Seorang Lelaki Itu Tanggungjawabnya Melindungi, Wanita Pula Memberi, Hasilnya Terbentuklah Hubungan Harmoni

Share

Perkahwinan itu adalah satu perkongsian hidup antara seorang lelaki dan jug wanita. Rumah tangga yang harmoni memerlukan tolak ansur dan toleransi antara suami dan juga isteri.

Sama ada suami mahupun isteri, masing-masing punya tanggungjawab dan peranan. Jika suami dan isteri menjalankan peranan masing-masing, Insya Allah rumah tangga akan kekal bahagia dan dirahmati Alllah.

Melalui perkongsian Ustazah Sharifah Zahidah dia menghuraikan fakta bahawa sesungguhnya wanita diciptakan dengan sifatnya yang suka memberi. Keadaan ini hingga kadangkala dia melupakan diri sendiri semata-mata untuk memberi kepada insan yang dia sayangi.

Tiada matematik yang boleh selesaikan “kira-kira” apabila ianya terkait tentang berapa bayaran, nilai atau pulangan selayaknya bagi “jasa dan budi” seorang wanita sebagai anak, ibu, mahupun isteri kerana sifat wanita yang suka memberi ini.

Kredit foto: Pexels

Sebab itu juga lelaki diciptakan dengan fitrahnya yang melindungi. Supaya wanita di sisinya tidak disakiti, haknya tidak ternafi, kebaikannya tidak dikhianati dalam setiap acara yang dia beri dan korbankan diri.

Tidak sukar ingin faham, mengapa penghargaan sangat penting buat seorang wanita. Kerana sifatnya yang memberi.

Kerana itu juga tidak sukar untuk faham, mengapa pengiktirafan dan penghormatan sangat penting buat lelaki. Kerana sifatnya yang suka melindungi.

Wanita mahu diingati dan dihargai untuk apa yang mereka beri. Lelaki mahu dipuja dan dihormati oleh siapa yang mereka lindungi.

Di saat wanita terus memberi..
Dan lelaki terus melindungi..
InshaALLAH sebuah hubungan yang harmoni akan terbentuk.

Kredit foto: Pexels

Semudah inikah sifirnya? Ya, sifirnya mudah begini.
Tapi yang menjadikan segalanya payah apabila timbul soalan,

“Adakah perlu memberi dahulu, agar dilindungi? Atau perlu dilindungi terlebih dahulu, justeru barulah memberi…?”

Ada banyak jawapan untuk soalan ini.

Pokok pangkalnya, jika wanita memberi, dia sebenarnya memberi kebaikan pada dirinya sendiri. Jasa yang diberi kepada orang lain, akan mati dan terputus nikmat yang dirasa oleh si penerima. Tapi jasa yang diberi itu, akan dia temui semula di akhirat kelak sebagai sesuatu yang untuk dia nikmati tanpa henti jika ALLAH perkenalkan ganjaran pahala dan syurga buat dirinya.

Begitu juga lelaki.

Jika dia melindungi, hakikatnya dia melindunginya dirinya sendiri dari kezaliman. Di saat lelaki berhenti melindungi wanita, dia akan terjebak dan terjerumus dalam banyak kancah dosa, maksiat dan kezaliman atas diri sendiri.

Kredit foto: Pexels

Lagi banyak dia melindungi wanita dalam hidupnya, lagi banyak nikmat dan selamat yang akan dia temui semula di akhirat kelak dalam ganjaran syurga dan pahala buat dirinya.
Tiadanya pelindungan dari sang lelaki, membawa 1001 kezaliman untuk ramai orang di sisinya.. Tiadanya pemberian dari sang wanita, membawa 1001 kerugian dan sia-sia buat dirinya dan semua di disisi.

Andai sifir ini difahami dengan baik, tak timbul lagi soalan, “Perlu melindungi dahulu, agar dia memberi. Atau perlu diberi dahulu, justeru barulah melindungi…”

Hakikatnya dalam dunia, semua yang kita lakukan ini, kesan baik buruknya akan terjadi ke atas diri kita sendiri. Ini intipati utama Self love dalam Islam. Bukan buat bebal, buat ego, buat selfish, buat tak faham bahasa tu yang dimaksudkan self love seperti yang di salah gunakan sesetengah pihak.

Self love dalam Islam, akan menjadikan wanita insan yang teguh memberi untuk keluarganya, dan akan menjadikan lelaki perwira handalan yang gagah melindungi keluarganya..

Tiada istilah buli.
Yang ada, ialah memberi. Dan melindungi. Saling harmoni.

Sumber: Ustazah Sharifah Zahidah Kredit foto: Pexels

Published by
Hasliza