Hubungan

Shila Amzah Anggap Kaki Pukul Tak Akan Tinggalkan Tabiat Dengan Mudah

Share

Berkait dengan isu kekerasan dalam rumah tangga, penyanyi, Shila Amzah anggap lelaki yang suka memukul wanita tidak akan meninggalkan tabiat itu dengan mudah.

Shila Amzah, Kaki Pukul Tak Akan Tinggalkan Tabiat

Menerusi perkongsian di Instagram Story, pemilik nama Nurshahila Amir Amzah ini memuat naik semula (repost) video temu bual pelakon, Zahnita Wilson yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga bersama Melodi.

Ujar Shila, orang ramai jangan mudah tertipu dengan mana-mana lelaki yang mempunyai sejarah gemar memukul kaum wanita.

“Saya dah cakap banyak kali, kaki pukul tak akan pernah berubah.

“Orang yang kaki pukul ini tak akan berubah sama ada muka hensem atau tak.

“Jangan biarkan anda dikaburi fizikal mereka terutamanya bila anda tahu dia ada sejarah pernah pukul bekas kekasih mahupun sebelum berkahwin ataupun sewaktu mereka menjadi kekasih anda,” katanya lagi.

Ramai Yang Setia Sebab Tak Jumpa Jalan Keluar

Tambah pelantun lagu ‘Patah Seribu’, kaki pukul itu juga bijak memanipulasi supaya wanita kekal setia bersama mereka dalam perhubungan.

“Ada orang akan kekalkan hubungan dengan kaki pukul sebab selalu ingat tiada jalan keluar.

“Dan kaki pukul ini pandai, dia akan buat awak buang semua kawan-kawan awak dan bergantung 100 peratus kepada dia.

“Bila kononnya dia ‘sedar’ perbuatan dia salah, dia akan melutut minta maaf pada awak sampai menangis macam dalam filem Hindustan itu.

“Waktu baik, dia akan layan awak macam puteri tapi bila datang je gila dia, waktu itulah dia akan dera awak fizikal dan mental.

“Dan begitulah berulangnya kitaran itu,” tulisnya lagi.

Terdahulu, pelakon jelita, Zahnita Wilson mendakwa dirinya telah dipukul dan menjadi mangsa keganasan rumah tangga selama 20 tahun mendirikan perkahwinan dengan Abdul Zackery Ghouse.

Susulan pendedahan itu dibuat, Abdul Zackery kemudian dilaporkan telah ditahan polis untuk memberi keterangan.

Sumber: Shila Amzah

Published by
Nadia