pic-pinterest

Benarlah kata orang, perkahwinan tanpa restu orang tua, bahana yang bakal menjelma. Kisah silam aku berlaku kira-kira enam tahun yang lalu masih tersemat kemas dalam memori. Memang pahit yang aku rasanya. Bukan ingin membuka pekung di dada tapi aku mahu ia dijadikan pengajaran buat semua pasangan di luar sana.

Aku berkenalan dengan seorang lelaki berdarah Syed. Percintaan kami berputik sejak sama-sama menuntut di universiti. Bagaikan belangkas, ke mana sahaja kami pasti berdua. Malah bunga-bunga cinta yang kami lalui sememangnya cukup indah. Selepas tamat pengajian, rezeki untuk mendapat pekerjaan dipermudahkan. Kami sama-sama bekerja dalam bidang kejuruteraan walaupun berlainan syarikat.

Selepas tiga tahun bekerja dan mengumpul duit, kami berhasrat untuk menamatkan zaman bujang. Alangkah gembiranya apabila aku dilamar Syed. Cuma yang menjadi kebimbangan kerana hubungan kami masih belum diketahui oleh ibu Syed, namun keluarga aku tiada masalah kerana sudah mengenali Syed terlebih dahulu.

Ingin Menantu Sharifah

Menurut Syed, ibunya sangat cerewet dalam memilih menantu dan hanya inginkan menantu berdarah Syed ataupun Sharifah sahaja. Inilah yang menjadi kebimbangan kami berdua. Apatah lagi menurut Syed, ibunya sudah merisik anak kenalannya yang berdarah Sharifah tanpa pengetahuan Syed.

Dasar orang bercinta, lautan api sanggup ku renangi. Aku memberanikan diri berjumpa dengan orang tua Syed. Manalah tahu ibunya boleh menerima aku, apatah lagi aku mempunyai pekerjaan yang baik dengan gaji yang tinggi, mungkin ia boleh memikat hati ibu Syed untuk merestui hubungan kami.

Pertemuan pertama dapat aku rasakan ibunya tidak menyukai aku dengan cara layanannya. Namun aku abaikan sahaja mungkin kerana dia masih belum mengenali aku sedalamnya. Sepanjang pertemuan itu habis segala perkara termasuk keturunan aku ditanya.

Selepas pertemuan itu, Syed berselisih faham sedikit dengan ibunya kerana ibunya berkeras menolak cinta Syed. Puas Syed memujuk ibunya dengan pelbagai alasan, namun ibunya tetap berkeras.

Selamat Diijabkabulkan

Hampir berbulan Syed cuba untuk memujuk ibunya. Alhamdulillah, akhirnya hubungan kami direstui dengan syarat kami harus tinggal di rumah ibunya selepas berkahwin. Mulanya Syed berkeras dan menolak, namun memikirkan inilah jalan untuk ibunya merestui hubungan kami, Syed turutkan sahaja dan kami diijabkabulkan dalam majlis yang sederhana.

Selepas berkahwin, aku seperti biasa melayani ibu Syed dengan baik seperti ibuku sendiri. Walaupun rumah ibu mertua mempunyai orang gaji, aku tidak senang untuk duduk tanpa melakukan sebarang kerja. Mana kerja yang boleh aku bantu, aku cuba lakukannya.

Ads

Sebulan tinggal di rumah mertua, keadaan masih terkawal. Walaupun layanan ibu mertua tidak mesra sangat, aku tidak ambil hati. Maklum sahaja restunya untuk kami berkahwin sudah cukup bagi aku dan Syed. Jadi seboleh-bolehnya aku cuba untuk memberikan layanan terbaik kepada ibu mertuaku walaupun hakikatnya aku menderita.

Mula Menderita

Bahagia yang aku harapkan, rupanya derita yang mendatang. Selepas tiga bulan berkahwin, hubungan aku dan Syed nampak renggang. Kami sering bergaduh walaupun hal-hal yang kecil. Ada sahaja yang tidak kena di mata Syed. Sampaikan beberapa kali Syed tidur di bilik tetamu apabila kami bergaduh. Hubungan kami sentiasa panas sehinggakan Syed mula mengungkit tentang hubungan kami.

Pernah suatu petang kami bergaduh gara-gara ibu mertuaku mengadu kepada Syed yang aku berkata kasar dan menyindirnya. Fitnah apakah ini? Kenapa Syed mendengar hanya sebelah pihak? Aku tidak nafikan memang aku berselisih faham dengan ibu mertua, tapi semua itu gara-gara ibu mertuaku memperlekehkan keturunan aku. Siapa yang tidak berang jika soal keturunan dibuat main.

Aku juga ada tahap kesabaran. Selama ini aku tidak pernah mengadu sedikit pun kepada Syed yang ibu mertuaku tidak melayan aku dengan baik. Aku tidak mahu mengeruhkan keadaan kerana aku positif bahawa ibu mertuaku akan menerimaku satu hari nanti.

Dari sehari ke sehari hubungan kami makin keruh sampaikan ingin menyentuh aku pun Syed cuba mengelak. Melihatkan keadaan yang semakin parah, aku meminta izin kepada Syed untuk tinggal di rumah keluargaku seketika untuk menenangkan fikiran. Di rumah orang tua, aku berubat kerana menurut ayah dan ibu hubungan kami seperti ada yang tidak kena, sedangkan kami masih baru dalam rumah tangga.

Ads

Pergi Berubat

Saat berubat dengan ustaz yang ayah aku kenali, rupa-rupanya aku disihir orang yang rapat dengan aku. Kononnya tujuan orang itu ingin memisahkan aku dan suami aku. Patut la selama ini Syed sangat dingin malah mengelak untuk menyentuh aku. Katanya dia rasa tidak selesa, malah sering rasa panas apabila berada dekat dengan aku.

Namun selama ini aku ingatkan Syed sengaja mereka cerita. Mungkin itu alasannya untuk mengelak daripada aku kerana kami bergaduh. Paling menyedihkan aku diberitahu orang yang melakukan perbuatan terkutuk ini ialah ibu mertuaku sendiri.

Bagai nak pitam aku mendengarnya. Tergamak ibu mertua ku melakukan perbuatan yang menyalahi agama semata-mata kerana membenci keturunan aku yang bukan berdarah Sharifah. Beginilah akibatnya jika syaitan bermaharajalela. Langsung agama diketepikan. Sepanjang di rumah keluargaku, Syed langsung tidak bertanya khabar. Naik geram aku dibuatnya namun aku sabar kerana tindakannya itu di luar kawalan gara-gara sihir yang dibuat oleh ibunya.

Aku Difitnah Mertua

Saat pulang ke rumah mertuaku dan ingin masuk ke bilik, aku terdengar perbualan ibu mertuaku dengan Syed. Ibu mertuaku mencadangkan Syed melepaskan aku kerana melihatkan tiada sefahaman antara Syed dan aku. Malah ibu mertuaku memburuk-burukkan aku kononnya aku isteri yang pemalas, sering menengkingnya, derhaka kepadanya dan banyak lagi. Paling aku marah apabila aku difitnah oleh ibu mertuaku kononnya aku menyihir Syed kerana ingin berkuasa terhadap Syed dan rumah ini, selain ibu mertua mencadangkan Syed melepaskan aku.

Ads

Aku berlari ke bilik dan terus menangis. Kenapa benci sangat ibu mertuaku terhadap aku. Selama ini begitu baik aku melayannya seperti ibu aku sendiri namun kenapa aku diperlakukan seperti ini. teruk sangatkah jika anaknya berkahwin dengan aku. Darah yang mengalir dalam diri Syed sama warna dengan darah aku, malah ketika mati nanti juga bukan keturunan yang menjadi keutamaan. Sungguh aku sedih.

Tiba-tiba Syed masuk ke bilik. Kami bergaduh lagi. Syed berang apabila aku beritahunya yang aku telah pergi berubat dan aku dikatakan telah disihir ibunya. Kononnya untuk memisahkan aku dan Syed. Lagi teruk kami bergaduh sehingga Syed tergamak mengatakan yang aku perempuan jahat kerana sanggup memfitnah ibunya serta memecahbelahkan hubungan dia dan ibunya.

Paling meremukkan hati aku apabila Syed rasa menyesal tidak mendengar nasihat ibunya agar berkahwin dengan keturunannya dan menyesal mengahwini aku. Bagi Syed, keturunan yang bukan berdarah Syed atau Sharifah tidak baik. Sampai hati Syed berkata begitu. Dapat aku rasakan rumah tangga kami bagaikan retak menanti belah.

Malam selepas kami gaduh besar itu, aku mendekati Syed untuk memujuknya. Aku tidak boleh mengalah. Aku minta Syed dan aku pergi berubat mungkin ada yang tidak kena dengan hubungan dingin kami. Namun pelbagai alasan yang Syed berikan, kononnya aku mengarut, malah Syed tidak percaya hubungan retak kami ini disebabkan perkara lain sebaliknya meletakkan kesalahan itu kepada aku seorang.

Diceraikan Talak Satu

Lagi sekali kami bergaduh sehingga Syed melafazkan cerai talak satu terhadap aku. Tanpa belas kasihan tangis aku tidak memberi erti kepadanya. Alasannya kerana tidak tahan memperisterikan aku dan banyak perkara yang membuatkan dia ingin memutuskan hubungan kami.

Selepas urusan perceraian selesai, aku tinggal di rumah keluarga. Walaupun sengsara aku harus reda dan kehidupan harus diteruskan seperti biasa. Ibu dan ayah tidak henti-henti memberi aku semangat untuk terus bersabar dan berdoa semoga satu hari nanti ibu mertuaku berubah dan Syed sedar.

Empat bulan selepas kami bercerai, aku dihubungi Syed semula. Kononnya dia mula rindu kepadaku dan ingin merujukku semula. Kami berjumpa di satu petang. Kata Syed, dia sedar akan kesilapannya menceraikan aku.

Malah ceritanya lagi, dia pergi berubat dengan seorang ustaz kerana dia sendiri merasa pelik dengan keadaan yang berlaku. Walaupun dia tahu ibunya menyihirkan aku sehingga sanggup membuatkan hubungan kami terpisah, namun Syed tidak mahu menjadi anak derhaka. Apa yang mampu Syed lakukan ialah mendoakan ibunya berubah.

Pujukan Syed aku ketepikan kerana hati aku seperti tertutup untuk menerimanya semula. Sejujurnya aku masih menyayanginya namun aku tidak mahu pisang berbuah dua kali. Harapan aku semoga aku dipertemukan dengan seorang lelaki yang bukan sahaja sanggup menjadi peneman aku sehingga akhir hayat, malah keluarganya juga boleh menerima aku dan keturunanku seadanya.

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI