Hayati perkongsian murni dari Intan Dzulkefli mengenai kebahagian sejati dan syukur.
Bercakap soal bahagia, sebenarnya yang perlu kita faham adalah kayu pengukur kebahagiaan setiap dari kita adalah tidak sama.
Teringat Saudara Sukur Ibrahim pernah berkata, “jika saya nak ukur kebahagiaan ikut kaca mata orang biasa, contohnya bila ada sekian, sekian hal baru saya nak bahagia, rasanya sayalah orang paling tak bahagia sebab saya ini, kaki dan tangan pun tidak sempurna,”
Namun, begitu, dalam satu temubual, isteri beliau sendiri mendedahkan bahawa segala kerja rumahtangga dan menguruskan diri, Sukur buat sendiri hatta menseterikakan baju dan mengasuh anak yang masih bayi. Tiada alasan untuk bersenang-senang walau isteri beliau dan anak beliau seorang yang dilahirkan sempurna tubuh badan.\
MasyaAllah. Sukur mengajar kita, berjuanglah memberikan yang terbaik dalam kapasiti yang kita mampu, insyaAllah ia akan memberikan kita kebahagiaan. Live life to the fullest, in context of striving for mardhatillah.
Bahagia orang susah mungkin pada berlaganya lutut dan gelak tawa bercerita sesama keluarga sambil menyuap nasi berlauk garam, tetapi hati mereka rasa lapang kerana bersangka baik dengan rencana Tuhan.
Bahagia orang kaya mungkin pada lapangnya hati apabila mampu mewakafkan banyak harta pada si miskin fakir yang memerlukan. Senyum mereka membuatkan si pemberi turut tersenyum.
Jika si miskin mengukur hidupnya dengan si kaya, maka, dia akan merasa tidak bahagia. Namun, apabila dia mengukurnya dengan cara pandangan seorang hamba yang mensyukuri segala pemberian Tuhan, dia akan faham bahawa Allah tak pernah salah dalam memberikan rezeki. Maka, dia tak merisaukan hal yang bukan dalam kawalannya.
Sekalipun kita memiliki semua hal yang diidamkan manusia, mendapat segala dihajati dengan mudah, kita belum lagi bahagia dan berjaya sekiranya kita suka melakukan apa yang Allah Benci dan sukar mentaati apa yang Allah syariatkan.
Bahagia yang sebenar apabila kita kenal Allah.
Bahagia yang sebenar apabila kita tak putus usaha untuk beri yang terbaik agar meraih redha Allah. Agar Allah sayang kita.
Bahagia yang sebenar apabila kita berusaha bawa insan yang kita sayang untuk sama-sama masuk syurga Allah.
Buat yang terbaik, beri yang terbaik, mudah-mudahan Allah meredhai segala amalan kita. Amiin.
InsyaAllah. Erti kebahagiaan hidup ini pada banyak yang kita beri bukan pada berapa yang kita dapat.
Muhasabah saya terutamanya.
FOTO : AZFARINA SULAIMAN