Sabar adalah sifat orang mulia dan dalam al-Quran banyak kali disebut antara sifat orang yang akan masuk syurga adalah yang bersabar. Justeru, andai kita sentiasa bersabar, akan layak masuk syurga.
Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin memetik firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bersabarlah terhadap apa yang diucapkan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhilah mereka dengan cara yang baik.” (Surah al-Muzzammil, ayat 10)
Bertolak daripada sifat-Nya Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Allah SWT memerintahkan sekalian hamba-Nya supaya kasih mengasihi antara satu sama lain. Seseorang hamba hanya akan memperoleh kasih sayang Allah SWT apabila dia mengasihi makhluk-Nya.
Kasih sayang sesama insan akan membuahkan sikap bertolak ansur, hormat menghormati dan sedia berkorban demi kebahagiaan orang tersayang. Kedamaian dan kasih sayang adalah teras utama dalam hubungan suami isteri.
Perkahwinan yang tidak didasarkan kepada perasaan kasih terhadap satu sama lain, tidak disulami dengan kemesraan adalah satu perkahwinan yang tidak bahagia dan tidak bermakna.
Lantaran, Allah SWT menjadikan perasaan kasih mesra antara suami isteri sebagai satu sunah yang ada padanya tanda kekuasaan dan keagungan.
Ini seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri daripada diri kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang yang berfikir.” (Surah ar-Rum, ayat 21)
Layan isteri dengan baik
Justeru, Rasulullah SAW sering menasihati suami sebagai ketua keluarga supaya melayani isteri dengan sebaik-baiknya. Suatu ketika, ramai isteri datang menemui isteri Rasulullah SAW mengadu mengenai layanan buruk diterima daripada suami mereka.
Tidak dapat dinafikan, manusia masing-masing ada kelemahan dan kekurangan sama ada isteri mahupun suami. Cara terbaik untuk mengatasinya ialah dengan bersabar dan tidak memperbesarkan kelemahan itu.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci kepada mereka (kerana tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu.” (Surah an-Nisa, ayat 19)
Bersabar dengan perangai buruk pasangan
Diriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana lelaki yang bersabar di atas keburukan perangai isterinya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Ayyub kerana bersabar di atas bala yang menimpanya. Mana-mana isteri yang bersabar di atas keburukan perangai suaminya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun.”
Bersama kita renungi kisah seorang lelaki yang mengunjungi Umar bin Khattab untuk mengadu mengenai perangai isterinya. Dia berdiri di luar pintu menunggu Umar keluar. Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang meleterinya, sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun.
Lelaki itu beredar sambil berkata kepada dirinya, “Jika beginilah keadaan Umar, seorang Amirulmukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku? Selepas itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya.
Lelaki itu berkata, “Wahai Amirulmukminin, aku datang untuk mengadu mengenai perangai isteriku yang buruk dan suka berleter kepadaku. Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku: Jika begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?
Umar berkata kepadanya, “Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atas aku. Sesungguhnya dia memasak makanan aku, mengadun roti untuk aku, membasuh pakaian aku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya.
Lelaki itu menjawab, “Wahai Amirulmukminin, demikian jugalah isteriku. Umar pun berkata kepadanya: Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya itu tidak lama, hanya seketika.”