Hubungan

Serina Redzuawan Bahagia Selepas Kahwin Kali Kedua, Selesa Walau Sederhana

Share

Jelas tergambar wajah bahagia, pelakon Serina Redzuawan akui selesa dengan kehidupannya sekarang walaupun ini merupakan perkahwinan kali kedua bersama suaminya yang bertugas sebagai anggota polis, Meor Mohammad Aidid pada April 2021 lalu.

Serina Redzuawan Bahagia

 

Anak kepada cef selebriti terkenal, Datuk Chef Wan itu tenang selepas mengambil keputusan untuk memperlahankan kariernya daripada dunia glamor dan berhijrah ke Perlis untuk bersama dengan suami tercinta.

Kongsinya menerusi portal hiburan Kosmo!, pengorbanan yang dilakukannya itu adalah kerana tanggung jawabnya sebagai seorang isteri untuk berada dekat dengan suami.

“Selama ini saya duduk di bandar (Kuala Lumpur). Tiba-tiba sekarang saya tinggal di Perlis. Jujur saya katakana, kehidupan saya kini lebih tenang.

“Bagi saya, bila kita sudah dapat kebahagian, perkara-perkara lain sudah jadi nombor dua. Saya tidak fikir apa-apa lagi tentang dunia glamor.

“Pengorbanan seorang isteri itu lebih mulia daripada apa yang saya ada sebelum ini. Saya pun sudah puas menikmati kemewahan dan kemahsyuran sebagai seorang anak seni,” katanya.

Kering Air Mata Dengan Fasa Sukar

Berkongsi tentang perjalanan hidupnya apabila pernah bergelar janda selama beberapa tahun, kata Serina air matanya sudah kering untuk menangis apabila mengenangkan perjalanan hidup yang pernah dilaluinya sebelum ini.

Namun, fasa sukar yang dilaluinya itu sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan.

“Kalau ikutkan air mata saya sudah kering untuk menangis apabila mengenangkan kesukaran yang pernah saya lalui sebelum ini termasuk apabila terpaksa berpisah dengan anak-anak.

“Mungkin saya antara artis yang diduga dengan segala macam ujian. Masalah perkahwinan, hal anak dan macam-macam lagi.

“Apa yang membuatkan saya kuat adalah, saya tidak pernah bergantung harap pada sesiapa pun termasuk papa (Chef Wan).

Cuba Berdikari Selagi Boleh

Kata pelakon yang pernah membintangi drama Roda-Roda Kuala Lumpur itu, biarpun bapanya bergelar seorang jutawan, dia lebih selesa hidup berdikari tanpa mengharapkan bantuan daripada orang tuanya.

“Walapun saya ada bapa yang kaya, saya tidak pernah telefon papa untuk minta duit. Saya susah macam mana pun, saya akan usaha sendiri.

“Bayangkan, walaupun bapa saya jutawan, saya tidak pernah minta pun papa untuk belikan saya sebuah telefon bimbit. Saya memang dibesarkan untuk berusaha sendiri,” jelasnya.

Serina juga ada memberitahu suaminya tidak menggalakkan dia untuk kembali aktif dalam dunia seni, namun memberi keizinan jika menepati beberapa syarat yang ditetapkan.

“Kalau boleh suami tidak mahu saya berlakon lagi. Tapi dia izinkan kalau watak yang saya dapat, sesuai dengan status dan imej saya sekarang.

“Tapi buat masa ini, saya sendiri belum terfikir lagi untuk kembali berlakon kerana sudah seronok terlibat dalam bidang perniagaan.

“Terbaharu, saya ada mengeluarkan produk makanan berupa makanan ringan, Belinjo Salted Egg yang kini menjadi ‘anak bongsu’ saya,” katanya.

Terdahulu, Serina pernah mendirikan rumah tangga bersama Gavin Edward O’Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar pada 1 Januari 2010.

Bagaimanapun, dia dan bekas suaminya sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling Jaya pada 1 Ogos 2017.

Hasil perkahwinan tersebut, Serina dikurniakan dua orang cahaya mata, Tristan Tareef dan Isabella Safiyya yang masing-masing kini berumur 13 dan 12 tahun.

Published by
Nadia