Pesan demi menjaga hati, penyanyi Shiha Zikir berharap semua orang boleh menapis sebelum lontarkan soalan sensitif tentang perkahwinan atau zuriat tanpa memikirkan perasaan orang lain.
Ujar Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, 37, pertanyaan sedemikian seolah-olah mendesak seseorang untuk melakukan sesuatu di luar kawalan sekali gus mempersoalkan takdir Tuhan.
“Saya mahu kalian jangan biasakan soalan-soalan yang macam ‘bila nak kahwin’, bila dah berkahwin ‘bila nak ada anak’. Bila dah ada anak ‘bila nak tambah anak’.
“Faham kadang-kadang pertanyaan itu untuk bermesra, tapi kalau sampai dah mendesak sungguh-sungguh suruh kahwin, boleh tak jangan ‘normalise’ benda ini.
“Mungkin orang yang bertanya belum lalui atau rasa. Mungkin Allah dah aturkan kehidupan mereka berkahwin, ada anak, dah sempurna.
“Jadi bila nampak orang lain umur sebaya atau tua daripada dia, dia persoalkan,” katanya menerusi video dalam TikTok.
Enggan berdolak-dalik, Shiha yang masih bujang mengakui pernah berkecil hati apabila bertalu-talu diajukan soalan tentang jodohnya yang belum kunjung tiba.
“Kadang-kadang kalian tak tahu apa benda yang seseorang itu sedang hadapi. Mungkin dah usaha sehabis baik tapi ada saja benda yang menghalang.
“Macam saya sendiri, saya sangat terasa soal tersebut. Kan jodoh, ajal dan maut itu di tangan Allah bukannya orang tak usaha.
“Kalau sekali dua yang bertanya saya okey lagi tau. Kalau bertanya baik dan mendoakan tidak mengapa. Tapi zaman sekarang ni ramai mendesak sampai dia pulak ‘moody’ kenapa kita kahwin lagi,” jelasnya panjang lebar.
Paling penting kata pelantun lagu Khalam itu, setiap orang mempunyai tahap mental yang berbeza untuk menerima desakan bersifat peribadi.
“Jangan rasa pelik kalau ada kawan-kawan yang mula menjauh, tak mahu berjumpa. Mungkin dia nak elak soalan-soalan begini.
“Tahap mental seseorang tak sama, jadi jalan terbaik adalah saya doakan yang baik-baik untuk semua orang,” tuturnya bengang.
Haa… begitulah, tak semua orang boleh menerima soalan tentang bila nak kahwin. Jadi selepas ini kalau anda kurang rapat dan bukan saudara-mara, mungkin boleh lebih cakna demi menjaga hati orang.
Sumber: Kosmo!