Kini wanita sebagai sumber kewangan buat keluarga bukan lagi isu baharu. Keterbukaan peluang membuatkan keinginan wanita untuk berjaya dalam kerjaya. Ini menjadikan gaji isteri lebih besar daripada suami sebagai salah satu daripada fenomena biasa berlaku di kalangan masyarakat kita.
Apabila gaji isteri lebih besar daripada suami, ada beberapa hal yang harus diperhatikan agar ia tidak mendatangkan masalah dalam hubungan rumah tangga. Berikut merupakan beberapa tip agar suami tidak rasa rendah diri walaupun isteri memiliki gaji yang lebih besar daripada dirinya.
Hindari pertelingkahan yang membabitkan perihal pendapatan keluarga, baik antara anda berdua, di hadapan anak, apatah lagi di depan orang lain.
Cuba wujudkan simpanan bersama untuk sistem kewangan rumah tangga. Simpanan tersebut perlulah diisi bersama antara suami dan isteri. Maka tidak akan wujud perbandingan yang ketara berkaitan duit.
Wujudkan peruntukan yang berbeza. Contohnya, gaji isteri digunakan untuk pembiayaan persekolahan anak, membeli baju keluarga atau untuk bercuti. Sementara gaji suami diperuntukkan untuk keperluan harian seperti barangan rumah, makan dan pengangkutan.
SETINGGI MANA PUN GAJI ISTERI, JANGAN SESEKALI ‘PIJAK’ KEPALA SUAMI!
NEGATIF DAN POSITIFNYA
Realiti ini tidak ini seharusnya menjadi punca kewangan. Pasangan seharuslah sama-sama berjuang untuk mendapatkan kehidupan keluarga yang menggembirakan.
Zaman sekarang tak hairan jika gaji isteri lebih besar daripada gaji suami. Apa kesannya kepada kaum lelaki? Apakah tugas mencari nafkah kini sudah bertukar tangan?
Secara tradisi dan dalam ajaran Islam sekalipun, tanggungjawab untuk mencari rezeki dan menyara keluarga masih dipikul oleh suami. Namun tidak dinafikan, ada juga wanita yang ringan tulang dan sanggup bekerja untuk mencari rezeki bagi meringankan beban suami untuk menyara keluarga.
Soal isteri menolong suami untuk menambahkan pendapatan keluarga sudah lama kita dengar. Tapi di zaman sekarang bukanlah satu yang menghairankan apabila gaji isteri lebih besar daripada gaji suami. Si isteri kini mampu bekerja dan berjawatan besar di pejabat, manakala si suami cuma bekerja sebagai suami.
Jika difikirkan dari sudut positif, ini adalah kelebihan buat keluarga dan suami. Sebab isteri banyak membantu dalam meringankan beban ekonomi keluarga. Apa yang kurang, isteri boleh bantu menambahkan serba sedikit.
Si suami pula tidak mengharapkan duit isteri, namum apa salahnya jika si isteri sudi bersedekah untuk kebaikan dan kebahagiaan keluarganya juga, demi kelangsungan kehidupan sekeluarga.
Namun, berapa ramaikah suami yang berhadapan dengan situasi ini mampu bersikap positif? Dalam bercerita bab positif, bab negatif pun ada banyaknya juga.
Dari sudut negatif seorang suami akan rasa tercabar kerana sebagai ketua keluarga dan seorang lelaki, dia tidak mampu menyara keluarga dengan sepenuhnya, malah perlu mendapatkan bantuan isteri. Mungkin timbul sedikit rasa rendah diri dan rasa terhina apabila isteri selalu mengungkit.
Dari sudut negatif seorang isteri pula, mungkin isteri akan rasa dirinya hebat dan megah kerana walaupun dia cuma seorang wanita, namun bergaji lebih besar dan segala harta seperti rumah, barangan perabot, kereta mewah semuanya dimiliki olehnya.
Jadi rasa hormat isteri kepada suami menjadi semakin berkurangan, malah sering memperlekehkan peranan suami seperti ketua keluarga. Dan lebih teruk lagi apabila suami terpaksa mengikut apa sahaja keputusan isteri. Lebih negatif apabila suami hanya tahu makan duit isteri. Duit gajinya digunakan untuk joli sakan, sedangkan duit isteri digunakan untuk perbelanjaan rumah.
Secara positifnya, tiada salah jika isteri bergaji besar dan berjawatan besar, namun yang penting setiap suami isteri haruslah menjaga peranan dan tanggungjawab masing-masing sebagai suami isteri.
Suami janganlah mengharapkan duit isteri, tapi jadikan itu sebagai backup jika ada kecemasan atau duit belanja tidak cukup. Isteri juga perlulah tahu menghormati suami. Walaupun gaji suami kecil dan kerja biasa-biasa sahaja, di rumah suami tetap berperanan sebagai ketua keluarga. Ingat isteri! Setinggi mana pun gaji anda, jangan sesekali ‘memijak’ kepala suami.