Ibu bapa manalah yang tidak gembira apabila anak mereka dilahirkan. Kelahiran anak yang diamanahkan oleh Allah SWT itu merupakan simbol kasih sayang antara pasangan dan tanda kegembiraan hidup berkeluarga.
Namun, di sebalik kegembiraan dan kebahagian, ada pula tanggungjawab baru yang perlu dipikul oleh kedua-dua ibu dan bapa. Ada yang sudah berpengalaman menyambut kedatangan insan baru, tapi masih ramai sebenarnya yang keliru dengan amalan yang sering dibuat oleh masyarakat Melayu.
Yang mana satu sunnah, yang mana satu adat dan yang mana satu khurafat? Kami kongsikan 5 amalan yang biasa dibuat dalam masyarakat Melayu selepas bayi dilahirkan:
1 Menanam uri
Menurut Mufti Faraz Adam Al-Mahmudi, tubuh badan manusia ini bukanlah hak milik kita. Ia hanyalah pinjaman Allah SWT sementara kita berada di atas muka bumi. Sebagaimana jenazah seorang Muslim perlu ditanam, begitu jugalah uri dan tali pusat seorang bayi yang baru dilahirkan.
Cara menanam uri pula mudah sahaja. Dr. Danial menjelaskan uri hanya perlu dicuci bersih menggunakan air sahaja sebelum dibungkus ketat menggunakan plastik dan ditanam.
Ramai orang Melayu yang terikut-ikut amalan seperti menggunakan kunyit, limau nipis, asam keping dan sebagainya ketika membasuh uri. Ada yang lebih mengarut dengan meletakkan paku dan kain putih/hitam untuk menghalau jin.
Malah, lebih menyedihkan apabila ada ibu bapa yang percaya bahawa menanam uri bersama pen, kalkulator, laptop dan kamus boleh membuatkan anak tersebut membesar menjadi orang yang bijak pandai.
2 Membelah mulut
Masih wujud golongan Melayu yang percaya membelah mulut perlu dibuat menggunakan cincin emas yang direndam dalam air zamzam, potongan asam keping dan sebagainya. Sebenarnya upacara “belah mulut” ini adalah adat yang berasal dari kaum Hindu agar mendatangkan kepetahan, kebijaksanaan dan kebaikan kepada bayi.
Dalam Islam, sunnah Rasulullah hanyalah dengan mentahnikkan bayi tersebut dengan buah kurma. Jika tiada tamar (kurma biasa/kering), bolehlah menggunakan rutab (kurma yang masak ranum/basah).
Ada ulama yang berpendapat jika ketiadaan kurma, anda boleh bertahnik menggunakan manisan lain seperti madu. Namun, kami pernah kupaskan isu ini di mana kajian mendapati madu sebenarnya tidak boleh diberikan kepada bayi dibawah umur 12 bulan.
Ads
Bukanlah kami katakan jatuh hukum haram memberi madu, tapi jika ia boleh mendatangkan mudarat, sebaik-baiknya elakkanlah. Lagipun, kita nak buat perkara sunnah kan? Sunnah Rasulullah hanya guna buah kurma. Zaman sekarang ini rasanya tak sukar pun nak mencari buah kurma sehingga perlu diganti dengan madu atau manisan lain. Ada saja buah kurma dijual sepanjang tahun.
Menurut Ustaz Khalid Basalamah, cara bertahnik juga amat mudah. Ia boleh dilakukan oleh bapa bayi sendiri atau mana-mana orang yang soleh. Kunyah sedikit sahaja isi kurma sehingga hancur sebelum diambil secalit pada hujung jari untuk dilalukan ke lelangit mulut bayi tersebut.
Pastikan orang yang mentahnik itu membersihkan tangan, menggosok gigi dan berkumur terlebih dahulu sebelum mula ya.
3 Mencukur jambul
Dalam satu wawancara bersama Utusan Malaysia, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz menyatakan amalan mencukur jambul (bahagian depan rambut sahaja) dan menggunakan kelapa semasa upacara tersebut berlangsung adalah amalan bidaah dan khurafat kerana meniru ritual agama Hindu.
Menurutnya lagi, Islam menggalakkan rambut bayi dicukur sehingga botak untuk menyingkirkan segala kekotoran yang melekat di kepala bayi semasa dalam kandungan dan agar rambut baru dapat tumbuh dengan lebih sihat.
Rambut yang telah dicukur itu kemudian disedekahkan kepada fakir miskin dengan cara menimbang dan menyamakan berat rambut dengan nilai perak atau emas.
Ads
Sebagai contoh, berat rambut adalah 1 gram manakala nilai emas (1 gram) pada hari tersebut adalah RM180. Jadi, wang RM180 itu perlu dijadikan sedekah kepada fakir miskin.
Ustaz Azhar Idrus pula berkata mengadakan majlis cukur jambul sekadar ‘cukup syarat’ tidak menjadi satu kesalahan. Namun, ibu bapa perlu memastikan rambut bayi masih dicukur botak setelah majlis selesai. Selain itu, sunnah mencukur rambut ini terpakai untuk kedua-dua jantina bayi iaitu lelaki dan perempuan dan paling afdal dibuat pada hari ke-7 selepas kelahiran.
4 Berendoi
Ibadah aqiqah disunatkan kepada setiap bayi yang baru dilahirkan. Sunnah Rasulullah menyatakan ia paling elok dibuat semasa hari ke-7 kelahiran bayi. Namun hukumnya sunat muakkad selagi anak itu masih belum baligh dan harus apabila anak sudah baligh.
Daripada Samurah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Disembelih akikah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya.” (Riwayat Abu Daud : 1522)
Tertib sunat yang terbaik adalah menyembelih 2 ekor kambing bagi anak lelaki dan 1 ekor kambing bagi anak perempuan. Walaupun begitu, Mufti WP menyatakan ia memadai sekiranya dapat menyembelih 1 ekor kambing sahaja bagi anak lelaki.
Daging kambing yang disembelih bolehlah dimasak sebagai jamuan atau diagih-agihkan.
Ads
Walau bagaimanapun, kecenderungan masyarakat zaman kini dalam mengadakan majlis akikah berserta adat berendoi secara besar-besaran bagaikan kenduri kahwin mempunyai pandangan yang berbeza-beza.
Menurut Ustaz Rohidzir Rais, adat berendoi menggunakan buaian yang dihias cantik sambil didendangkan marhaban dan berzanji merupakan adat Melayu yang sudah lama dipraktikkan. Amalan ini tidaklah bercanggah dengan ajaran Islam. Walaupun ia bukan berasal daripada Rasulullah SAW, ia dibolehkan selagi tidak berlebih-lebihan. Namun, lebih afdal sekiranya ia digantikan dengan amalan lain seperti bacaan Al-Quran atau berzikir untuk mengelakkan khilaf.
Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz pula menegaskan bahawa majlis keraian itu sekiranya diadakan secara besar-besaran, niatnya bukanlah untuk menunjuk-nunjuk dan mempamerkan unsur kemewahan. Niat seseorang haruslah benar-benar ikhlas kerana Allah SWT. Dikhuatiri kalau tersilap langkah, boleh bertukar menjadi riak. Daripada elok-elok mengejar pahala sunat, tiba-tiba mendapat dosa pula.
5 Menjauhi “gangguan”
Ramai ibu bapa yang amat takut dengan syaitan dan jin yang boleh mengganggu anak kecil. Ada yang terlalu taksub sehingga percaya dengan tangkal atau azimat seperti meletakkan paku, gunting dan sebagainya di bawah bantal bayi atau meletakkan buku surah Yaasin berhampiran dengan bayi dengan niat memberi perlindungan daripada gangguan.
Malah, lebih menyedihkan apabila segelintir masyarakat masih lagi mempercayai amalan khurafat seperti memakaikan benang hitam/kuning yang telah dibacakan ayat jampi untuk menghalau jin.
Jumhur ulama mengatakan haram mempercayai atau menggunakan tangkal dan azimat. Umat Islam ditegah melakukannya kerana dikhuatiri boleh jatuh syirik.
Menurut Ustaz Azhar Idrus, sememangnya wujud Ummu Sibyaan iaitu iblis yang suka mengganggu anak kecil. Tetapi kaedah yang terbaik untuk mengelakkan gangguan iblis ini adalah dengan menutup semua pintu dan tingkap ketika hampir waktu Maghrib.
Sekiranya anak menangis tidak henti-henti kerana dipercayai terkena gangguan syaitan, anda bolehlah bacakan ayat Kursi dan tiga Qul (al-Ikhlas, al-Falaq dan An-Naas), ditiup pada kepala bayi sambil berkata “Wahai Ummu Sibyaan, keluar dan jangan ganggu anak aku.” Kemudian, biarkan anak tidur dalam keadaan meniarap.
Kami berharap agar artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa yang baru menimang cahaya mata.
Perlu diingatkan, kebanyakan amalan semasa menyambut kelahiran bayi adalah sunat dilakukan. Tidak wajib bagi ibu bapa untuk membuat akikah, bertahnik dan mencukur rambut. Janganlah kita terlalu sibuk mengejar perkara yang sunat sehingga berlaku pembaziran. Malah, lebih teruk lagi sehingga tidak sedar yang kita sebenarnya telah melakukan perkara khurafat dan bidaah.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Langkah pertama diambil dengan berpindah ke rumah baru dan bermulalah ceritera bahagia untuk pasangan yang baru berkahwin. Namun begitu, dengan berpindah ke rumah baru turut memerlukan mereka menyiapkan semua peralatan dengan kadar yang serta merta.
Ikuti beberapa tip keperluan dan kehendak apabila berpindah.
1. Apabila berpindah ke rumah baru, pastikan tiga bulan sebelum untuk memastikan keadaan rumah bersesuaian dengan kehendak. Jika ada penyewa yang dahulunya tinggal di situ, pastikan segala keadaan dalam rumah itu baik dan jika ada kebocoran pastikan ianya telah dibaiki sebelum anda menduduki rumah itu.
2. Seelok-eloknya perabot rumah dikumpulkan sebelum anda berpindah kerana kos membeli sahaja agak tinggi, inikan pula mahu membeli sekali gus semua perabot dalam satu masa. Jika boleh, elakkan tetapi jika mempunyai wang yang cukup tidak menjadi masalah untuk anda.
3. Jika di rumah sewa lagi anda sudah ada perancangan untuk berkahwin, jadi mulakan dengan langkah pertama iaitu dengan membeli peralatan yang utama sebagai contoh tilam, almari, peralatan dapur dan mesin basuh. Sebaiknya pilih yang tahan lama supaya dapat digunakan pada masa akan datang.
4. Asingkan kehendak dan keperluan di awal waktu berpindah. Misalnya jika keperluan memilih almari penting daripada membeli meja solek lebih baik memilih apa yang diperlukan dahulu. Ini kerana barang kehendak hanya sekadar sampingan jika tidak dibeli juga tiada masalah akan timbul.
5. Apabila berpindah pastikan anda menyediakan bajet carta belanjawan supaya dapat membantu anda dalam menguruskan permasalahan yang berlaku akibat perbelanjaan yang melebihi pendapatan.
6. Menjadi pengantin baru anda akan mendapat banyak hadiah yang berupa barangan rumah. Jadi tidak perlu membazir untuk membeli lagi barang yang sudah ada. Jika barang tersebut murah atau tidak tahan lama, usah risau kerana sekiranya rosak barulah anda menukar dengan barangan lain dan tahan lebih lama. Perlu ada sikap berjimat cermat lebih-lebih lagi keperluan hidup yang makin tinggi.
7. Sekiranya barang-barang di rumah tidak dapat dibeli pada awal perkahwinan, tidak mengapa anda boleh juga membeli barang secara sedikit-sedikit. Contohnya bulan pertama anda boleh membeli peralatan memasak, bulan kedua boleh membeli peralatan tidur dan seterusnya.
8. Sebaik berpindah ke rumah baru juga diingatkan agar menyimpan sedikit daripada wang perbelanjaan. Kadangkala duduk di rumah baru ini ada situasi yang menyebabkan kita terpaksa berbelanja lebih. Manalah tahu jika ada keadaan rumah yang kadangkala tidak sempurna seperti yang anda lihat. Kemungkinan kos kerosakan boleh menyebabkan anda berhutang. Penyelesaiannya amalkan sikap menabung dari awal lagi.
9. Sesetengah orang gemar meninggalkan perabot lama sekiranya berpindah ke rumah baru. Namun untuk menjimatkan perbelanjaan, anda digalakkan menggunakan perabot yang ada dan hanya membeli barangan keperluan harian yang lain. Perlu diingat, permulaan berumah tangga bukan mudah, anda seharusnya menguruskan kewangan dengan lebih terperinci supaya tidak ada masalah pada awal perkahwinan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ibarat mandi tak basah, makan tak kenyang. Itulah perumpamaan yang sering dikaitkan dengan orang yang sedang dilamun cinta. Setiap hari, wajah si dia sering bermain di kotak fikiran dan perasaan rindu kian melanda diri. Itulah adat pasangan yang sedang hangat menjalinkan cinta.
Namun, adakah anda juga merasakan perasaan seperti itu? Tertanya-tanya adakah si dia sedang memikirkan diri kamu seperti anda memikirkan dirinya setiap hari. Pasti hati menjadi pedih apabila cinta anda bertepuk sebelah tangan.
Jom kita lihat 6 tanda si dia sering memikirkan diri anda dan mula jatuh cinta!
1. INGAT DALAM SETIAP PERBUALAN
Jika dia bertanya kembali kejadian yang kamu ceritakan semalam, bermakna dia fokus ketika kamu berkongsi masalah. Malah jika dia ingat warna baju yang kamu pakai minggu lalu, bermakna dia hargai setiap masa bersamamu. Mungkin dia kedengaran seperti obses, tetapi lelaki tidak akan ingat perkara yang mereka tidak suka.
2. KERAP MENGHANTAR TEKS LUCU
Si dia akan sentiasa menghantar mesej ucapan selamat pagi dengan emoji lucu setiap hari. Ini bermakna perkara pertama yang dia fikirkan adalah kamu! Jangan jual mahal. Balas mesej tersebut dengan emoji senyuman. Kadangkala si dia cuba membuatkan kamu tersenyum dengan sepatah dua pantun lucu. Kalau tak kelakar pun, kamu wajib balas ‘LOL’ agar si dia rasa gembira melihat kamu ketawa.
3. LAPOR DIRI SETIAP WAKTU
Clingynya? Tapi tidak mengapa. Jika dia sering mesej kamu dimana saja dia berada, atau dengan siapa dia lepak minum, dia seorang yang jujur! Dia mahu tunjukkan kepada kamu yang dia tidak berlaku curang dibelakangmu. Malah dia tahu kamu juga sepertinya, tertanya-tanya kemana dia pergi dan lakukan setiap waktu. Jika si dia lakukan semua perkara ini, kamu tak perlu risau lagi!
4. KEJUTAN YANG TIDAK DISANGKA
Tidak kira jika si dia membelikan kamu roti ataupun coklat ketika menjemput pulang dari tempat kerja, kamu perlu makan di depannya sebagai tanda penghargaan. Bayangkan dia sanggup berhenti membeli sesuatu untuk kamu? Bermakna dia mengambil berat dan mahu kamu ceria selepas penat bekerja. Jangan harapkan hadiah mewah setiap hari darinya, coklat pun dah sweet tau!
5. SERING AJAK BERJUMPA
Dalam seminggu,pasti si dia akan mengajak anda untuk keluar bersama. Dia berasa ingin berjumpa anda selalu dan meluangkan masa bersama. Menonton wayang, makan malam dan bersenam adalah perkara yang sering diajak oleh si dia. Dia tidak pernah jemu untuk berjumpa dengan anda. Baginya, dalam sehari jika tidak bertentang mata dengan anda, hidupnya seperti tidak lengkap.
6. MENGINGATI TARIKH LAHIR ANDA
Untuk mengingati tarikh lahir seseorang antara benda yang paling sukar jika dia bukan seseorang yang istimewa untuk kita. Biasanya hanya insan seperti ibu bapa, adik beradik atau sahabat yang benar-benar rapat dengan kita sahaja yang kita akan ingat tarikh lahirnya atau dia ingat tarikh lahir kita. Tetapi, jika seseorang sentiasa memikirkan diri anda, mereka mungkin akan ingat tarikh lahir anda. Jadi, sesiapa yang ingat tarikh lahir anda, itu mungkin petunjuk yang besar buat anda.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setahun sudah usia perkahwinan, namun tanda-tanda untuk hamil masih belum kunjung tiba. Keluarga mertua sudah mula bertanya. Stres dan bimbang mulai menguasai diri.
Berikut antara perkara berfaedah yang patut anda cuba, dalam usaha memperolehi zuriat.
1. Bersenam
Suami isteri haruslah melakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit sehari. Lakukannya secara konsisten setiap hari bagi meningkatkan tahap kesihatan dan kesuburan tubuh badan. Jika tidak punya masa kerana sibuk bekerja, lakukannya aktiviti seperti berjoging, berenang atau berbasikal pada hujung minggu.
2. Kurangkan Pengambilan Kafein
Hadkan pengambilan kafein kepada sekurang-kurangnya satu cawan sehari. Lebih baik cuba untuk mengambilnya hanya dua kali dalam sebulan dan selebihnya jadikan minuman sihat seperti air kosong dan susu sebagai amalan.
3. Jumpa Pakar Perubatan
Lakukan pemeriksaan kesihatan dengan doktor pakar berkaitan tahap kesuburan dan sebagainya. Jika ingin mengambil suplemen tertentu pastikan anda dan pasangan mendapat kebenaran dan memastikan kesan sampingan yang akan berlaku jika ubat tersebut diambil.
4. Masalah Berat Badan
Pastikan anda dan pasangan mempunyai berat badan ideal agar kesihatan anda dan pasangan tidak terganggu. Ini kerana masalah obesiti boleh menjadi penyebab anda sukar mendapat cahaya mata.
5. Amalan Pemakanan Sihat
Makanan seperti buah-buahan, kekacang, sayuran hijau dan bijirin penuh merupakan yang terbaik untuk pemakanan seharian kita dan perlu diamalkan sebelum anda hamil lagi.
6. Berhenti Merokok
Merokok merupakan satu tabiat buruk yang diketahui umum tidak mendatangkan kebaikan, malah memberi kesan buruk kepada perokok dan individu di sekelilingnya. Tabiat merokok juga mempengaruhi tahap kesuburan seseorang, oleh itu baik anda atau pasangan, berhentilah merokok.
7. Ambil Asid Folik
Pengambilan asid folik sebelum 3-6 bulan sebelum kehamilan adalah sangat penting untuk membolehkan tubuh kita bersedia untuk sebarang pertumbuhan dan pembentukan sel-sel baru. Kandungan asid folik yang mencukupi akan membantu wanita mematangkan telur ovum, membantu pembentukan plasenta dan proses pelekatan janin di dinding rahim.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!