Senarai Tetamu Antara Perkara Terpenting Dalam Keseluruhan Proses Perkahwinan

Share

Berapa agaknya tetamu yang patut diundang untuk kenduri kahwin? Pengalaman peribadi membuktikan ini bukan kerja mudah. Malah senarai tetamu adalah antara item terpenting dalam keseluruhan proses perkahwinan.

Ada mempelai, ada pelamin. Ada nasi putih, ada nasi minyak. Ada kurma, ada ayam masak merah. Ada acar buah, ada sirap bandung. Ada bunga manggar, ada kompang. Ada pulut pahar, ada telur pengantin.

Bayangkan jika semua sudah disediakan, tetapi tetamu tidak ada. Majlis warna-warni – dengan muzik dan nyanyian artis tersohor pun – pasti menjadi muram durja jika tiada tetamu bertandang.

Tanpa para undangan, nasi minyak akan dingin tidak berjamah. Ayam golek, kurma, acar buah, semua terbiar di penanggah. Pelamin dan bunga manggar pun sayu tidak diperhatikan. Hatta, telur pengantin pun terkoteng-koteng tidak disentuh.

Demikianlah pentingnya tetamu dalam mana-mana kenduri atau resepsi perkahwinan. Sebenarnya kehebatan dan kesempurnaan majlis bukan terletak pada juadah dan perhiasan, tetapi pada ramai dan meriah sambutan tetamu.

Sebab itu bukan mudah merancang siapa yang patut diundang. Kerja ini perlu dilakukan jauh lebih awal dari perkara-perkara lain. Kalau sudah ditentukan jumlah tetamu, baru boleh dibajetkan berapa gantang nasi, berapa kilo kurma daging, berapa butir telur pengantin.

Jadi, berapa kad undangan perlu dicetak? Berapa kepala patut dijemput? 500? 1,000? 1,500? Ini kena congak betul-betul. Dan biasa terjadi, betapa pun kita telah dan semak berulang kali, pasti akan ada seorang dua yang tercicir dari senarai undangan. Almaklumlah kita selalu lupa.

Apabila teringat namanya, kad undangan sudah habis diposkan. Nasib baik zaman sekarang undangan boleh diedarkan menerusi media sosial. Boleh guna WhatsApps, Facebook, Twitter, SMS, dan lain-lain. Secara peribadi, saya lebih suka menerima undangan menerusi pos.

Adat orang kita apabila berkahwin, mana boleh jemput setakat orang sebelah rumah dan keluarga rapat. Paling tidak pun kad kahwin kena edar sekampung. Saudara mara, termasuk yang bau-bau bacang pun kena jemput juga. Pendek kata, selagi ada bau, wajib dipanggil.

Kawan sepejabat terutamanya bos, patut diberitahu. Datang atau tidak belakang kira, tetapi kad mesti dihulur, kalau tidak nanti ada yang berasa hati. Perangai orang kita, kalau tidak diundang akan menjadi bahan sindiran. Kalau diundang tidak pula datang.

Selain teman pejabat, cikgu dan pensyarah pun masuk dalam senarai undangan, termasuk guru yang paling garang. Teman-teman sekolah pun kena panggil, demikian juga alumni kolej atau universiti.

Itu tidak termasuk bekas kekasih, rakan kuliah agama, penjual ikan, India surat khabar, hatta pengawal keselamatan kawasan perumahan. Wajib juga dipanggil ialah rakan dan taulan yang pernah mengundang kita ketika mereka kahwin dahulu. Kalau tidak dijemput, dikatakan tidak tahu membalas budi pula.

Tolak, campur, tolak lagi, campur lagi, maka untuk majlis kahwin biasa-biasa yang dibuat di bawah khemah depan rumah pun, paling koman kena juga undang 500. Kalau semua datang berdua, ertinya 1,000 orang. Kalau ada yang bawa anak, bawa pembantu rumah, bertambahlah lagi bilangan kepala. Lagipun dalam kad undangan biasanya dijemput “tuan/puan seisi keluarga.” Belum pernah saya terlihat dalam kad undangan dinyatakan dengan jelas “kita jemput laki-bini sahaja, anak-pinak, cucu-cicit, pembantu rumah tak boleh bawa, harap maklum!”

Maka jika yang dijemput dan hadir hanya 500 orang, itu bererti purata 500 pinggan nasi, 500 ketul lauk, 500 gelas sirap bandung, 500 pisang pencuci mulut, dan 500 telur pengantin sebagai buah tangan. Al maklumlah, perkahwinan kita tidak sah jika tiada telur pengantin.

Pendek kata, bilangan undangan ada kaitan rapat dengan kos majlis. Itu baru kos makanan. Tetapi seperti yang semua sedia maklum, perkahwinan bukan setakat makanan.

Ada penanggah, ada kanopi, meja, kerusi, itu semua kena duit. Wajib juga ada pelamin, ada pulut pahar, itu pun kena fulus. Tidak kira status mempelai, pelamin mesti ada. Mana boleh pengantin baharu hanya bersanding di atas tangga!

Kemudian ada pasukan kompang, ada tukang selawat dan tukang baca doa. Kalau di kampung, ada acara silat menyambut pengantin. Menjadi kemestian juga ada muzik, ada karaoke, dan ada juruhebah sambilan sebagai penyeri majlis. Semua itu sekarang kena duit, tidak ada yang percuma lagi.

Paling tidak pun alasan pasukan kompang: “Kenalah hulur sikit, boleh juga kita orang beli koyok sebab tangan lenguh pukul kompang…” Si juruhebah sambilan pun menuntut upah juga sebab “nak beli ubat batuk, suara serak ketika mengendalikan majlis.”

Pendek kata, majlis sederhana di kampung dengan tetamu sekitar 500 kepala pun, paling tidak kena keluar belanja sekitar RM10,000. Itu masak sendiri secara gotong-royong.

Pernah saya dan isteri diundang ke resepsi perkahwinan anak seorang VVIP di sebuah hotel terkemuka. Saya difahamkan kos per kepala RM200, dan ada lebih 1,000 tetamu.

Perihal kahwin di hotel, jamuan sudahlah RM ratus-ratus ribu, belanja lain pun kena fulus besar juga. Sebab buat di hotel serba-serbi kena yang berkelas-kelas. Pengendali majlis tidak boleh koman, paling tidak pun yang pernah menjadi pengacara di stesen TV.

Tukang selawat dan baca doa pun tidak boleh pakai imam surau, paling tidak pun calon ‘Imam Muda’ atau ‘PU’. Hatta penyanyi undangan pun mesti artis tersohor, atau paling tidak pun mana-mana finalis ‘Gegar Veganza’. Barulah putih…

Pendek kata kahwin memang semakin mahal sekarang. Baik pihak lelaki mahupun pihak perempuan kena betul-betul mengatur bajet, supaya semua berjalan sempurna, dan yang lebih penting tidak kantoi selepas kahwin. Ada yang persiapan melampaui kemampuan, akibatnya lepas kahwin dikejar ahlong.

Anak teruna masa kini menangguhkan perkahwinan, juga atas sebab fulus. Walaupun sudah berjumpa si jantung hati, sudah bersumpah setia sehidup semati, hasrat terhalang sebab orang tua gadis meletakkan hantaran di luar kemampuan. Bajet hanya RM5,000, bakal mertua mendesak RM10,000. Kantoi!

Jadi, berapa tanda harga yang patut diletakkan di batang tubuh anak gadis kita? Kalau tanya pihak lelaki pasti mereka mahu wang hantaran serendah mungkin. Alasannya, anak teruna baharu lepas universiti, baharu dapat kerja, gaji tidak seberapa. Tetapi, kena ingat anak gadis pun baharu dapat kerja, belum sempat kumpul duit. Pihak perempuan memerlukan belanja yang lebih besar sebab adat perkahwinan kita, persiapan sebelah perempuan biasanya lebih menjadi tumpuan. Tetapi, bagi pihak perempuan pula janganlah meletakkan harga terlalu tinggi.

Sebab selain harga hantaran dalam bentuk tunai, anak teruna perlu juga menyediakan hantaran-hantaran lain seperti kasut, beg tangan, kain persalinan, cincin kahwin, sirih junjung, coklat, buah-buahan dan sebagainya. Barang-barang ini pun anak teruna kena keluar paling tidak tiga empat ribu RM.

Perkahwinan – tidak kira yang pertama, kedua, ketiga, hatta keempat! – adalah benda baik. Mudahkan, jangan susahkan!

Oleh:  ABD JALIL ALI

abd.jalil@karangkraf.com.my

Published by
Putri Adila