Solat Tarawih Tidak Boleh Dilakukan Secara Dalam Talian

Share

Memandangkan tiada aktiviti solat tarawih berjemaah di masjid dan surau seluruh negara tahun ini kerana kekangan situasi COVID-19, mungkin ada dalam kalangan kita yang terfikir untuk melakukan ibadat tersebut dengan mengikuti imam secara atas talian.

Bagaimanapun, idea tersebut menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tidak dibolehkan kerana beberapa sebab.

Menurut beliau, adalah perlu untuk seseorang itu mengetahui pergerakan yang dilakukan imam ketika solat serta dapat melihat fizikal imam berada di satu tempat.

“Sebagai contoh, jika kita solat secara dalam talian dan ikut imam di Masjid Negara, tiba-tiba sambungan internet terputus, maka macam mana makmum nak ikut.

“Jadi untuk tahun ini, adalah lebih baik sembahyang di rumah dengan suami atau ketua keluarga. Mungkin tahun ini akan ada ramai imam baru walaupun tak bertauliah,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Aktiviti solat berjemaah dan keagamaan sebelum ini dihentikan buat seketika selaras dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berlangsung dari 18 Mac sehingga 28 April ini.

Saranan tersebut sekaligus menyaksikan rakyat Malaysia tidak berpeluang untuk menunaikan ibadat sunat yang sinonim dengan bulan Ramadan tahun ini. Selain solat tarawih, masyarakat di Malaysia tahun ini juga bakal tidak mempunyai bazar ramadan seperti tahun-tahun sudah.

Published by
Bella