terutama sekali jika ia membabitkan keluarga, seelok-eloknya carilah jalan penyelesaian yang terbaik. Misalnya belajar untuk menghilangkan kritikan yang menguasai diri. Mengelak untuk bertembung atau berjumpa dengan keluarga pasangan adalah langkah yang kurang bijak. Ini kerana mereka akan beranggapan bahawa anda bersikap biadab atau tidak boleh menerima keluarga pasangan. Sebaiknya ketika bertemu, beritahu keluarga pasangan bahawa anda inginkan hubungan yang rapat dengan keluarga mertua.
4. Kehamilan
Pertanyaan berbentuk kehamilan pasti kerap kali terdengar apabila pasangan sudah berkahwin. Mungkin soalan-soalan ini akan merimaskan sesetengah pihak terutamanya yang menginginkan anak segera, tapi masih belum hamil. Sekiranya ia hanya ditanya dalam keadaan yang biasa-biasa tentu anda tidak akan berasa hati dan boleh menjawabnya dengan baik. Tapi sekiranya ia ditanya oleh sepupu, mak saudara atau adik beradik yang sudah mempunyai bilangan anak yang ramai dan seolah-olah merendahkan kemampuan anda dan suami, pasti ia akan membuatkan anda berkecil hati dan marah dengan soalan yang diajukan.
Cara mengatasi: Pertamanya, fikirkan bahawa mereka yang bertanyakan itu sebenarnya sedang mendoakan agar anda dan suami mendapat rahmat dan kebahagiaan dalam kehidupan berumah tangga. Keduanya, sentiasalah berfikiran matang dan positif saat soalan berkaitan kehamilan diajukan kepada anda. Mungkin mereka yang bertanya soalan ini beranggapan yang anda mampu menjadi ibu bapa yang hebat. Elakkan sebarang tekanan pada diri dan pasangan ketika menerima soalan-soalan sebegini. Ketiga, jika anda ditanya, berilah jawapan dengan baik seperti “Saya belum ada tanda-tanda hamil” atau “Belum punya rezeki untuk menimang cahaya mata”.
5. Perubahan budaya
Selepas berkahwin, pasti wujud perubahan budaya sekiranya pasangan yang dikahwini berlainan budaya, agama dan sebagainya. Misalnya, anda berkahwin dengan pasangan Cina dan sudah tentunya sebelum pasangan memeluk Islam dia telah menganuti agama lain. Oleh itu, hormatilah budaya, pergaulan, makanan dan adat resam yang diwarisi daripada keluarga pasangan. Daripada perkahwinan juga, budaya ini dapat dikongsi bersama-sama.
Ads
Cara mengatasi: Sebaiknya, hormatilah budaya yang diamalkan oleh pasangan tidak kira walau apa sekalipun. Kemudian wujudkan tradisi baru tersebut dalam diri anda. Jika boleh, jangan memberikan kata-kata nista yang menjengkelkan tentang adat yang diwarisi oleh pasangan.
6. Rakan-rakan berjauhan hati
Ada segelintir pasangan yang sudah berkahwin mula mengetepikan rakan-rakan hingga tidak menghiraukan mereka untuk keluar berkumpul seperti sewaktu bujang. Anda lebih banyak menghabiskan masa bersama suami dan keluarga sehingga tidak ada masa bersama rakan-rakan yang pernah bersusah payah bersama sewaktu dahulu.
Cara mengatasi: Mungkin anda merupakan rakan pertama yang berkahwin. Oleh itu, tidak ada salahnya jika sesekali anda keluar untuk berjumpa rakan-rakan tetapi pastikan anda meminta izin daripada suami atau membawanya bersama. Pujuk rakan-rakan dengan baik sekiranya mereka mula berjauh hati. Beritahu kepada mereka yang anda kini sibuk membina keluarga dan mohon doa daripada rakan-rakan atas kesejahteraan anda dan pasangan.
7. Percutian keluarga
Selepas berkahwin anda haruslah bijak membahagikan masa bersama keluarga suami dan keluarga sendiri. Ketika itu, pasti anda dan pasangan akan melebihkan keluarga sendiri daripada keluarga mertua hingga menimbulkan kata-kata nista seperti tidak bertanggungjawab, perubahan tingkah laku, mementingkan diri dan sebagainya.
Cara mengatasi: Seharusnya tanamkan dalam diri bahawa anda kini sudah mempunyai dua buah keluarga besar yang harus dijaga dengan baik. Sekiranya anda sudah membuat jadual percutian bersama keluarga sendiri pada bulan Mac, maka tidak ada salahnya pada penghujung tahun Disember anda meluangkan sedikit masa dengan mengajak keluarga di sebelah mertua pula untuk bercuti. Dari situ, tidak akan ada timbul masalah berat sebelah ataupun pilih kasih.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perkahwinan adalah penyatuan yang paling suci antara lelaki dan wanita, ikatan lafaz cinta yang diungkapkan menjadi penguat sesebuah perhubungan. Namun langit tidaklah selalu cerah, bertikam lidah atau salah faham pasti akan berlaku. Terpulang kepada pasangan bagaimana untuk menangani perkara ini agar masjid yang dibina kekal utuh di dalam rahmat yang maha Esa.
KOMUNIKASI- Ini adalah peraturan yang paling penting dalam sesebuah perhubungan. Selalu mendengar masalah atau apa yang cuba disampaikan oleh pasangan anda. Jangan bersikap ego tinggi kerana tidak mahu kalah, perlu diingatkan bahawa apabila berkahwin hidup bukan lagi hanya tentang anda seorang. Apabila terjadi salah faham cuba selesaikan dengan cara yang baik dan bersikap saling memaafkan.
JUJUR- kejatuhan sesebuah rumahtangga disebabkan hilangnya kejujuran dalam diri. Sikap tulus dan terbuka amat diperlukan dalam melayari bahtera perkahwinan. Jika ada sesuatu perkara yang dilakukan oleh pasangan anda tidak sukai, maka berterus terang dengan mereka jangan dipendam di dalam hati.
MASA BERKUALITI- Luangkan masa yang berkualiti bersama dengan pasangan anda. Tidak semestinya meluangkan masa bersama perlu memakan kos yang banyak dengan melancong atau menginap di hotel-hotel mewah sebaliknya di rumah pun boleh menjadi lokasi terbaik untuk meluangkan masa berkualiti. Sebagai contoh, anda boleh menonton filem bersama-sama ataupun mengadakan makan malam yang romatis di rumah.
JANGAN PERNAH MENJERIT- Tanam sifat hormat di antara satu sama lain. Apabila bertikam lidah, kawal nada suara dan juga perkataan yang keluar daripada mulut anda. Jangan sesekali menjerit antara satu sama lain, kerana ini akan mewujudkan satu tekanan terhadap perhubungan sekaligus menjadikan anda lebih menjauh dengan pasangan. Kadangkala apabila berada dalam keadaan marah, perkara-perkara yang tidak sepatutnya akan terhambur dan akan menyesal selepas itu. Jadi cuba kawal perasaan anda.
BELAJAR BERKOMPROMI- Sikap bertoleransi merupakan satu kunci kebahagiaan. Jangan hanya pentingkan diri sendiri apabila membuat keputusan. Dalam setiap perkara yang anda berdua tidak bersetuju jangan ingat anda perlu selalu menang. Kadangkala mengalah lebih baik dari cuba membuktikan sesuatu. Percayalah dengan berlajar berkompromi, anda akan kenal pasangan dengan lebih mendalam dan kasih sayang akan bertambah erat.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selesa ke tinggal rumah keluarga selepas kahwin? Soal privasi macam mana dan kalau ada ipar duai, auratnya masih terjaga atau sebaliknya? Semua ini kena fikir, begitulah rumitnya kehidupan selepas sah jadi suami isteri.
Tinggal Rumah Keluarga
Bak kata saudara ESz Sabri, semua ini kena berbincang masa awal-awal nak ikat hubungan. Jom baca sola perlu ke tinggal rumah sendiri lepas kahwin ?
1. My house my rules!
Setiap rumah ada rules dia sendiri. Ada budaya dia sendiri. Bila kau kawen dan masuk rumah mertua, kau kena ikut rules rumah mertua. Bukan tak baik tapi mungkin kau tak selesa. Bila ada rumah sendiri kau boleh set rules untuk keluarga kau sendiri.
2. Jaga privasi diri dan pasangan
Bila dah kahwin ada banyak batas yang perlu kita jaga. Tambah lagi kalau rumah tu banyak penghuni nya. Adik beradik pasangan. Ada laki ada perempuan. Anak buah ada yang bujang dara dah pun. Pergaulan kena jaga. Dari segi aurat terutama yang muslim. Nampak remeh dan biasa tapi kalau tak jaga boleh rosak binasa.
3. Menjaga silaturahim
Ipar duai. Pakcik makcik. Anak anak buah. Cara pergaulan kita tak semua sama. Ada cakap direct. Ada yang cakap berlapik. Ada yang manis depan racun belakang. Yang mulut sweet and sour pun ada. Kalau tinggal rumah sendiri benda macam ni dapat di kurangkan. Rumah kau, kau lah! Rumah aku, aku lah.
4. Matang ekonomi
Tinggal rumah sendiri ni ibarat kau buka negara sendiri. Kena urus tadbir sendiri. Termasuk lah ekonomi. Perbelanjaan kelangsungan hidup bersama. Mula mula memang akan sengkek. Tak cukup itu ini. Tapi bila dah nampak yang mana perlu kurang mana perlu lebih baru ada rentak. Jadi lebih matang. Lebih berakal. Berkepimpinan.
5. Perancangan jadi lebih jelas
Suami isteri dapat merancang hala tuju keluarga dengan lebih mudah. Nak anak 10 ke anak 15 ke. Spending berapa saving berapa. Beli kenderaan yang sesuai. Banyak isu yang tak jelas akan menjadi jelas bila kau tinggal rumah sendiri. Percaya lah.
Bukan nak kata tinggal rumah keluarga tak elok. Bukan! Tapi kalau dapat tinggal rumah sendiri lagi elok. Itu sahaja!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selain mempunyai kewajipan terhadap suami, meskipun wanita sudah berkahwin, dia masih mempunyai tanggungjawab untuk terus menabur bakti kepada kedua orang tuanya.
Seperti yang disebut dalam Al-Quran: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (QS. Al Israa’ 23)
Semoga kebaikan yang anda berikan kepada orang tua akan beroleh ganjaran yang sangat besar buat anda sekeluarga, selain mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat kelak.
1. Berbakti dan menghormati orang tua
Walaupun sudah bergelar isteri, anda masih lagi mempunyai tanggungjawab untuk terus menghormati, merendahkan diri, memberikan kasih sayang, menghargai dan mencurahkan bakti kepada orang tua. Tundukkan pandangan anda ketika diberi nasihat atau tidak membantah dan tidak merasakan diri anda lebih tahu daripada mereka. Mengalah walaupun belum tentu memiliki kesalahan juga merupakan salah satu daripada bentuk merendahkan diri di hadapan orang tua.
Rendahkanlah dirimu terhadap kedua orang tuamu dengan kasih sayang dan katakanlah: “Ya Tuhanku, kasihanilah kedua orang tuaku sebagaimana mereka telah mengasihiku sewaktu aku kecil.” (QS. Al Israa : 24)
2. Hulurkan bantuan kewangan kepada orang tua
Menjadi kewajipan anda sebagai anaknya untuk menyenangkan kehidupan orang tua. Apatah lagi dengan usia orang tua yang sudah lanjut, sudah tentu mereka memerlukan bantuan kewangan daripada anda untuk meneruskan kehidupan yang lebih selesa.
3. Menjaga nama baik dan amanat orang tua
Jalani kehidupan dengan baik mengikut ajaran agama agar nama baik dan maruah orang tua tetap terpelihara, selain tidak menconteng arang ke muka mereka. Apabila anda memuliakan orang tua, pahala yang bakal anda peroleh sangatlah besar
4. Jalinkan silaturahim dengan orang tua
Walaupun sudah berkahwin bukanlah bermaksud hubungan anda dengan orang tua harus terhenti. Jalinkan hubungan yang baik dengan orang tua dan jangan jadi anak derhaka. Apatah lagi Allah tidak menyukai orang yang suka memutuskan silaturahim lebih-lebih lagi terhadap ibu bapanya.
5. Berkomunikasi yang baik dengan orang tua
Jagalah adab-adab ketika anda berkomunikasi dengan kedua-dua orang tua. Jangan mengherdik atau meninggikan suara dengan mereka. Sentiasalah menjaga turut kata agar tidak melukakan hati mereka selain mengeluarkan kata-kata yang boleh menyejukkan perasaan mereka.
Hal ini juga disebut dalam Al-Quran: “Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah mengembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (QS An-Nisa: 1)
6. Jangan bebankan orang tua
Setelah berkahwin, jangan sesekali menyusahkan orang tua. Berikan yang terbaik untuk mereka menjalankan kehidupan dan ringankan beban mereka yang sudah lanjut usia. Kebaikan dan keikhlasan yang anda lakukan terhadap orang tua akan mengalirkan pahala buat anda sekeluarga.
7. Melayani orang tua dengan mesra
Walaupun sudah berkahwin, teruskan memberi layanan yang mesra dan terbaik kepada orang tua. Percayalah apabila anda menyenangkan orang tua, Allah akan menggandakan ganjaran bahagia buat anda sekeluarga. Malah kebahagiaan yang anda berikan kepada orang tua akan sama mengalir dalam diri anda juga.
8. Bersabar dengan segala kekurangan orang tua
Orang tua juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Oleh itu sebagai anak perempuan, usahakanlah untuk anda bersabar dalam menangani kerenah mereka. Ini kerana sabar akan membersihkan hati anda ke arah yang lebih baik.
9. Sentiasa mendoakan orang tua
Mendoakan kebaikan orang tua juga merupakan salah satu kewajiban anak setelah berkahwin.
Sabda Rasulullah SAW yang tercantum dalam hadis iaitu: “Bila seorang manusia sudah meninggalkan doa kepada kedua orang tuanya maka rezekinya akan terputus.” (HR Ad Dailami)
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!